Mazmur 71:1-24

  • Keyakinan orang yang berusia

    • Percaya kepada Tuhan sejak masa muda (5)

    • “Semasa aku menjadi lemah” (9)

    • ‘Tuhan telah mengajar aku sejak masa mudaku’ (17)

71  Ya Yehuwa, aku berlindung kepada-Mu. Semoga aku tidak dimalukan.+  2  Selamatkanlah aku kerana Engkau Tuhan yang adil dan benar. Dengarlah* seruanku dengan teliti dan selamatkanlah aku.+  3  Jadilah gunung batu yang kukuh bagiku,Tempat aku bernaung pada setiap waktu. Engkaulah batu perlindunganku dan bentengku,Maka berikanlah perintah agar aku diselamatkan.+  4  Ya Tuhanku, selamatkanlah aku daripada tangan orang yang jahat,+Daripada cengkaman orang yang tidak adil dan yang suka menindas.  5  Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, aku berharap kepada-Mu;Aku percaya kepada-Mu sejak masa mudaku.+  6  Engkaulah yang membawa aku keluar daripada rahim ibuku;+Aku bergantung pada-Mu sejak lahir. Aku akan sentiasa memuji-Mu.  7  Meskipun banyak orang berasa kagum terhadapku,Aku tahu bahawa Engkaulah tempat naunganku.  8  Aku akan melaungkan puji-pujian kepada-Mu dengan mulutku;+Aku akan mengisytiharkan kemuliaan-Mu sepanjang hari.  9  Janganlah abaikan aku ketika aku menjadi tua;+Janganlah tinggalkan aku semasa aku menjadi lemah.+ 10  Musuh-musuhku mencela aku,Dan orang yang hendak membunuh aku berkomplot untuk menentang aku.+ 11  Mereka berkata, “Tuhan telah meninggalkan dia. Mari kita kejar dan tangkap dia, kerana tiada sesiapa yang akan menyelamatkan dia!”+ 12  Ya Tuhan, janganlah jauhkan diri-Mu daripadaku. Ya Tuhanku, cepatlah datang untuk menolong aku.+ 13  Biarlah orang yang menentang akuDimalukan dan dibinasakan.+ Biarlah orang yang hendak mencelakakan akuDiselubungi rasa aib dan hina.+ 14  Namun aku akan terus menantikan Engkau;Aku akan memuji-Mu dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. 15  Aku akan menceritakan perbuatan-Mu yang adil dan benar;+Sepanjang hari, aku akan mengisahkan penyelamatan daripada-Mu,Walaupun segala yang Engkau lakukan tidak terhitung banyaknya.*+ 16  Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat,Aku akan datang untuk mengisytiharkan perbuatan-Mu yang perkasa;Aku akan menyebut tentang kebaikan-Mu; aku akan memberitakan kebaikan-Mu sahaja. 17  Ya Tuhan, Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku;+Sampai sekarang, aku tetap mengumumkan segala perbuatan-Mu yang menakjubkan.+ 18  Ya Tuhan, biarpun aku menjadi tua dan biarpun aku beruban, janganlah tinggalkan aku.+ Biarlah aku menceritakan kuasa-Mu kepada generasi yang seterusnya,Dan biarlah aku mengisahkan keperkasaan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.+ 19  Kebaikan-Mu, ya Tuhan, memuncak ke langit.+Engkau telah melakukan perkara-perkara yang hebat.Ya Tuhan, siapakah yang dapat menandingi-Mu?+ 20  Engkau telah mendatangkan banyak kesusahan dan penderitaan kepadaku,+Tetapi pulihkanlah aku, ya Tuhan,Dan bawalah aku keluar dari air yang dalam.+ 21  Semoga Engkau menjadikan aku lebih dihormati;Semoga Engkau melindungi aku dan melegakan hatiku. 22  Ya Tuhanku, aku akan memainkan alat muzik bertaliUntuk memuji-Mu atas kesetiaan-Mu.+ Aku akan memetik kecapi sambil menyanyikan pujian kepada-Mu,Ya Tuhan Israel Yang Suci. 23  Aku akan bersorak dengan gembira ketika aku menyanyikan pujian kepada-Mu,+Kerana Engkau telah menyelamatkan nyawaku.+ 24  Sepanjang hari, aku akan mengisahkan* kebaikan-Mu,+Kerana orang yang mencuba menghancurkan aku akan dihina dan dimalukan.+

Nota Kaki

Atau “Bongkokkanlah badan-Mu dan dengarlah.”
Atau “lakukan begitu banyak sehingga melampaui pengertianku.”
Atau “merenungkan.”