Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

  A2

Ciri-Ciri Terjemahan Ini

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dikeluarkan buat kali pertama pada tahun 1950 dalam bahasa Inggeris. Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang lengkap dalam bahasa Inggeris pula dikeluarkan pada tahun 1961. Sejak masa itu, jutaan pembaca telah menggunakan terjemahan yang tepat dan senang difahami ini dalam lebih daripada 150 bahasa.

Bahasa telah mengalami banyak perubahan dalam beberapa dekad ini. Maka, Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu sedar akan pentingnya untuk menggunakan bahasa yang dapat menyentuh hati pembacanya. Oleh itu, gaya penulisan dan pemilihan kosa kata dalam terjemahan ini dilakukan berdasarkan beberapa ciri penting yang berikut:

  • Penggunaan bahasa yang tepat dan mudah difahami. Perhatikan beberapa contoh yang berikut:

    (1) Perkataan “bait” dan “tabii” digunakan dalam sesetengah terjemahan Bible bahasa Melayu. Namun, perkataan-perkataan ini kurang diketahui orang ramai. Maka dalam terjemahan ini, ungkapan yang lebih mudah difahami telah digunakan. Contohnya, perkataan “bait” diterjemahkan sebagai “rumah Tuhan” dan perkataan “tabii” diterjemahkan sebagai “secara semula jadi.”—Kejadian 28:22; 1 Korintus 11:14.

    (2) Sesetengah Bible menterjemahkan 1 Timotius 5:17 sebagai: “Pemimpin jemaah . . . layak menerima bayaran dua kali ganda . . . ” Perkataan “bayaran” menyampaikan maksud yang salah. Dalam bahasa asal, perkataan ini bermaksud penghormatan, penghargaan, balasan, atau ganjaran. Maka dalam terjemahan ini, perkataan “penghormatan” digunakan.

    (3) Istilah “benih” dalam bahasa Ibrani dan Yunani kuno boleh merujuk kepada biji tumbuhan, keturunan manusia, atau air mani. Namun istilah “benih” jarang digunakan dalam bahasa Melayu untuk merujuk kepada keturunan manusia. Maka istilah ini telah diterjemahkan mengikut konteks agar maksud asal dapat disampaikan dengan tepat. (Kejadian 1:11; 22:17; 48:4; Matius 22:24; Yohanes 8:37) Dalam terjemahan ini, perkataan ‘keturunan’ digunakan semasa suatu  ayat mempunyai kaitan dengan janji di Taman Eden, seperti yang terdapat di Kejadian 3:15.

    (4) Dalam bahasa Yunani, kata kerja yang digunakan dapat menunjukkan sama ada sesuatu perkara dilakukan untuk sementara, sudah selesai dilakukan, atau dilakukan secara berterusan. Contohnya, di Matius 7:7, Yesus menggunakan kata kerja Yunani “meminta,” “mencari,” dan “mengetuk,” yang membawa maksud bahawa perkara itu perlu dilakukan secara berterusan. Oleh itu, kata-kata Yesus diterjemahkan seperti ini: “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibuka bagimu.”—Roma 1:32; 6:2; Galatia 5:15.

  • Istilah-istilah Bible dijelaskan. Perhatikan beberapa contoh yang berikut:

    (1) Istilah Ibrani “Sheol” dan istilah Yunani “Hades” digunakan dalam Bible untuk merujuk kepada kuburan umum manusia. Tetapi kedua-dua istilah ini tidak mempunyai maksud dalam bahasa Melayu. Lagipun perkataan “Hades” yang digunakan pada zaman moden berkaitan dengan mitos Yunani. Oleh itu, dalam terjemahan ini, perkataan “Kuburan” digunakan, dan penjelasan lanjut boleh didapati di bahagian Kamus.—Mazmur 16:10; Kisah 2:27.

    (2) Perkataan Ibrani neʹphesh dan perkataan Yunani psy·kheʹ lazimnya digunakan dalam Bible untuk merujuk kepada (1) orang, (2) binatang, (3) nyawa orang atau binatang, (4) keinginan dan selera seseorang, atau (5) orang yang sudah meninggal, mayat, atau bangkai. (Kejadian 1:20; 2:7; Bilangan 6:6; Amsal 16:26; Hagai 2:13; 1 Petrus 3:20; lihat juga nota-nota kaki) Dalam terjemahan ini, perkataan-perkataan asal ini sering diterjemahkan mengikut konteks, dengan menggunakan istilah seperti “nyawa,” “makhluk hidup,” “orang,” atau dengan menggunakan kata ganti diri (contohnya, “aku” untuk “jiwaku”). Istilah “segenap jiwa” digunakan untuk merujuk kepada perbuatan yang dilakukan dengan sepenuh hati, dan penjelasan lanjut bagi perkataan ini boleh didapati di bahagian Kamus.—Ulangan 6:5; Matius 22:37.

    (3) Perkataan “ginjal” dalam Bible boleh membawa maksud harfiah, iaitu organ manusia, atau membawa maksud kiasan, iaitu fikiran atau emosi yang terdalam. Apabila maksud kiasan hendak disampaikan dalam teks utama, contohnya di Mazmur 26:2 dan Wahyu 2:23, ungkapan seperti ‘fikiran yang  terdalam’ dan ‘fikiran yang tersembunyi’ digunakan dan nota kaki ditambahkan untuk penjelasan lanjut.

    (4) Perkataan Yunani stau·rosʹ diterjemahkan sebagai “salib” dalam banyak terjemahan. Tetapi dalam bahasa Yunani, perkataan stau·rosʹ bererti tiang atau kayu yang tegak, seperti tiang yang digunakan untuk menggantungkan Yesus. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa perkataan Yunani ini merujuk kepada salib, seperti salib yang digunakan oleh orang kafir sebagai simbol keagamaan berabad-abad sebelum zaman Kristus. Oleh itu, dalam terjemahan ini, ungkapan ‘tiang seksaan’ digunakan untuk menggambarkan perkataan Yunani ini dengan tepat.—Matius 16:24; Ibrani 12:2.

  • Menggunakan kata nama yang lebih spesifik. Dalam bahasa Ibrani dan Yunani, kata nama seperti kakak, abang, adik lelaki, dan adik perempuan, ada kalanya tidak dinyatakan secara spesifik. Bahasa Inggeris pula menggunakan perkataan yang umum seperti “brother” atau “sister.” Tetapi dalam bahasa Melayu, peringkat umur mempengaruhi kata nama yang hendak digunakan. Kajian yang teliti dilakukan untuk menentukan peringkat umur watak Bible bagi sesetengah ayat. Jika hal itu tidak dapat ditentukan, nota kaki akan ditambahkan untuk memberikan maklumat lanjut.—Kejadian 4:9, 22, nota kaki.

    Perubahan-perubahan yang dibuat kepada teks Bible dilakukan dengan cermat, teliti, dan disertai doa. Hormat yang mendalam terhadap kerja yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu juga membimbing penterjemah semasa membuat perubahan sedemikian.

Ciri-ciri lain dalam terjemahan ini:

Tanda petik: Secara amnya, tanda petik (“ ”) yang telah digunakan dalam terjemahan ini untuk menunjukkan bahawa seseorang sedang bercakap, untuk memetik ayat daripada bahagian lain, atau untuk membezakan suatu ungkapan atau nama daripada teks keseluruhan. Tanda petik tunggal (‘ ’) digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik. Tanda petik dan tanda petik tunggal digunakan secara berselang-seli dalam teks Bible.

Kamus bagi istilah Bible: Dalam sebilangan nota kaki, pembaca digalakkan untuk merujuk kepada kamus. Kadangkala istilahnya dinyatakan di bahagian nota kaki. (Lihat Kejadian 1:20; Imamat 16:17.) Ada kalanya, istilahnya tidak dinyatakan di nota kaki tetapi terdapat di teks utama.—Lihat Kejadian 37:35.

 Nota kaki: Nota-nota kaki ini dibahagikan kepada beberapa kategori:

  • “Atau” Menunjukkan cara lain teks itu dapat diterjemahkan daripada bahasa Ibrani, Aram, atau Yunani, yang dapat menyampaikan maksud keseluruhan yang sama.—Kejadian 1:2, nota kaki “air yang bergelora”; 1 Samuel 16:6, “dilantik.”

  • “Atau mungkin” Menunjukkan cara lain teks itu dapat diterjemahkan, yang dapat menyampaikan maksud keseluruhan yang tidak sama.—Kejadian 21:6, “ketawa bersama-samaku”; Zakharia 14:21, “orang Kanaan.”

  • “Harfiah” Terjemahan kata demi kata daripada bahasa Ibrani, Aram, atau Yunani, atau erti ringkas bagi suatu ungkapan dalam bahasa asalnya.—Kejadian 50:23, “mereka semua adalah seperti anaknya sendiri”; Yeremia 12:2, “hati.”

  • Maksud dan maklumat tambahan Maksud bagi nama orang atau tempat (Kejadian 3:17, “Adam”; Keluaran 15:23, “Mara”); butiran tentang sukatan dan timbangan (Keluaran 29:40, “hin”); penerangan tentang kata ganti nama (Kejadian 24:32, “Dia”); maklumat yang berguna dalam Lampiran dan Kamus.—Kejadian 37:35, “Kuburan”; Matius 5:22, “Gehena.”

Bahagian depan yang bertajuk “Pengenalan kepada Firman Tuhan” mengandungi ajaran-ajaran asas Bible. Selepas buku Wahyu, terdapat “Senarai Buku-Buku dalam Bible,” “Indeks bagi Perkataan Bible,” dan “Kamus bagi Istilah Bible.” Kamus ini membantu pembaca untuk memahami istilah-istilah tertentu yang digunakan dalam Bible. Lampiran A mengandungi bahagian-bahagian berikut: “Prinsip-Prinsip Menterjemah Bible,” “ Ciri-Ciri Terjemahan Ini,” “Sejarah Bible Kita,” “Nama Tuhan dalam Kitab Ibrani,” “Nama Tuhan dalam Kitab Yunani Kristian,” “Carta: Para Nabi dan Raja bagi Yehuda dan Israel,” dan “Peristiwa-Peristiwa Utama semasa Yesus Hidup di Bumi.” Lampiran B mengandungi peta, carta, gambar rajah, dan maklumat-maklumat lain, yang dapat membantu orang yang ingin mengkaji Bible dengan lebih mendalam.

Sebelum permulaan setiap buku Bible, terdapat rangka kandungan yang memberikan gambaran keseluruhan bagi setiap bab dalam buku itu. Rangka ini disertai ayat-ayat Bible yang berkenaan. Selain itu, bahagian yang terdapat di tengah-tengah setiap muka surat, merupakan rujukan silang yang membawa pembaca kepada ayat-ayat Bible yang berkaitan.