Yesaya 39:1-8

  • Utusan dari Babilon (1-8)

39  Pada waktu itu, Raja Merodakh-baladan anak Baladan, iaitu raja Babilon, menghantar surat dan hadiah kepada Hizkia+ kerana dia telah mendengar bahawa Hizkia sakit dan baru sembuh.+  Hizkia menyambut para utusan raja Babilon dengan senang hati lalu menunjukkan tempat penyimpanan hartanya+ kepada mereka. Hizkia menunjukkan perak, emas, minyak balsam, minyak-minyak mahal yang lain, dan semua perlengkapan senjatanya. Ya, dia menunjukkan segala sesuatu yang terdapat di dalam tempat penyimpanan hartanya. Tiada satu pun yang ada di dalam istananya atau di seluruh kerajaannya yang tidak ditunjukkannya kepada mereka.  Selepas itu, Nabi Yesaya pergi berjumpa dengan Raja Hizkia. Yesaya bertanya, “Mereka datang dari mana? Apakah yang dikatakan oleh mereka kepada tuanku?” Hizkia menjawab, “Mereka datang dari tempat yang jauh, iaitu negeri Babilon.”+  Kemudian Yesaya bertanya, “Apakah yang dilihat oleh mereka di istana tuanku?” Hizkia menjawab, “Mereka nampak segala-gala yang ada di istana beta. Tiada satu pun yang ada di dalam tempat penyimpanan harta beta yang tidak ditunjukkan kepada mereka.”  Yesaya berkata kepada Hizkia, “Dengarlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga,  ‘Lihatlah! Masanya akan tiba apabila segala sesuatu yang ada di dalam istanamu, dan segala sesuatu yang telah dikumpulkan oleh nenek moyangmu sehingga hari ini, akan dibawa ke Babilon. Tiada satu pun yang akan tinggal.’+ Yehuwa juga berfirman,+  ‘Beberapa orang daripada keturunanmu akan dibawa ke Babilon dan dijadikan pegawai istana raja Babilon.’”+  Hizkia berkata kepada Yesaya, “Apa yang difirmankan oleh Yehuwa melalui kamu itu memang baik.” Kemudian Hizkia menambah, “Sekurang-kurangnya ada kedamaian dan ketenteraman* sepanjang hayat beta.”+

Nota Kaki

Atau “kebenaran.”