Satu Samuel 8:1-22

  • Israel menuntut seorang raja (1-9)

  • Samuel memberikan amaran (10-18)

  • Yehuwa menunaikan tuntutan orang Israel (19-22)

8  Apabila Samuel sudah tua, dia melantik anak-anak lelakinya sebagai hakim orang Israel.  Anak sulungnya bernama Yoel dan anak yang kedua bernama Abia.+ Mereka menjadi hakim di Beer-syeba.  Tetapi anak-anaknya tidak mengikut haluannya. Mereka suka mengaut keuntungan secara tidak jujur+ dan mereka menerima rasuah+ serta menghakimi rakyat secara tidak adil.+  Kemudian semua pemimpin orang Israel berkumpul lalu menghadap Samuel di Rama.  Mereka berkata kepadanya, “Dengarlah tuan, tuan sudah tua dan anak-anak tuan tidak mengikut haluan tuan. Sekarang lantiklah seorang raja untuk menghakimi kami seperti bangsa-bangsa lain.”+  Tetapi Samuel tidak senang hati sewaktu mereka berkata, “Berilah kami seorang raja untuk menghakimi kami.” Maka Samuel berdoa kepada Yehuwa,  lalu Yehuwa berfirman kepada Samuel, “Kabulkanlah segala permintaan mereka; kerana bukan engkau yang ditolak oleh mereka, sebaliknya Akulah yang ditolak oleh mereka sebagai raja.+  Semenjak Aku membawa mereka keluar dari Mesir, mereka tetap melakukan hal yang sama. Mereka asyik meninggalkan Aku+ dan menyembah tuhan-tuhan lain,+ dan sekarang itulah yang dilakukan oleh mereka terhadap engkau.  Maka kabulkanlah permintaan mereka. Namun, engkau harus memberikan amaran yang tegas kepada mereka. Beritahulah mereka apa yang berhak dituntut oleh raja yang akan memerintah mereka.” 10  Oleh itu, Samuel menyampaikan segala firman Yehuwa kepada semua orang yang meminta seorang raja. 11  Dia berkata, “Inilah yang berhak dituntut oleh raja yang akan memerintah kamu:+ Raja itu akan mengambil anak-anak lelakimu+ untuk dijadikan anggota pasukan kereta kuda+ dan anggota pasukan berkuda,+ dan ada juga yang akan berlari di hadapan kereta kudanya. 12  Dia akan melantik ketua atas 1,000 orang+ dan ketua atas 50 orang.+ Sesetengah orang akan membajak ladangnya,+ menuai hasil tanamannya,+ dan membuat senjata perang serta perlengkapan untuk kereta kudanya.+ 13  Anak-anak perempuan kamu pula akan disuruh membuat minyak wangi, memasak, dan membuat roti.+ 14  Raja itu akan mengambil tanah, ladang anggur, dan kebun zaitunmu yang terbaik,+ lalu memberikannya kepada hamba-hambanya. 15  Dia juga akan mengambil satu persepuluh daripada hasil tuaianmu dan ladang anggurmu. Kemudian dia akan memberikannya kepada para pegawai dan hamba-hambanya. 16  Dia akan mengambil hamba lelaki dan hamba perempuanmu, ternakan kamu yang terbaik, dan keldai-keldai kamu untuk melaksanakan pekerjaannya.+ 17  Dia akan mengambil satu persepuluh daripada ternakan kamu+ dan kamu akan menjadi hambanya. 18  Akan tiba masanya apabila kamu meraung disebabkan raja yang telah kamu pilih,+ tetapi Yehuwa tidak akan mempedulikan kamu pada masa itu.” 19  Walau bagaimanapun, mereka tidak menghiraukan kata-kata Samuel. Mereka berkata, “Biarlah! Kami tetap mahukan seorang raja untuk memerintah kami. 20  Dengan itu kami akan menjadi seperti semua bangsa yang lain. Raja kami akan menghakimi kami dan memimpin kami serta berperang melawan musuh-musuh kami.” 21  Setelah Samuel mendengar segala yang diucapkan oleh mereka, dia menyampaikannya kepada Yehuwa. 22  Yehuwa berfirman kepada Samuel, “Tunaikanlah permintaan mereka dan lantiklah seorang raja untuk memerintah mereka.”+ Kemudian Samuel berkata kepada mereka, “Pulanglah ke kota kamu masing-masing.”

Nota Kaki