Satu Samuel 20:1-42

  • Kesetiaan Yonatan terhadap Daud (1-42)

20  Kemudian Daud lari dari Nayot, yang terletak di Rama. Dia pergi kepada Yonatan dan bertanya, “Apakah yang sudah aku lakukan?+ Apakah kesalahanku? Apakah dosaku terhadap bapamu sehingga dia hendak membunuh aku?”  Yonatan menjawab, “Hal itu tidak akan berlaku!+ Kamu tidak akan mati! Bapaku tidak akan melakukan apa-apa tanpa memberitahu aku, baik perkara yang besar mahupun perkara yang kecil. Jadi mustahil dia menyembunyikan hal itu daripadaku.”  Tetapi Daud berkata lagi, “Bapamu tentu tahu bahawa kamu mengasihi aku.+ Dia tentu berfikir, ‘Yonatan tidak boleh tahu tentang hal ini, supaya dia tidak bersedih.’ Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi kamu bahawa aku akan mati tidak lama lagi!”+  Maka Yonatan berkata kepada Daud, “Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu katakan.”  Daud berkata kepada Yonatan, “Esok ialah perayaan bulan baharu+ dan aku dikehendaki duduk dan makan bersama raja. Tetapi kamu mesti membiarkan aku pergi dan aku akan bersembunyi di padang sampai waktu petang pada hari ketiga.*  Jika bapamu bertanya tentang aku, beritahulah dia, ‘Daud meminta izin untuk pergi ke kotanya di Betlehem dengan segera,+ kerana dia ingin menyertai keluarganya untuk upacara mempersembahkan korban tahunan di sana.’+  Jika bapamu berkata, ‘Baiklah,’ maka aku akan selamat. Namun jika dia menjadi marah, ketahuilah bahawa dia bertekad untuk mencederakan aku.  Tunjukkanlah kasih yang setia kepadaku+ kerana kamu telah membuat perjanjian dengan aku di hadapan Yehuwa.+ Namun jika aku bersalah,+ bunuhlah aku, tetapi janganlah serahkan aku kepada bapamu.”  Maka Yonatan berkata, “Tidak mungkin aku melakukan hal itu terhadapmu! Jika aku tahu bahawa bapaku bertekad untuk mencederakanmu, aku tentu akan memberitahumu.”+ 10  Kemudian Daud bertanya kepada Yonatan, “Siapakah yang akan memberitahu aku jika bapamu menjawab kamu dengan kasar?” 11  Yonatan berkata kepada Daud, “Mari kita pergi ke padang.” Maka mereka berdua pun pergi ke padang. 12  Lalu Yonatan berkata, “Semoga Yehuwa, Tuhan orang Israel, menjadi saksi kita. Esok atau lusa, kira-kira pada waktu ini, aku akan berusaha untuk mengetahui isi hati bapaku. Jika dia berasa senang hati terhadapmu, aku tentu akan mengirim berita kepadamu. 13  Tetapi jika bapaku berhasrat untuk mencederakanmu, biarlah Yehuwa menghukum aku dengan berat sekiranya aku tidak memberitahukan hal itu kepadamu dan memastikan kamu pergi dengan selamat. Semoga Yehuwa menyertaimu+ sebagaimana Dia menyertai bapaku dahulu.+ 14  Tidak kira sama ada aku masih hidup atau mati, semoga kamu menunjukkan kasih setia yang dimiliki oleh Yehuwa kepadaku.+ 15  Semoga kamu sentiasa menunjukkan kasih setia terhadap keluargaku,+ meskipun Yehuwa melenyapkan semua musuhmu dari muka bumi.” 16  Oleh itu, Yonatan membuat perjanjian dengan keluarga Daud. Dia juga berkata, “Yehuwa akan menghukum musuh-musuhmu.” 17  Yonatan meminta Daud bersumpah lagi demi kasih Daud kepadanya. Hal ini demikian kerana Yonatan mengasihi Daud seperti dirinya sendiri.+ 18  Kemudian Yonatan berkata kepadanya, “Esok ialah perayaan bulan baharu,+ dan orang akan mencarimu jika tempat dudukmu kosong. 19  Pada hari yang berikutnya, mereka tentu akan bertanya tentangmu. Maka kamu mesti pergi ke tempat persembunyianmu yang dahulu dan kamu mesti tunggu berdekatan batu di sini. 20  Aku akan melepaskan tiga batang anak panah di sebelah batu itu, seolah-olah aku sedang memanah suatu sasaran. 21  Apabila aku mengutus hambaku, aku akan berkata, ‘Pergilah cari anak panah itu.’ Jika aku berkata kepadanya, ‘Lihatlah! Anak panah itu berada di sebelah kamu, ambillah anak panah itu,’ maka kamu boleh kembali. Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup bahawa hal itu bererti kamu selamat dan tidak dalam bahaya apa pun. 22  Tetapi jika aku berkata kepada hamba itu, ‘Lihatlah! Anak panah itu lebih jauh di sana,’ maka pergilah, kerana Yehuwa menyuruh kamu pergi. 23  Berkenaan janji yang telah kita buat,+ semoga Yehuwa menjadi saksi kepada janji itu untuk selama-lamanya.”+ 24  Maka Daud pun bersembunyi di padang. Semasa perayaan bulan baharu, raja duduk untuk makan.+ 25  Seperti biasa, raja duduk dekat dinding. Yonatan duduk di hadapannya, sementara Abner+ duduk di sebelah Saul. Tetapi tempat duduk Daud kosong. 26  Saul tidak mengatakan apa-apa pada hari itu kerana dia berfikir, “Pasti sesuatu telah berlaku sehingga Daud menjadi najis.+ Ya, dia pasti dalam keadaan najis.” 27  Pada keesokan hari,* tempat duduk Daud masih kosong. Oleh itu, Saul bertanya kepada anaknya Yonatan, “Mengapakah anak Isai+ itu tidak datang untuk makan kelmarin dan pada hari ini?” 28  Yonatan pun menjawab, “Daud meminta izin untuk pergi ke Betlehem.+ 29  Dia berkata, ‘Izinkanlah aku pergi menyertai keluargaku untuk upacara mempersembahkan korban tahunan di kota. Abangku telah meminta aku datang. Jadi, jika kamu berkenan kepadaku, benarkanlah aku pergi untuk berjumpa dengan abang-abangku.’ Itulah sebabnya dia tidak hadir untuk makan di meja raja.” 30  Kemudian Saul sangat marah dengan Yonatan. Dia berkata kepadanya, “Anak derhaka! Kamu fikir ayahanda tidak tahu kamu menyebelahi anak Isai itu? Kamu memalukan dirimu dan bondamu! 31  Selagi anak Isai itu hidup di muka bumi ini, kamu dan pemerintahanmu tidak akan berkekalan.+ Sekarang, suruhlah orang membawa Daud kepada ayahanda kerana dia mesti mati.”+ 32  Tetapi Yonatan berkata kepada bapanya Saul, “Mengapa dia mesti mati?+ Apakah yang telah dilakukannya?” 33  Saul melemparkan tombaknya ke arah Yonatan untuk membunuhnya.+ Maka Yonatan tahu bahawa bapanya bertekad untuk membunuh Daud.+ 34  Yonatan begitu marah, lalu dia beredar dari meja dengan serta-merta. Pada hari itu, dia tidak makan apa-apa pun kerana dia sedih memikirkan Daud+ dan kerana bapanya telah memalukannya. 35  Pada waktu pagi, Yonatan pergi ke padang sebagaimana yang telah dirancangnya dengan Daud. Seorang hamba yang muda ada bersamanya.+ 36  Dia berkata kepada hambanya, “Cepatlah, pergilah cari anak-anak panah yang aku lepaskan.” Hamba itu pun berlari, dan Yonatan melepaskan anak panah melewati hamba itu. 37  Apabila hamba itu sampai di tempat anak panah yang dilepaskan oleh Yonatan, Yonatan berseru kepadanya, “Anak panah itu lebih jauh di sana!” 38  Yonatan berseru lagi kepadanya, “Cepatlah! Jangan berlambat-lambat!” Maka hamba Yonatan mengambil anak-anak panah itu lalu kembali kepada tuannya. 39  Hamba itu tidak memahami apa-apa pun tentang hal itu. Hanya Yonatan dan Daud yang memahaminya. 40  Kemudian Yonatan memberikan senjatanya kepada hambanya dan berkata, “Pergilah dan bawa senjata ini ke kota.” 41  Apabila hamba itu beredar, Daud keluar dari tempat yang tidak jauh dari situ, di bahagian selatan. Kemudian dia berlutut dan bersujud sebanyak tiga kali. Mereka saling berciuman dan menangis, tetapi kesedihan Daud lebih besar daripada kesedihan Yonatan.* 42  Yonatan berkata kepada Daud, “Pergilah dengan sejahtera kerana kita berdua telah bersumpah+ demi nama Yehuwa. Kita telah berkata, ‘Semoga Yehuwa menjadi saksi antara kamu dengan aku, dan antara keturunanmu dengan keturunanku untuk selama-lamanya.’”+ Kemudian Daud berangkat dan Yonatan kembali ke kota.

Nota Kaki

Atau “lusa.”
Atau “Pada hari selepas perayaan bulan baharu.”
Atau “tetapi Daud lebih banyak menangis.”