Satu Samuel 27:1-12

  • Orang Filistin memberi Daud kota Ziklag (1-12)

27  Daud berfikir, “Suatu hari nanti Saul pasti membunuh aku. Lebih baik aku melarikan diri+ ke negeri orang Filistin. Barulah Saul akan berhenti mencari aku di seluruh negeri Israel+ dan aku dapat melepaskan diri daripadanya.”  Maka Daud dan 600 orang+ anak buahnya pergi kepada Akhis+ anak Maokh, raja kota Gat.  Daud dan anak buahnya serta keluarga mereka masing-masing tinggal bersama Akhis di Gat. Kedua-dua orang isteri Daud, iaitu Ahinoam+ dari Yizreel dan Abigail+ balu Nabal, dari Karmel, juga menyertai dia.  Apabila Saul mendengar bahawa Daud telah melarikan diri ke Gat, dia pun berhenti mencarinya.+  Kemudian Daud berkata kepada Akhis, “Jika tuanku berkenan dengan hamba, berilah hamba tempat tinggal di salah sebuah kota di kawasan desa. Hamba tidak layak tinggal di kota diraja bersama tuanku.”  Oleh itu, Akhis memberi Daud kota Ziklag+ pada hari itu. Itulah sebabnya Ziklag menjadi milik raja-raja Yehuda sampai hari ini.  Daud tinggal di kawasan desa orang Filistin selama satu tahun empat bulan.+  Selama itu Daud dan anak buahnya pergi menyerang orang Gesur,+ orang Girzi, dan orang Amalek.+ Bangsa-bangsa itu tinggal di kawasan dari Telam sampai ke Syur+ dan negeri Mesir.  Semasa Daud menyerang negeri mereka, dia membunuh semua lelaki dan perempuan,+ tetapi dia merampas kambing, biri-biri, lembu, keldai, unta, dan pakaian mereka. Setelah itu, dia kembali kepada Akhis. 10  Ketika Akhis bertanya, “Kamu menyerang kawasan mana hari ini?” Daud akan menjawab, “Hamba menyerang bahagian selatan* Yehuda+ dan bahagian selatan kawasan orang Yerahmeel+ serta bahagian selatan orang Keni.”+ 11  Daud membunuh semua lelaki dan perempuan agar mereka tidak dibawa ke Gat. Daud berkata, “Mereka mungkin memberitahu orang di situ, ‘Inilah apa yang dilakukan oleh Daud.’” (Daud berbuat demikian sepanjang masa dia tinggal di kawasan desa orang Filistin.) 12  Oleh itu, Akhis mempercayai Daud dan dia berfikir, “Daud tentu sangat dibenci oleh orang Israel, bangsanya sendiri. Maka dia pasti menjadi hambaku untuk selama-lamanya.”

Nota Kaki

Atau “Negeb.”