Satu Samuel 17:1-58

  • Daud mengalahkan Goliat (1-58)

    • Goliat mencabar Israel (8-10)

    • Daud menyahut cabaran (32-37)

    • Daud berperang demi nama Yehuwa (45-47)

17  Orang Filistin+ mengerahkan tentera mereka untuk berperang. Mereka berkumpul di Sokho,+ di wilayah Yehuda, dan berkhemah di Efes-damim+ yang terletak di antara Sokho dan Azeka.+  Saul dan tentera Israel pula berkumpul lalu berkhemah di Lembah* Ela+ dan mereka mengatur barisan tentera untuk menghadapi serangan orang Filistin.  Tentera Filistin berada di sebuah gunung dan tentera Israel berada di gunung yang lain, dan di antara mereka terdapat sebuah lembah.  Kemudian seorang wira yang bernama Goliat,+ dari kota Gat,+ keluar dari perkhemahan orang Filistin. Tingginya kira-kira tiga meter.*  Dia memakai topi tembaga dan baju zirah* tembaga yang bersisik. Berat baju zirah itu+ ialah kira-kira 57 kilogram.*  Sebahagian kakinya* dilindungi oleh kepingan tembaga dan dia menyangkutkan sebatang lembing+ tembaga di bahunya.  Batang tombaknya diperbuat daripada kayu sebesar kayu pada alat tenun+ dan mata tombaknya diperbuat daripada besi seberat kira-kira tujuh kilogram.* Pembawa perisainya berjalan di hadapannya.  Dia berdiri dan berteriak kepada barisan tentera orang Israel,+ “Mengapakah kamu datang untuk mengatur barisan tentera? Akulah pahlawan Filistin yang terhandal dan kamu hamba-hamba Saul. Pilihlah seorang lelaki daripada kalangan kamu dan biarlah dia turun untuk melawan aku.  Jika dia dapat melawan aku dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba-hamba kamu. Tetapi jika aku mengalahkannya dan membunuhnya, kamulah yang akan menjadi hamba-hamba kami.” 10  Kemudian Goliat* berkata lagi, “Aku mencabar* barisan tentera orang Israel hari ini.+ Biarlah orang yang kamu pilih melawan aku!” 11  Apabila Saul dan semua orang Israel mendengar kata-kata Goliat, mereka sangat takut dan gementar. 12  Daud ialah anak Isai, orang Efrata+ dari Betlehem+ di Yehuda. Isai+ mempunyai lapan orang anak lelaki,+ dan pada masa pemerintahan Saul, Isai sudah tua. 13  Anak sulung Isai bernama Eliab,+ yang kedua bernama Abinadab,+ dan yang ketiga bernama Shama.+ Mereka bertiga sudah mengikut Saul pergi berperang.+ 14  Daud ialah anak bongsu+ dan ketiga-tiga orang abangnya itu sudah mengikut Saul. 15  Semasa Daud berkhidmat untuk Saul, dia berulang-alik ke rumahnya untuk menjaga biri-biri+ bapanya di Betlehem. 16  Sementara itu, Goliat tampil setiap pagi dan petang selama 40 hari untuk mencabar orang Israel. 17  Pada suatu hari, Isai berkata kepada anaknya Daud, “Ambillah sebuah kantung* biji-bijian yang sudah dipanggang dan 10 ketul roti ini, lalu bawanya dengan segera kepada abang-abangmu di perkhemahan. 18  Bawalah juga 10 potongan keju untuk ketua askar.* Selain itu, tengoklah bagaimana keadaan abang-abangmu dan bawalah sesuatu daripada mereka untuk membuktikan bahawa mereka dalam keadaan yang sihat.” 19  Mereka berada di Lembah* Ela+ bersama Saul dan orang Israel yang lain untuk berperang dengan orang Filistin.+ 20  Pada awal pagi, Daud bangun dan menyuruh orang lain menjaga biri-biri. Kemudian dia berkemas dan berangkat sebagaimana yang diperintahkan oleh Isai. Apabila dia tiba di perkhemahan, pasukan tentera sedang mara ke medan pertempuran sambil berteriak dengan kuat. 21  Orang Israel dan orang Filistin mengatur barisan tentera mereka agar mereka saling berhadapan. 22  Dengan segera, Daud meninggalkan barang-barangnya dengan penjaga barang lalu berlari ke medan pertempuran. Apabila dia tiba di situ, dia bertanya tentang keadaan abang-abangnya.+ 23  Ketika Daud sedang bercakap dengan mereka, tampillah wira yang bernama Goliat,+ orang Filistin dari Gat. Dia keluar dari barisan tentera orang Filistin lalu mengucapkan kata-kata yang sama seperti sebelumnya,+ dan Daud mendengar apa yang dikatakannya. 24  Apabila semua orang Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan.+ 25  Orang Israel berkata, “Lihatlah orang ini! Dia datang untuk mencabar* orang Israel.+ Raja akan memberikan banyak kekayaan kepada orang yang membunuhnya. Raja juga akan memberikan puterinya kepada orang itu+ dan keluarga bapa orang itu dikecualikan daripada membayar cukai dan berkhidmat kepadanya.” 26  Daud bertanya kepada orang yang berdiri dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada lelaki yang membunuh orang Filistin itu dan yang membebaskan Israel daripada penghinaan? Siapakah orang Filistin yang tidak bersunat itu sehingga dia berani mencabar* barisan tentera Tuhan yang hidup?”+ 27  Maka mereka memberitahunya perkara yang sama lalu berkata, “Itulah ganjaran yang akan diberikan kepada orang yang membunuh dia.” 28  Apabila Eliab, abang sulung Daud,+ mendengar Daud bercakap dengan mereka, dia marah dengan Daud dan berkata, “Mengapa kamu datang ke sini? Siapa yang kamu suruh untuk menjaga biri-birimu yang ada di padang belantara?+ Aku tahu kamu berlagak pandai dan berniat jahat. Kamu datang ke sini hanya untuk melihat pertempuran.” 29  Lalu Daud berkata, “Apa salahku? Aku bertanya saja!” 30  Kemudian Daud berpaling daripadanya lalu menanyakan soalan yang sama kepada orang lain.+ Mereka pun memberikan jawapan yang sama.+ 31  Beberapa orang terdengar kata-kata Daud lalu melaporkannya kepada Saul. Maka Saul menyuruh Daud menghadapnya. 32  Daud berkata kepada Saul, “Janganlah sesiapa pun takut kerana orang Filistin itu. Hamba akan pergi melawannya.”+ 33  Tetapi Saul berkata kepada Daud, “Kamu tidak dapat melawan orang Filistin itu kerana kamu masih muda+ sedangkan dia sudah menjadi askar sejak masa mudanya.” 34  Kemudian Daud berkata kepada Saul, “Semasa hamba menggembala ternakan bapa hamba, seekor singa+ datang lalu menerkam seekor biri-biri. Pernah juga seekor beruang datang dan melakukan hal yang sama. 35  Hamba mengejar binatang itu dan menyerangnya lalu menyelamatkan biri-biri itu. Apabila binatang itu melawan, hamba memegang lehernya* lalu membunuhnya. 36  Hamba sudah membunuh singa dan beruang itu. Demikianlah yang akan hamba lakukan terhadap orang Filistin yang tidak bersunat itu, kerana dia telah mencabar* barisan tentera Tuhan yang hidup.”+ 37  Kemudian Daud berkata lagi, “Yehuwa telah menyelamatkan hamba daripada cengkaman singa dan beruang. Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada tangan orang Filistin itu.”+ Maka Saul berkata kepada Daud, “Pergilah dan semoga Yehuwa menyertaimu.” 38  Saul pun mengenakan baju perangnya pada Daud. Dia memakaikan topi tembaga pada kepala Daud dan mengenakan baju zirah pada Daud. 39  Selepas Daud mengenakan baju perangnya, dia mengikat sebilah pedang dan mencuba untuk berjalan, tetapi dia tidak dapat berbuat demikian kerana dia tidak biasa memakai pakaian itu. Daud berkata kepada Saul, “Hamba tidak dapat berjalan dengan memakai pakaian ini kerana hamba tidak biasa memakainya.” Maka Daud menanggalkan pakaian itu. 40  Kemudian dia membawa tongkatnya dan memilih lima biji batu yang licin dari sungai* lalu meletakkan batu-batu itu ke dalam kantungnya. Dia pergi menghadap Goliat dengan bersenjatakan ali-ali.*+ 41  Kemudian Goliat maju menghampiri Daud dan pembawa perisainya berjalan di hadapannya. 42  Apabila Goliat nampak Daud, dia mengejek dan mentertawakannya kerana Daud masih muda dan kacak.+ 43  Maka Goliat berkata kepada Daud, “Buat apa kamu membawa kayu untuk melawan aku? Adakah kamu fikir aku ini anjing?”+ Lalu demi nama dewa-dewanya, Goliat mengutuk Daud. 44  Goliat berkata kepada Daud, “Datanglah kepadaku dan aku akan memberikan dagingmu kepada burung dan binatang-binatang untuk dimakan.” 45  Daud berkata kepada Goliat, “Kamu datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing.+ Tetapi aku datang melawanmu demi nama Yehuwa, ketua angkatan syurga,+ Tuhan tentera orang Israel, yang telah kamu hina.*+ 46  Pada hari ini juga, Yehuwa akan menyerahkan kamu ke dalam tanganku.+ Aku akan membunuhmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini, aku akan memberikan bangkai-bangkai tentera Filistin kepada burung dan binatang-binatang liar untuk dimakan. Dengan itu, semua orang akan tahu bahawa bangsa Israel mempunyai Tuhan yang benar.+ 47  Semua orang yang berkumpul di sini* akan tahu bahawa Yehuwa tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya.+ Hanya Yehuwa yang dapat memberi kami kemenangan,+ dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.”+ 48  Kemudian Goliat mara dan semakin mendekati Daud, tetapi Daud berlari dengan cepat ke barisan pertempuran untuk menghadapinya. 49  Daud memasukkan tangannya ke dalam kantung dan mengambil sebiji batu lalu menghumban batu itu ke dahi Goliat. Batu itu terbenam ke dalam dahi Goliat sehingga dia rebah tertiarap ke tanah.+ 50  Meskipun Daud tidak mempunyai pedang, dia mengalahkan dan membunuh orang Filistin itu dengan hanya bersenjatakan ali-ali dan sebiji batu.+ 51  Daud terus berlari ke sisi Goliat. Dia menghunus pedang Goliat+ lalu memenggal kepala Goliat untuk memastikan bahawa dia sudah mati. Ketika orang Filistin nampak bahawa pahlawan mereka sudah mati, mereka melarikan diri.+ 52  Oleh itu, orang Israel dan Yehuda bangkit lalu bersorak. Mereka mengejar orang Filistin dari lembah+ sampai ke pintu gerbang Ekron.+ Mayat orang Filistin bergelimpangan di sepanjang jalan dari Saaraim+ sampai ke Gat dan Ekron. 53  Selepas orang Israel kembali daripada mengejar orang Filistin, mereka menjarah perkhemahan orang Filistin. 54  Kemudian Daud mengambil kepala Goliat dan membawanya ke Yerusalem. Tetapi dia menyimpan senjata Goliat di dalam khemahnya.+ 55  Apabila Saul nampak Daud pergi berlawan dengan Goliat, dia bertanya kepada Abner,+ ketua tenteranya, “Abner, anak siapakah pemuda itu?”+ Abner menjawab, “Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak tahu!” 56  Raja pun berkata, “Pergilah tanya anak siapa pemuda itu.” 57  Sebaik sahaja Daud kembali daripada membunuh Goliat, Abner membawanya menghadap Saul. Pada masa itu, Daud masih memegang kepala orang Filistin itu.+ 58  Saul bertanya kepadanya, “Hai anakku, anak siapakah kamu?” Daud menjawab, “Hamba anak Isai+ dari Betlehem.”+

Nota Kaki

Atau “Dataran Rendah.”
Harfiah, “Tingginya 6 hasta dan 1 jengkal.” Lihat Lampiran B14.
Pakaian askar zaman dahulu yang dibuat daripada logam atau kulit.
Harfiah, “5,000 syekel.” Lihat Lampiran B14.
Iaitu, dari lutut sampai ke pergelangan kaki.
Harfiah, “600 syekel.”
Harfiah, “orang Filistin itu.”
Atau “mencemuh.”
Harfiah, “1 efa.” Lihat Lampiran B14.
Atau “ketua atas 1,000 orang.”
Atau “Dataran Rendah.”
Atau “mencemuh.”
Atau “mencemuh.”
Atau “rahangnya.”
Atau “mencemuh.”
Atau “wadi.”
Senjata yang berupa tali, yang digunakan untuk melontar batu.
Atau “cabar.”
Atau “Seluruh sidang ini.” Lihat Kamus.