Satu Samuel 6:1-21

  • Orang Filistin mengembalikan tabut ke Israel (1-21)

6  Selama tujuh bulan, tabut+ Yehuwa berada di kawasan orang Filistin.  Orang Filistin memanggil para imam dan tukang tilik+ lalu bertanya, “Apakah yang harus kami lakukan dengan tabut Yehuwa? Beritahulah kami bagaimana kami dapat menghantar tabut ini ke tempat asalnya.”  Mereka menjawab, “Jangan kembalikan tabut perjanjian Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan tangan kosong. Kamu harus menyertakan korban untuk menebus dosa.+ Barulah kamu akan sembuh dan mengetahui sebabnya Dia masih menghukum kamu.”  Maka orang Filistin bertanya, “Apakah korban yang harus kami hantar kepada-Nya untuk menebus dosa?” Mereka menjawab, “Menurut jumlah para penguasa Filistin,+ hantarkan lima ketul emas yang bentuknya seperti bengkak buasir dan lima tikus emas kerana bencana yang sama telah menimpa setiap seorang daripada kamu dan penguasa kamu.  Kamu harus membuat patung berupa bengkak buasir dan patung berupa tikus+ yang membinasakan negeri kamu. Kamu juga harus memberikan penghormatan kepada Tuhan orang Israel. Mungkin Dia akan berhenti menghukum kamu, tuhan kamu, dan negeri kamu.+  Janganlah kamu berkeras hati seperti Firaun dan orang Mesir.+ Bukankah Tuhan telah menghukum mereka,+ dan mereka terpaksa membiarkan umat Israel pergi?+  Maka sekarang, sediakanlah sebuah kereta lembu yang baharu dan dua ekor lembu yang mempunyai anak dan yang tidak pernah memikul kuk.* Ikatkan lembu-lembu itu pada kereta lembu, tetapi biarlah anak-anak lembu kembali ke kandang.  Ambillah tabut Yehuwa dan letakkannya di atas kereta lembu itu. Di sebelahnya, letakkanlah kotak yang berisi patung-patung emas yang ingin kamu berikan kepada-Nya sebagai korban untuk menebus dosa.+ Biarlah lembu-lembu itu pergi  dan lihatlah apa yang akan berlaku. Jika tabut itu dibawa naik ke jalan yang menuju Bet-semes,+ iaitu tempat asalnya, maka kita akan tahu bahawa Tuhan orang Israel telah melakukan kejahatan yang dahsyat ini terhadap kita. Jika tidak, kita akan tahu bahawa bukan Dia yang menghukum kita tetapi kita ditimpa bencana secara kebetulan.” 10  Maka, orang Filistin pun berbuat demikian. Mereka mengambil dua ekor lembu yang mempunyai anak dan mengikatkannya pada kereta lembu, tetapi mereka mengurung anak-anak lembu itu di dalam kandang. 11  Kemudian mereka meletakkan tabut Yehuwa di atas kereta lembu bersama dengan kotak yang mengandungi tikus emas dan patung berupa bengkak buasir. 12  Lembu-lembu itu berjalan terus di jalan yang menuju Bet-semes.+ Lembu-lembu itu melenguh sambil berjalan terus tanpa menyimpang ke kiri atau ke kanan. Sepanjang masa itu, para penguasa Filistin berjalan mengikuti lembu-lembu itu sampai ke sempadan Bet-semes. 13  Pada masa itu, penduduk Bet-semes sedang menuai gandum di dataran rendah. Apabila mereka nampak tabut itu, mereka sangat bersukacita. 14  Kereta lembu itu sampai di tanah Yosua, seorang penduduk Bet-semes, dan berhenti berdekatan sebuah batu besar. Lalu mereka membelah-belah kayu kereta lembu dan mempersembahkan lembu-lembu itu+ sebagai korban bakar untuk Yehuwa. 15  Orang Lewi+ menurunkan tabut Yehuwa dan kotak yang berisi patung-patung emas, lalu meletakkannya di atas batu besar itu. Pada hari itu, penduduk Bet-semes+ mempersembahkan korban bakar dan korban-korban lain kepada Yehuwa. 16  Apabila lima orang penguasa Filistin nampak apa yang berlaku, mereka pulang ke Ekron pada hari itu. 17  Inilah patung bengkak buasir emas yang dihantar oleh orang Filistin sebagai korban kepada Yehuwa untuk menebus dosa kota-kota berikut:+ Satu untuk Asdod,+ satu untuk Gaza, satu untuk Askelon, satu untuk Gat,+ dan satu untuk Ekron.+ 18  Selain itu, jumlah tikus emas yang dihantar bersamaan dengan jumlah semua kota Filistin yang dimiliki oleh lima orang penguasa, baik kota yang bertembok mahupun perkampungan yang tidak bertembok. Sehingga hari ini, batu besar tempat mereka meletakkan tabut Yehuwa ada di tanah Yosua, orang Bet-semes itu. Batu besar itu menjadi seperti seorang saksi antara mereka. 19  Namun begitu, Tuhan membunuh penduduk Bet-semes kerana mereka memandang tabut Yehuwa. Dia telah membunuh 50,070 orang* dalam kalangan mereka, lalu mereka mula berkabung kerana Yehuwa telah membunuh begitu ramai orang.+ 20  Penduduk Bet-semes bertanya, “Siapakah yang dapat menghadap Yehuwa, Tuhan yang suci ini?+ Alangkah baiknya jika Dia meninggalkan kita dan pergi kepada orang lain!”+ 21  Maka mereka mengutus orang kepada penduduk Kiryat-yearim+ dan berkata, “Orang Filistin sudah mengembalikan tabut Yehuwa. Datanglah dan ambillah tabut itu.”+

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Harfiah, “70 orang, 50,000 orang.”