Satu Samuel 26:1-25

  • Sekali lagi, Daud tidak membunuh Saul (1-25)

    • Daud menghormati orang yang dilantik Yehuwa (11)

26  Kemudian penduduk Zif+ pergi kepada Saul di Gibea+ dan berkata, “Daud bersembunyi di Bukit Hakhila yang berhadapan dengan Yesimon.”*+  Oleh itu, Saul turun ke padang belantara Zif bersama dengan 3,000 orang askar Israel yang perkasa untuk mencari Daud di sana.+  Saul berkhemah di tepi jalan di atas Bukit Hakhila yang berhadapan dengan Yesimon. Pada masa itu, Daud tinggal di padang belantara dan dia mendapat tahu bahawa Saul telah datang ke situ untuk mencarinya.  Maka Daud menghantar pengintip untuk mengesahkan bahawa Saul benar-benar berada di situ.  Kemudian Daud pergi ke tempat perkhemahan Saul. Dia nampak Saul dan Abner+ anak Ner sedang tidur. (Abner ialah ketua tentera Saul.) Saul tidur di kawasan perkhemahan itu dan tenteranya berkhemah di sekelilingnya.  Daud bertanya kepada Ahimelekh, orang Het itu,+ dan Abisai+ anak Zeruya,+ iaitu abang Yoab, “Siapakah yang akan turun ke perkhemahan Saul bersamaku?” Abisai menjawab, “Aku akan turun bersamamu.”  Maka Daud dan Abisai pergi ke perkhemahan Saul pada waktu malam. Mereka mendapati Saul sedang tidur di perkhemahan dan tombaknya tertancap ke tanah bersebelahan kepalanya. Abner dan tentera lain sedang tidur di sekeliling Saul.  Abisai berkata kepada Daud, “Hari ini, Tuhan telah menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu.+ Sekarang, benarkanlah aku menancapkan tombaknya ke badannya sehingga tembus ke tanah. Aku akan membunuh dia dengan satu tikaman sahaja, tidak usah sampai dua kali.”  Tetapi Daud berkata kepada Abisai, “Jangan cederakannya! Siapakah yang dapat mencederakan orang yang dilantik oleh Yehuwa+ dan dianggap tidak berdosa?”+ 10  Daud berkata lagi, “Demi Yehuwa yang hidup, aku bersumpah bahawa Yehuwa sendiri akan membunuhnya+ atau akan tiba masanya+ dia meninggal seperti orang lain ataupun dia akan meninggal semasa dia pergi berperang.+ 11  Aku tidak sekali-kali akan mencederakan orang yang dilantik oleh Yehuwa!+ Hal ini salah dalam pandangan Yehuwa. Sekarang, marilah kita ambil tombak di sebelah kepalanya dan juga bekas airnya. Kemudian biarlah kita beredar dari sini.” 12  Oleh itu, Daud mengambil tombak dan bekas air di sebelah kepala Saul dan mereka pun beredar dari situ. Semua orang di situ sedang tidur. Tiada sesiapa yang nampak mereka,+ menyedari kehadiran mereka, atau bangun, kerana Yehuwa telah menyebabkan mereka semua tidur nyenyak. 13  Selepas itu, Daud pergi ke seberang dan berdiri di atas puncak gunung, jauh dari tempat Saul berada. 14  Daud berseru kepada Abner+ anak Ner dan para tentera Saul, “Abner, dapatkah kamu mendengar suaraku?” Abner menjawab, “Siapakah yang mengganggu raja yang sedang tidur?” 15  Daud berkata kepada Abner, “Bukankah kamu pahlawan yang gagah? Siapakah yang dapat menandingimu di seluruh Israel? Mengapakah kamu tidak menjaga rajamu? Salah seorang askar datang untuk membunuh raja kamu,+ 16  tetapi kamu gagal menjalankan tugasmu. Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup bahawa kamu patut mati kerana kamu tidak menjaga tuanmu, orang yang dilantik oleh Yehuwa.+ Sekarang, lihatlah di sekelilingmu! Di manakah tombak raja dan bekas air+ yang terletak di sebelah kepalanya?” 17  Saul mengenali suara Daud lalu dia bertanya, “Anakku Daud, adakah itu suaramu?”+ Daud menjawab, “Ya tuanku.” 18  Daud berkata lagi, “Mengapakah tuanku mengejar hamba?+ Apakah yang telah hamba lakukan? Apakah kesalahan hamba?+ 19  Tuanku, tolonglah dengar kata-kata hamba: Jika Yehuwa yang mendorong tuanku untuk melawan hamba, biarlah hamba mempersembahkan korban bijirin kepada-Nya. Tetapi jika manusia yang menghasut tuanku,+ biarlah mereka dikutuk oleh Yehuwa, kerana mereka telah mengusir hamba dan tidak membenarkan hamba tinggal di tanah warisan yang diberikan oleh Yehuwa.+ Mereka seolah-olah berkata, ‘Pergilah sembah tuhan-tuhan lain!’ 20  Janganlah biarkan hamba mati* jauh dari hadirat Yehuwa. Tuanku seolah-olah memburu seekor kutu,+ seekor burung liar di pergunungan.” 21  Lalu Saul berkata, “Beta sudah berdosa.+ Hai anakku Daud, kembalilah kerana beta tidak akan berbuat jahat terhadapmu lagi. Kamu telah menganggap nyawa beta sesuatu yang berharga+ pada hari ini. Ya, beta telah bertindak bodoh dan melakukan kesilapan yang besar.” 22  Daud berkata, “Inilah tombak tuanku. Suruhlah salah seorang askar datang untuk mengambilnya. 23  Yehuwa akan membalas kebaikan dan kesetiaan setiap orang.+ Hari ini Yehuwa telah menyerahkan tuanku ke dalam tangan hamba, tetapi hamba tidak sanggup mencederakan orang yang dilantik oleh Yehuwa.+ 24  Semoga Yehuwa menganggap nyawa hamba berharga sebagaimana hamba menganggap nyawa tuanku berharga pada hari ini, dan semoga Dia menyelamatkan hamba daripada segala kesusahan.”+ 25  Saul berkata kepada Daud, “Anakku Daud, semoga kamu diberkati. Kamu pasti melakukan perkara-perkara yang menakjubkan dan kamu pasti berjaya.”+ Kemudian Daud pun beredar dari situ manakala Saul kembali ke rumahnya.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “padang gurun; padang belantara.”
Atau “Janganlah biarkan darah hamba tertumpah ke tanah.”