Keluaran 5:1-23

  • Musa dan Harun menghadap Firaun (1-5)

  • Orang Israel semakin ditindas (6-18)

  • Umat Israel menyalahkan Musa dan Harun (19-23)

5  Selepas itu, Musa dan Harun pergi menghadap Firaun dan berkata, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Benarkanlah umat-Ku pergi ke padang belantara agar mereka dapat menyambut perayaan bagi-Ku.’”  Tetapi Firaun menjawab, “Siapa Yehuwa itu+ sehingga beta harus mendengarkan-Nya dan membenarkan orang Israel pergi?+ Beta langsung tidak kenal Yehuwa, dan beta tidak akan membenarkan orang Israel pergi.”+  Mereka menjawab, “Tuhan orang Ibrani telah menampakkan diri kepada hamba berdua. Oleh itu, izinkanlah hamba semua pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang belantara untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua.+ Jika hamba semua tidak melakukan hal ini, Dia akan membunuh hamba semua dengan wabak penyakit atau pedang.”  Raja Mesir berkata kepada Musa dan Harun, “Mengapa kamu membuat semua orang meninggalkan kerja mereka? Suruhlah mereka terus bekerja!”+  Firaun menyambung, “Lihatlah betapa banyaknya bangsamu di negeri beta! Adakah kamu mahu mereka semua berhenti bekerja dan pergi dengan kamu?”  Pada hari itu juga, Firaun memberikan perintah kepada para pengawas abdi dan kepada mandur-mandur yang berbangsa Israel. Dia berkata,  “Jangan berikan jerami kepada orang Israel untuk membuat batu bata.+ Biarlah mereka mengumpulkan jerami sendiri.  Tetapi suruhlah mereka membuat batu bata sebanyak dahulu. Jangan kurangkan bilangannya walau seketul pun kerana mereka malas. Itulah sebabnya mereka berseru, ‘Kami ingin pergi mempersembahkan korban kepada Tuhan kami!’  Paksalah mereka bekerja lebih keras. Pastikanlah mereka sibuk dan tidak menghiraukan kata-kata bohong.” 10  Maka mandur-mandur orang Israel dan pengawas-pengawas abdi+ keluar lalu berkata kepada orang Israel, “Inilah yang dikatakan oleh Firaun, ‘Beta tidak akan memberi kamu jerami lagi. 11  Kamu sendiri mesti pergi mencari jerami di mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Tetapi kerja kamu tidak akan dikurangkan.’” 12  Maka orang Israel pun menjelajahi seluruh Mesir untuk mengumpulkan jerami dari ladang yang sudah dituai. 13  Pengawas-pengawas abdi terus mendesak mereka dengan berkata, “Kamu masing-masing mesti membuat batu bata sebanyak yang kamu buat pada masa kamu diberi jerami dahulu.” 14  Para pengawas itu juga memukul mandur-mandur orang Israel yang telah dilantik oleh mereka.+ Mereka berkata, “Mengapa kamu tidak membuat batu bata sebanyak dahulu? Hal ini telah berlaku kelmarin dan hari ini.” 15  Maka mandur-mandur orang Israel pergi menghadap Firaun dan mengadu, “Mengapakah tuanku memperlakukan hamba sekalian sedemikian? 16  Hamba sekalian tidak diberi jerami, tetapi hamba sekalian dipaksa membuat batu bata. Hamba sekalian dipukul, padahal pihak tuanku yang bersalah.” 17  Namun Firaun berkata, “Kamu memang malas! Ya, kamu memang malas!+ Itulah sebabnya kamu berkata, ‘Kami mahu pergi mempersembahkan korban kepada Yehuwa.’+ 18  Sekarang pergilah bekerja lagi! Jerami tidak akan diberikan kepada kamu, tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” 19  Para mandur orang Israel sedar bahawa mereka ditimpa masalah yang besar kerana mereka telah diarahkan, “Setiap hari, kamu mesti tetap menghasilkan batu bata sebanyak dahulu.” 20  Setelah menghadap Firaun, mereka keluar lalu berjumpa dengan Musa dan Harun yang sedang menunggu mereka. 21  Mereka berkata kepada Musa dan Harun, “Semoga Yehuwa melihat apa yang telah kamu lakukan dan menghukum kamu, kerana kamu telah menyebabkan Firaun dan pegawai-pegawainya membenci kami. Kamu telah memberi mereka pedang untuk membunuh kami.”+ 22  Lalu Musa berseru kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, mengapakah Engkau menyebabkan umat-Mu menderita? Mengapakah Engkau mengutus aku? 23  Sejak aku menghadap Firaun dan berkata-kata atas nama-Mu,+ dia telah memperlakukan umat-Mu dengan lebih buruk.+ Namun Engkau sama sekali tidak menyelamatkan umat-Mu.”+

Nota Kaki