Keluaran 26:1-37

  • Khemah suci (1-37)

    • Kain khemah (1-14)

    • Rangka dan alas (15-30)

    • Tirai dan tabir (31-37)

26  “Buatlah 10 helai kain untuk khemah suci.+ Kain-kain itu hendaklah dibuat daripada kain linen halus yang dipintal, benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. Sulamlah kain-kain itu dengan gambar kerub.+  Ukuran setiap kain mestilah sama, iaitu 12.5 meter panjang dan 1.8 meter lebar.*+  Sambungkan lima helai kain itu menjadi sehelai kain besar, begitu juga dengan lima helai kain yang lain.  Buatlah gelung-gelung daripada benang biru pada pinggir kain besar itu. Buatlah demikian pada pinggir kain besar yang satu lagi supaya kedua-duanya dapat disambungkan.  Buatlah 50 gelung pada pinggir kain besar itu dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya gelungan pada kedua-dua helai kain itu saling berpadanan apabila disambungkan.  Buatlah 50 bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua kain itu. Dengan itu, kamu akan mendapat sehelai kain yang besar untuk khemah suci.+  “Buatlah 11 helai kain daripada bulu kambing+ untuk dijadikan penutup khemah suci.+  Ukuran setiap kain mestilah sama, iaitu 13.4 meter panjang dan 1.8 meter lebar.*  Sambungkan lima helai kain itu menjadi sehelai kain besar, begitu juga dengan enam helai kain yang lain. Akan ada lebihan kain di bahagian depan khemah. Lebihan kain itu harus dilipat dua. 10  Buatlah 50 gelung pada pinggir kain besar itu dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya kedua-duanya dapat disambungkan. 11  Buatlah 50 bentuk cangkuk tembaga, dan masukkan cangkuk-cangkuk itu ke dalam gelungan untuk menyambungkan kedua-dua kain itu. Dengan itu, kamu akan mendapat sehelai kain yang besar untuk menutupi khemah suci. 12  Akan ada lebihan kain di bahagian belakang khemah. Biarkan lebihan kain itu terjuntai. 13  Kain bulu kambing yang dibiarkan terjuntai untuk menutupi kedua-dua sisi khemah suci haruslah berukuran 44.5 sentimeter* lebih panjang daripada kain khemah yang pertama. 14  “Buatlah sehelai penutup khemah daripada kulit bebiri jantan yang dicelup merah, dan buatlah sehelai lagi daripada kulit anjing laut untuk diletakkan di atasnya.+ 15  “Buatlah rangka-rangka+ daripada kayu akasia. Tegakkanlah rangka-rangka itu untuk membentuk dinding khemah suci.+ 16  Ukuran setiap rangka mestilah 445 sentimeter tinggi dan kira-kira 67 sentimeter lebar.* 17  Buatlah dua unjuran yang bersebelahan untuk setiap rangka. Semua rangka untuk khemah suci haruslah mempunyai unjuran seperti itu. 18  Buatlah 20 rangka untuk bahagian selatan khemah suci. 19  “Buatlah 40 buah alas daripada perak dan letakkan alas-alas+ itu di bawah 20 rangka khemah. Letakkan dua buah alas di bawah setiap rangka untuk menyangga kedua-dua unjurannya.+ 20  Buatlah 20 rangka untuk bahagian utara khemah suci. 21  Buatlah 40 buah alas daripada perak, dan letakkan 2 buah alas di bawah setiap rangka. 22  Buatlah enam rangka untuk bahagian belakang khemah suci yang menghadap barat.+ 23  Buatlah dua rangka untuk menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci. 24  Rangka itu haruslah mempunyai dua batang kayu yang bahagian atasnya disambungkan pada gelang yang pertama. Buatlah demikian untuk rangka di sudut yang lain. Rangka-rangka ini akan menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci. 25  Oleh itu, semuanya ada lapan rangka dengan 16 buah alas daripada perak, iaitu 2 buah alas di bawah setiap rangka. 26  “Buatlah kayu lintang daripada kayu akasia untuk menyambungkan rangka-rangka khemah: Lima batang untuk rangka-rangka pada satu sisi khemah,+ 27  lima batang pada sisi yang lain, dan lima batang lagi di bahagian belakang khemah yang menghadap barat. 28  Kayu lintang yang terdapat di bahagian tengah rangka haruslah dipasang dari satu hujung ke hujung yang lain khemah itu. 29  “Salutilah semua rangka khemah dan semua kayu lintang dengan emas.+ Buatlah juga gelang-gelang emas untuk menyangga kayu-kayu lintang itu. 30  Binalah khemah suci menurut contoh yang Aku tunjukkan kepada engkau di atas gunung ini.+ 31  “Buatlah tirai+ daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Sulamlah tirai itu dengan gambar kerub. 32  Gantungkanlah tirai itu pada empat batang tiang kayu akasia yang bersalut emas, dengan menggunakan cangkuk-cangkuk emas. Tiang-tiang itu haruslah ditegakkan di atas empat buah alas perak. 33  Gantungkanlah tirai itu pada cangkuk-cangkuk, dan bawalah tabut perjanjian+ ke belakang tirai itu. Tirai itu akan menjadi pemisah antara Bilik Suci+ dengan Bilik Maha Suci.+ 34  Letakkanlah penutup pada tabut perjanjian dan bawalah tabut itu ke dalam Bilik Maha Suci. 35  “Letakkanlah meja di luar tirai pemisah itu, iaitu di bahagian utara khemah. Kaki pelita+ pula hendaklah diletakkan bertentangan dengan meja itu, iaitu di bahagian selatan khemah. 36  Tenunlah tabir untuk pintu masuk khemah. Tabir itu hendaklah dibuat daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ 37  Buatlah lima batang tiang kayu akasia yang bersalut emas untuk tabir khemah. Buatlah juga cangkuk-cangkuk emas dan lima alas tembaga untuk tiang-tiang itu.

Nota Kaki

Harfiah, “28 hasta panjang dan 4 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “30 hasta panjang dan 4 hasta lebar.”
Harfiah, “1 hasta.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “10 hasta tinggi dan 1.5 hasta lebar.”