Keluaran 18:1-27
18 Yitro, imam Midian, bapa mentua Musa,+ mendengar segala yang dilakukan oleh Yehuwa untuk Musa dan orang Israel ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir.+
2 Sebelum itu, Musa telah menghantar isterinya, Zipora, balik kepada Yitro, bapa mentuanya. Maka, Yitro telah menjaga Zipora
3 dan dua orang anak lelakinya.+ Salah seorang anaknya bernama Gersom,*+ kerana Musa berkata, “Aku telah menjadi orang asing di negeri ini.”
4 Seorang lagi bernama Eliezer,* kerana Musa berkata, “Tuhan yang disembah bapaku ialah Penolongku. Dia telah menyelamatkan aku daripada pedang Firaun.”+
5 Yitro, bapa mentua Musa, datang melawat Musa di padang belantara bersama isteri dan anak-anak Musa. Musa sedang berkhemah dekat gunung Tuhan yang benar.+
6 Kemudian, Yitro mengirim berita kepada Musa, “Aku, Yitro, bapa mentuamu,+ telah datang bersama isteri dan kedua-dua orang anak lelakimu.”
7 Oleh itu, Musa segera keluar untuk menemui bapa mentuanya. Dia bersujud dan menciumnya. Mereka saling bertanyakan khabar lalu masuk ke dalam khemah.
8 Musa memberitahu bapa mentuanya segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk bangsa Israel.+ Dia menceritakan perkara yang dilakukan oleh Tuhan terhadap Firaun dan Mesir, dan bagaimana Yehuwa menyelamatkan mereka daripada kesusahan yang dihadapi semasa dalam perjalanan.+
9 Yitro bersukacita atas segala perkara baik yang dilakukan oleh Yehuwa untuk orang Israel. Dia bergembira kerana Tuhan telah menyelamatkan mereka daripada tangan orang Mesir.
10 Yitro berkata, “Pujilah Yehuwa kerana Dia telah menyelamatkan kamu daripada Firaun dan orang Mesir! Dia telah membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir.
11 Sekarang aku tahu bahawa Yehuwa lebih berkuasa daripada semua tuhan lain.+ Dia telah menunjukkan kuasa-Nya kepada orang Mesir yang bertindak angkuh terhadap umat-Nya.”
12 Kemudian Yitro, bapa mentua Musa, membawa korban bakar dan korban-korban lain untuk Tuhan. Harun dan semua pemimpin orang Israel datang untuk makan bersama-sama Yitro di hadapan Tuhan yang benar.
13 Pada keesokan hari, seperti biasa Musa mengadili perselisihan antara orang Israel. Orang Israel terus-menerus datang menghadap Musa dari pagi sampai malam.
14 Apabila bapa mentua Musa melihat segala yang dilakukan oleh Musa, dia bertanya, “Apakah semua hal ini yang kamu lakukan untuk umat ini? Mengapakah kamu melakukan tugas ini seorang diri, sehingga semua orang harus berdiri di sini dari pagi sampai malam?”
15 Musa menjawab, “Kerana umat ini terus datang kepada saya untuk mendapatkan bimbingan Tuhan.
16 Apabila timbulnya perselisihan, mereka akan datang kepada saya dan saya akan mengadili siapa antara mereka yang benar. Saya juga menyampaikan keputusan dan hukum Tuhan yang benar.”+
17 Bapa mentua Musa berkata kepadanya, “Cara kamu itu tidak baik.
18 Kamu dan orang Israel pasti akan berasa sangat letih, kerana tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri.
19 Sekarang dengarlah nasihatku, dan Tuhan akan menyertaimu.+ Kamu memang mewakili umat ini di hadapan Tuhan yang benar,+ dan kamu mengemukakan masalah mereka kepada-Nya.+
20 Kamu mengajar mereka tentang hukum dan peraturan Tuhan,+ serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan.
21 Tetapi, kamu patut memilih lelaki-lelaki yang cekap+ antara umat ini. Mereka mestilah orang yang takut akan Tuhan, dapat dipercayai, dan membenci keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur.+ Lantiklah mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang.+
22 Mereka akan mengadili masalah yang timbul. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu,+ tetapi mereka sendiri akan mengadili hal-hal yang kecil. Dengan ini, mereka akan membantu meringankan bebanmu.+
23 Jika kamu mengikut nasihatku dan hal ini berlaku selaras dengan perintah Tuhan, kamu tidak akan meletihkan diri. Semua orang juga akan pulang ke khemah mereka dengan senang hati.”
24 Musa mendengarkan nasihat bapa mentuanya lalu segera melakukan segala yang dikatakan olehnya.
25 Musa memilih lelaki-lelaki yang cekap antara umat itu lalu melantik mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang.
26 Jadi mereka mengadili masalah yang timbul. Jika masalah itu kecil, mereka akan menyelesaikannya sendiri. Tetapi jika masalah itu sukar, mereka akan mengemukakannya kepada Musa.+
27 Selepas itu, Musa mengucapkan selamat jalan kepada bapa mentuanya,+ lalu Yitro pun pulang ke negerinya.