Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 40

Musa Memukul Tebing Batu

Musa Memukul Tebing Batu

TAHUN demi tahun berlalu; 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun, 39 tahun telah berlalu! Orang Israel masih berada di padang belantara. Sepanjang masa ini, Yehuwa telah menjaga umat-Nya. Dia memberi mereka manna sebagai makanan. Dia memimpin mereka dengan menggunakan tiang awan pada waktu siang dan tiang api pada waktu malam. Baju mereka tidak koyak dan kaki mereka tidak sakit sepanjang masa ini.

Dalam bulan pertama pada tahun ke-40 selepas orang Israel meninggalkan Mesir, mereka berkhemah di Kades sekali lagi. Mereka pernah berada di sini hampir 40 tahun sebelum ini, ketika 12 orang pengintip Israel dihantar untuk mengintip negeri Kanaan. Miryam, kakak Musa, mati di sini. Seperti dahulu, orang Israel menimbulkan masalah di sini lagi.

Orang Israel tidak dapat mencari air. Oleh itu, mereka mengadu kepada Musa, “Lebih baik jika kami telah mati di Mesir. Mengapakah kamu membawa kami ke tempat yang teruk ini? Tidak ada apa-apa yang boleh tumbuh di sini. Di sini tidak ada biji-bijian, buah ara, buah anggur, atau buah delima. Bahkan air untuk minum pun tiada.”

Apabila Musa dan Harun pergi ke khemah suci untuk berdoa, Yehuwa memberitahu Musa, “Kumpulkan semua orang Israel. Kemudian, berkatalah kepada tebing batu itu di hadapan mereka. Air akan keluar dari tebing batu itu. Semua orang dan binatang ternakan mereka akan mendapat air yang secukupnya.”

Jadi, Musa mengumpulkan orang Israel lalu berkata, “Dengarlah, hai kamu yang tidak percaya akan Tuhan! Haruskah kami mengeluarkan air dari tebing batu ini untuk kamu?” Selepas itu, Musa memukul tebing batu itu dua kali dengan tongkatnya, dan banyak air mencurah keluar dari batu itu. Air itu cukup untuk semua orang Israel dan ternakan mereka.

Walau bagaimanapun, Yehuwa marah kepada Musa dan Harun. Tahukah adik mengapa Tuhan marah kepada mereka? Hal ini adalah kerana Musa dan Harun telah mengatakan bahawa merekalah yang mengeluarkan air dari tebing batu itu. Sebenarnya, Yehuwa telah melakukan mukjizat itu. Oleh sebab Musa dan Harun tidak bercakap benar, Yehuwa berkata bahawa Dia akan menghukum mereka. Yehuwa berkata, “Kamu tidak akan memimpin umat-Ku ke dalam negeri Kanaan.”

Tidak lama selepas itu, orang Israel meninggalkan Kades. Selepas suatu jangka masa yang singkat, mereka tiba di Gunung Hor. Di atas gunung ini, Harun meninggal. Pada masa itu, Harun berumur 123 tahun. Orang Israel bersedih dan mereka menangisi kematiannya selama 30 hari. Selepas Harun meninggal, anak lelakinya yang bernama Eleazar menjadi penghentar agung.