Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 104

Yesus Kembali ke Syurga

Yesus Kembali ke Syurga

HARI demi hari berlalu. Yesus telah banyak kali menampakkan diri kepada pengikut-pengikutnya. Pernah sekali, Yesus menampakkan diri kepada kira-kira 500 orang murid-muridnya. Apabila dia menampakkan diri kepada mereka, tahukah adik apa yang diajarkan oleh Yesus kepada mereka? Yesus mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan. Yehuwa telah menghantar Yesus ke bumi untuk mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan. Dan Yesus terus melakukan kerja ini selepas dia dibangkitkan daripada kematian.

Adakah adik masih ingat apa itu Kerajaan Tuhan? Kerajaan Tuhan ialah sebuah kerajaan yang benar-benar wujud di syurga, dan Yesus telah dipilih oleh Tuhan untuk menjadi raja kerajaan ini. Seperti yang telah kita pelajari, Yesus menunjukkan bahawa dia mampu menjadi seorang raja yang baik. Dia telah memberikan makanan kepada mereka yang lapar, menyembuhkan mereka yang sakit, bahkan membangkitkan mereka yang mati!

Pada pendapat adik, apabila Yesus memerintah sebagai raja di syurga selama seribu tahun, bagaimanakah keadaan di bumi pada masa itu? Ya, seluruh bumi akan menjadi sebuah firdaus yang indah. Peperangan, jenayah, penyakit, dan kematian akan lenyap. Kita boleh yakin bahawa hal ini akan berlaku kerana Tuhan telah menciptakan bumi untuk dinikmati oleh manusia. Itulah sebabnya Tuhan telah menciptakan Taman Eden. Dan Yesus akan memastikan bahawa kehendak Tuhan ini dilaksanakan.

Sekarang, masanya sudah tiba bagi Yesus untuk kembali ke syurga. Yesus telah menampakkan diri kepada murid-muridnya selama 40 hari. Oleh itu, mereka tahu dengan pasti bahawa Yesus sudah hidup kembali. Tetapi sebelum Yesus meninggalkan murid-muridnya, dia memberitahu mereka, “Jangan tinggalkan Yerusalem sehingga kamu menerima roh suci.” Roh suci ialah daya aktif Tuhan dan adalah seperti angin yang bertiup. Roh suci Tuhan membantu pengikut-pengikut Yesus untuk melaksanakan kehendak Tuhan. Akhirnya, Yesus berkata, “Beritakanlah tentang aku sampai ke hujung bumi.”

Selepas Yesus berkata sedemikian, sesuatu yang menakjubkan telah berlaku. Seperti apa yang adik boleh lihat dalam gambar ini, dia sedang naik ke syurga. Kemudian, awan menyembunyikan Yesus dan dia hilang daripada pandangan mereka. Murid-murid Yesus tidak melihatnya lagi. Yesus kembali ke syurga dan memerintah sebagai raja pengikut-pengikutnya yang berada di bumi.