Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 8

Gergasi di Bumi

Gergasi di Bumi

JIKA seorang lelaki sedang berjalan menuju ke arah adik dan dia setinggi bumbung rumah adik, apakah perasaan adik? Sudah tentu adik berasa takut! Pada suatu masa dahulu, memang terdapat gergasi di bumi. Bible memberitahu kita bahawa bapa-bapa mereka merupakan malaikat dari syurga. Tetapi, bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Adakah adik ingat akan Syaitan, malaikat jahat yang suka mempengaruhi orang untuk berbuat jahat? Dia mencuba menjadikan malaikat-malaikat Tuhan jahat juga. Akibatnya, sesetengah malaikat mula mendengar kata-kata Syaitan. Mereka telah berhenti melakukan kerja yang telah diberikan oleh Tuhan kepada mereka di syurga. Mereka turun ke bumi dan membuat tubuh manusia untuk diri mereka. Tahukah adik sebabnya mereka berbuat demikian?

Bible menyatakan bahawa anak-anak Tuhan ini nampak wanita-wanita yang cantik di bumi dan hendak hidup bersama-sama mereka. Maka, mereka turun ke bumi lalu mengahwini wanita-wanita ini. Bible menyatakan bahawa tindakan mereka adalah salah kerana Tuhan telah menciptakan malaikat untuk hidup di syurga.

Bayi yang dilahirkan oleh isteri malaikat-malaikat ini adalah berbeza daripada bayi-bayi lain. Pada mulanya, rupa bayi-bayi ini tidak banyak berbeza daripada rupa seorang bayi yang biasa. Tetapi, apabila mereka membesar, mereka menjadi gergasi-gergasi yang kuat.

Gergasi-gergasi ini jahat. Oleh sebab mereka begitu besar dan kuat, mereka boleh mencederakan orang lain. Mereka berusaha untuk menjadikan semua orang jahat seperti diri mereka.

Henokh telah mati, tetapi terdapat seorang lagi lelaki yang baik di bumi. Namanya Nuh. Dia selalu melakukan apa yang disuruh oleh Tuhan.

Pada suatu hari, Tuhan memberitahu Nuh bahawa masanya telah tiba untuk memusnahkan semua orang yang jahat di bumi. Walau bagaimanapun, Tuhan akan menyelamatkan Nuh dan keluarganya serta banyak binatang. Marilah kita baca tentang bagaimana Tuhan melakukan hal ini.