Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 21

Abang-Abang Yusuf Membencinya

Abang-Abang Yusuf Membencinya

LIHATLAH betapa sedihnya budak lelaki ini. Budak ini ialah Yusuf. Abang-abang Yusuf baru sahaja menjualnya kepada beberapa orang lelaki yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Di sana, Yusuf akan dijadikan seorang hamba. Mengapakah abang-abang Yusuf melakukan hal yang jahat ini? Ini adalah kerana mereka cemburu akan Yusuf.

Bapa mereka, Yakub amat menyayangi Yusuf. Dia membuat sehelai jubah panjang yang cantik khas untuk Yusuf. Apabila kesemua sepuluh orang abangnya nampak bahawa Yakub lebih menyayangi Yusuf daripada mereka, mereka menjadi cemburu dan mula membenci Yusuf. Selain daripada itu, ada satu lagi sebab mereka membencinya.

Yusuf telah mengalami dua mimpi dan dalam kedua-dua mimpi Yusuf, abang-abangnya telah bersujud kepadanya. Apabila Yusuf menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya, rasa benci mereka terhadapnya semakin bertambah.

Pada suatu hari, apabila abang-abang Yusuf sedang menjaga biri-biri bapa mereka, Yakub menyuruh Yusuf pergi melihat jika abang-abangnya selamat. Apabila abang-abang nampak Yusuf datang, beberapa orang abangnya berkata, “Mari kita bunuh dia!” Tetapi Ruben, abang sulungnya berkata, “Jangan bunuh dia!” Oleh itu, mereka mencampakkan Yusuf ke dalam sebuah perigi yang kering. Kemudian, mereka membincangkan apa yang patut dilakukan terhadapnya.

Semasa mereka sedang berbincang, sekumpulan lelaki berbangsa Ismael berlalu di depan mereka. Jadi, Yehuda memberitahu adik-beradiknya, “Marilah kita menjualnya kepada pedagang-pedagang Ismael ini.” Mereka pun melakukan apa yang dicadangkan oleh Yehuda. Mereka telah menjual Yusuf dengan harga 20 keping wang perak. Betapa kejamnya perbuatan mereka itu!

Apakah yang akan diberitahukan oleh abang-abang Yusuf kepada bapa mereka? Mereka membunuh seekor kambing lalu mencelup jubah Yusuf yang cantik ke dalam darah kambing itu berkali-kali. Kemudian, mereka membawa jubah tersebut kepada bapa mereka lalu berkata, “Kami menjumpai jubah ini. Adakah jubah ini kepunyaan Yusuf?”

Apabila Yakub nampak jubah itu, dia sedar bahawa jubah itu ialah jubah Yusuf. Dia menangis sambil berkata, “Seekor binatang buas pasti telah membunuh Yusuf!” Sebenarnya abang-abang Yusuf mahu bapa mereka berfikir sedemikian. Yakub berasa sangat sedih. Dia menangis berhari-hari lamanya. Tetapi, sebenarnya Yusuf masih hidup! Tahukah adik, Yusuf dibawa ke mana? Marilah kita lihat apa yang telah berlaku kepada Yusuf.