Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 81

Percaya akan Bantuan Tuhan

Percaya akan Bantuan Tuhan

BERIBU-RIBU orang berjalan dari Babilon ke Yerusalem. Tetapi apabila mereka sampai di sana, Yerusalem dalam keadaan rosak binasa. Tiada sesiapa pun yang tinggal di sana. Orang Israel harus membina semula kota itu.

Mula-mula, mereka mendirikan sebuah mazbah. Mazbah ialah tempat yang digunakan untuk mempersembahkan pemberian, atau korban kepada Yehuwa. Beberapa bulan kemudian, orang Israel mula membina Rumah Yehuwa. Tetapi musuh-musuh mereka yang tinggal di negeri-negeri yang berhampiran tidak mahu mereka membina Rumah Tuhan. Jadi mereka mencuba menakutkan orang Israel agar kerja pembinaan dihentikan. Akhirnya, musuh-musuh mereka berjaya membuat raja Persia yang baru itu untuk mengeluarkan undang-undang untuk menghentikan kerja membina Rumah Tuhan.

Bertahun-tahun berlalu. Sekarang, 17 tahun telah berlalu semenjak orang Israel pulang ke Yerusalem dari Babilon. Yehuwa menghantar penubuat-penubuat-Nya yang bernama Hagai dan Zakharia untuk menyuruh orang Israel membina Rumah Tuhan. Orang Israel percaya akan bantuan Tuhan. Oleh itu mereka mendengar kata-kata penubuat Tuhan. Mereka mula membina Rumah Yehuwa sekali lagi walaupun terdapat undang-undang yang menyatakan bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian.

Pada suatu hari, seorang pegawai Persia yang bernama Tatnai pergi ke Yerusalem. Dia menanya orang Israel, “Siapakah yang memberi kamu kebenaran untuk membina Rumah ini?” Orang Israel memberitahu Tatnai bahawa semasa mereka berada di Babilon dahulu, Raja Kores telah berkata kepada mereka, “Pergilah ke Yerusalem dan bina semula Rumah Yehuwa, Tuhan kamu.”

Tatnai menghantar sepucuk surat ke Babilon untuk menanyakan sama ada Kores, yang pada masa itu sudah meninggal, benar-benar telah menyuruh mereka membina Rumah Tuhan. Tidak lama kemudian, sepucuk surat diterima daripada raja Persia yang baru. Kandungan surat tersebut menyatakan bahawa Kores sememangnya telah memberikan arahan itu. Raja Persia juga menulis, “Izinkan orang Israel membina Rumah Tuhan mereka. Beta juga memerintahkan kamu untuk membantu mereka.” Rumah Tuhan siap dibina dalam masa kira-kira empat tahun, dan orang Israel berasa sangat gembira.

Bertahun-tahun lagi berlalu. Kini hampir 48 tahun sudah berlalu semenjak Rumah Tuhan siap dibina. Orang Israel yang tinggal di Yerusalem sangat miskin, dan kota Yerusalem serta Rumah Tuhan kelihatan agak buruk. Di Babilon, seorang lelaki Israel yang bernama Ezra mendapat tahu bahawa Rumah Tuhan perlu dibaiki. Tahukah adik apa yang dilakukan olehnya?

Ezra berjumpa dengan Artahsasta, raja Persia. Raja yang baik ini memberi Ezra banyak hadiah untuk dibawa pulang ke Yerusalem. Ezra meminta orang Israel di Babilon membantunya membawa hadiah-hadiah ini ke Yerusalem. Kira-kira 6,000 orang Israel berkata bahawa mereka akan pergi bersama-samanya. Mereka membawa banyak perak dan emas serta barang-barang berharga yang lain.

Tetapi, sepanjang perjalanan ke Yerusalem terdapat ramai orang jahat. Ezra risau orang-orang jahat ini akan merampas emas dan perak yang dibawa oleh mereka dan membunuh mereka. Oleh itu, Ezra mengumpulkan orang Israel. Adik boleh melihat Ezra berbuat demikian dalam gambar ini. Kemudian, mereka berdoa kepada Yehuwa untuk melindungi mereka sepanjang perjalanan mereka ke Yerusalem.

Adakah Yehuwa melindungi mereka? Ya, selepas perjalanan yang memakan masa empat bulan, mereka tiba di Yerusalem dengan selamat. Tidakkah hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa boleh melindungi sesiapa sahaja yang percaya akan bantuan-Nya?