Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 101

Yesus Dibunuh

Yesus Dibunuh

LIHATLAH kejadian yang dahsyat ini! Yesus sedang dibunuh. Dia digantung pada sebatang tiang. Tangan dan kakinya dipaku. Mengapakah orang tergamak untuk melakukan hal ini kepada Yesus?

Hal ini terjadi kerana terdapat beberapa orang yang membenci Yesus. Tahukah adik siapa mereka? Salah seorang musuh Yesus ialah malaikat jahat yang bernama Syaitan Si Iblis. Syaitan berjaya menyebabkan Adam dan Hawa memberontak terhadap Yehuwa. Dan dia juga berjaya mempengaruhi musuh-musuh Yesus melakukan perkara yang dahsyat ini.

Sebelum Yesus dipakukan pada tiang itu, musuh-musuhnya telah memperlakukannya dengan kejam. Bolehkah adik ingat bagaimana mereka datang ke Taman Getsemani untuk menangkapnya? Siapakah musuh-musuh Yesus? Ya, mereka ialah ketua-ketua agama. Marilah kita lihat apa yang berlaku seterusnya.

Apabila Yesus ditangkap oleh ketua-ketua agama, hawari-hawarinya melarikan diri. Mereka meninggalkan Yesus dengan musuh-musuhnya kerana mereka takut. Tetapi hawari Petrus dan hawari Yohanes tidak lari jauh. Mereka mengekori Yesus untuk melihat apa yang akan terjadi kepadanya.

Para penghentar membawa Yesus berjumpa dengan Hanas, seorang lelaki tua yang pernah menjadi penghentar agung. Kumpulan orang yang mengikut mereka berada tidak lama di situ. Kemudian, mereka membawa Yesus ke rumah Kayafas, penghentar agung pada masa itu. Banyak ketua-ketua agama telah berkumpul di rumahnya.

Mereka mengadakan perbicaraan di rumah Kayafas. Beberapa orang dibawa masuk untuk berbohong tentang Yesus. Semua ketua-ketua agama berkata, “Yesus patut dihukum mati.” Kemudian mereka meludah pada muka Yesus dan menumbuknya.

Sementara semua ini berlaku, Petrus berada di halaman rumah Kayafas. Cuaca pada malam itu sejuk, maka orang yang berada di situ menyalakan unggun api. Semasa mereka sedang berdiri di sekeliling unggun api untuk memanaskan badan, seorang hamba perempuan yang ternampak Petrus berkata, “Lelaki ini ialah pengikut Yesus juga.”

“Tidak, saya tidak mengenalinya!” jawab Petrus.

Sebanyak tiga kali orang mengatakan bahawa Petrus ialah pengikut Yesus. Tetapi, tiap-tiap kali, Petrus mengatakan bahawa hal itu tidak benar. Pada kali ketiga Petrus berkata sedemikian, Yesus berpaling ke arah Petrus dan memandangnya. Petrus berasa sangat sesal kerana dia telah berbohong. Dia meninggalkan tempat itu lalu menangis.

Pada awal hari Jumaat, semasa matahari mula terbit, para penghentar membawa Yesus ke dewan Majlis Agama mereka. Di tempat perjumpaan yang besar itu, mereka berbincang tentang apa yang harus dilakukan terhadap Yesus. Mereka membawa Yesus menghadap Pontius Pilatus, gabenor daerah Yudea.

“Lelaki ini seorang penjahat,” kata para penghentar kepada Pilatus. “Dia patut dihukum mati.” Selepas menyoal Yesus, Pilatus berkata, “Aku tidak dapat mencari apa-apa kesalahan padanya.” Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada Herodes Antipas. Herodes ialah pemerintah Galilea dan pada masa itu dia berada di Yerusalem. Dia juga berpendapat bahawa Yesus tidak bersalah. Jadi dia menyerahkan Yesus kepada Pilatus sekali lagi.

Pilatus ingin membebaskan Yesus. Tetapi musuh-musuh Yesus meminta Pilatus membebaskan seorang banduan yang lain. Banduan ini ialah seorang perompak yang bernama Barabas. Sekitar waktu tengah hari, Pilatus membawa Yesus berdiri di hadapan orang ramai. Dia berkata kepada mereka, “Lihat! Inilah raja kamu!” Tetapi ketua-ketua penghentar menjerit, “Bawa dia pergi! Bunuh dia! Bunuh dia!” Jadi Pilatus membebaskan Barabas. Yesus pula dibawa untuk dihukum mati.

Awal tengah hari Jumaat itu, Yesus dipakukan pada sebatang tiang. Walaupun adik tidak boleh melihat mereka dalam gambar ini, di sebelah Yesus terdapat dua orang penjenayah yang dipakukan pada tiang-tiang juga; seorang di kiri dan seorang lagi di kanan Yesus. Tidak berapa lama sebelum Yesus mati, salah seorang penjenayah berkata kepada Yesus, “Ingatlah akan saya apabila tuan menjadi raja.” Lalu Yesus menjawab, “Aku berjanji, kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.”

Janji ini merupakan janji yang sungguh menakjubkan, bukan? Tahukah adik, apakah firdaus yang dimaksudkan oleh Yesus? Di manakah letaknya firdaus yang diciptakan oleh Tuhan pada mula-mulanya? Di bumi. Jadi apabila Yesus memerintah sebagai raja di syurga, dia akan membangkitkan lelaki ini untuk menikmati kehidupan di dalam Firdaus baru di bumi. Tidakkah kita berasa gembira kerana mempunyai harapan ini?