Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 19

Keluarga Yakub yang Besar

Keluarga Yakub yang Besar

LIHATLAH keluarga yang besar dalam gambar ini. Inilah Yakub bersama anak-anaknya. Yakub mempunyai 12 orang anak lelaki. Dia juga mempunyai beberapa orang anak perempuan. Adakah adik tahu akan nama beberapa orang anaknya? Marilah kita belajar tentang mereka.

Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Lea ialah Ruben, Simeon, Lewi, dan Yehuda. Apabila Rahel sedar bahawa dia tidak boleh melahirkan anak, dia berasa sangat sedih. Jadi, Rahel memberikan Bilha, hamba perempuannya kepada Yakub. Bilha melahirkan dua orang anak lelaki yang bernama Dan dan Naftali. Lea juga memberikan hamba perempuannya, Zilpa kepada Yakub. Zilpa melahirkan Gad dan Asyer. Kemudian, Lea melahirkan dua lagi orang anak lelaki, iaitu Isakhar dan Zebulon.

Akhirnya, Rahel sendiri dapat melahirkan seorang anak. Dia menamakan anak lelaki itu Yusuf. Kita akan belajar dengan lebih lanjut tentang Yusuf dalam cerita-cerita yang berikutnya kerana dia menjadi orang yang sangat penting. Yakub mempunyai 11 orang anak lelaki semasa dia tinggal bersama-sama Laban, iaitu ayah Rahel.

Yakub juga mempunyai anak-anak perempuan. Tetapi Bible hanya menyebut nama salah seorang daripada mereka, iaitu Dina.

Masanya tiba apabila Yakub membuat keputusan untuk meninggalkan Laban dan pulang ke Kanaan. Dia mempunyai keluarga yang besar, serta banyak biri-biri dan banyak lembu. Jadi, dia mengumpulkan keluarganya dan semua binatang kepunyaannya bersama. Kemudian, dia memulakan perjalanannya yang jauh.

Beberapa lama selepas Yakub dan keluarganya menetap di Kanaan, Rahel melahirkan seorang lagi anak lelaki. Anak itu dilahirkan dalam perjalanan mereka ke Efrata. Rahel menghadapi banyak kesukaran semasa melahirkan anak itu. Dia mati semasa bersalin. Tetapi, bayi itu dilahirkan sihat. Yakub menamakan bayi itu Benyamin.

Oleh sebab anak-anak lelaki Yakub merupakan nenek moyang kepada bangsa Israel, adik digalakkan untuk menghafal nama kesemua 12 orang anak lelaki Yakub. Sebenarnya, kesemua 12 suku Israel dinamakan mengikut nama sepuluh orang anak lelaki Yakub dan dua orang anak lelaki Yusuf. Ishak hidup bertahun-tahun selepas semua anak lelaki Yakub dilahirkan. Tentu dia berasa gembira kerana mempunyai begitu banyak cucu lelaki. Sekarang, marilah kita lihat apa yang telah berlaku kepada Dina, cucu perempuan Ishak.