Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 35

Yehuwa Memberikan Hukum-hukum-Nya

Yehuwa Memberikan Hukum-hukum-Nya

KIRA-KIRA dua bulan selepas orang Israel meninggalkan Mesir, mereka tiba di Gunung Sinai yang juga dipanggil Gunung Horeb. Di sinilah tempatnya Yehuwa bercakap kepada Musa dari pokok kecil yang bernyala. Orang Israel berkhemah di sini untuk suatu jangka masa yang tertentu.

Sementara mereka menunggu di kaki gunung, Musa mendaki gunung itu. Semasa Musa berada di atas gunung itu, Yehuwa memberitahu Musa bahawa Dia mahu orang Israel mentaati-Nya dan menjadi umat-Nya yang istimewa. Apabila Musa turun dari gunung itu, dia menyampaikan kata-kata Yehuwa kepada orang Israel. Orang Israel berkata bahawa mereka akan mentaati Yehuwa kerana mereka mahu menjadi umat-Nya.

Sekarang, Yehuwa melakukan sesuatu yang menghairankan. Dia menyebabkan puncak gunung itu berasap. Bunyi guruh juga jelas kedengaran. Kemudian, Dia berkata kepada orang Israel, “Akulah Yehuwa, Tuhanmu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir.” Dia juga memberi perintah ini, “Kamu tidak boleh menyembah mana-mana tuhan yang lain kecuali Aku.”

Tuhan memberi orang Israel sembilan lagi perintah, atau hukum. Orang Israel berasa sangat takut. Mereka memberitahu Musa, “Kamu sahajalah bercakap kepada kami kerana kami takut jika Tuhan bercakap kepada kami, kami akan mati.”

Selepas itu, Yehuwa memberitahu Musa, “Datanglah kepada-Ku di atas gunung. Di sana, Aku akan memberikan dua keping batu bertulis kepadamu. Aku telah menuliskan semua hukum-Ku di atas batu-batu itu. Aku mahu umat-Ku mematuhi hukum-hukum itu.” Maka Musa mendaki gunung itu sekali lagi. Dia berada di situ selama 40 hari dan 40 malam.

Tuhan memberikan banyak hukum kepada umat-Nya. Musa mencatatkan hukum-hukum itu. Tuhan juga memberi Musa dua keping batu yang leper. Di atas batu-batu ini, Tuhan sendiri telah menulis sepuluh hukum yang telah disampaikan oleh-Nya kepada orang Israel. Hukum-hukum ini dipanggil Sepuluh Hukum.

Sepuluh Hukum merupakan hukum-hukum yang penting. Hukum-hukum lain yang diberikan oleh Tuhan kepada orang Israel adalah penting juga. Salah satu hukum ini menyatakan, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, seluruh akalmu, segenap jiwamu, dan segala kekuatanmu.” Satu lagi hukum menyatakan, “Kamu mesti mengasihi jiranmu sebagaimana kamu mengasihi dirimu.” Yesus Kristus, iaitu Anak Tuhan telah mengatakan bahawa kedua-dua hukum ini merupakan hukum-hukum yang terpenting yang telah diberikan oleh Yehuwa kepada umat-Nya. Kita akan belajar lebih banyak lagi tentang Anak Tuhan dan ajaran-ajarannya.