Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 36

Anak Lembu Emas

Anak Lembu Emas

ALAMAK! Apakah yang sedang dilakukan oleh orang Israel sekarang? Mereka sedang menyembah seekor anak lembu! Mengapakah mereka melakukan hal ini?

Apabila Musa sudah lama berada di atas gunung, orang Israel berkata, “Kita tidak tahu apa yang telah berlaku kepada Musa. Marilah kita membuat satu tuhan untuk memimpin kita keluar dari negeri ini.”

“Baiklah,” kata Harun, abang Musa. “Tanggalkanlah anting-anting emas kamu dan berikanlah anting-anting itu kepadaku.” Selepas mereka berbuat demikian, Harun meleburkan anting-anting mereka lalu membuat sebuah patung anak lembu emas. Selepas itu, orang Israel berkata, “Inilah Tuhan kita yang telah membawa kita keluar dari Mesir!” Kemudian, mereka mengadakan pesta yang besar untuk menyembah anak lembu emas itu.

Apabila Yehuwa nampak apa yang telah berlaku, Dia berasa sangat marah. Maka, Dia berkata kepada Musa, “Cepatlah turun. Kelakuan orang Israel buruk sekali. Mereka sudah lupa akan hukum-hukum-Ku dan mereka sedang bersujud menyembah sebuah patung anak lembu emas.”

Musa cepat-cepat turun dari gunung itu. Apabila dia menghampiri mereka, dia nampak orang Israel menyanyi sambil menari mengelilingi anak lembu emas itu! Musa berasa begitu marah sehingga dia mencampakkan kedua-dua keping batu leper yang terpahat dengan hukum-hukum Tuhan ke tanah! Kedua-dua keping batu itu pecah menjadi serpihan-serpihan kecil. Kemudian, Musa meleburkan dan menghancurkan anak lembu emas itu menjadi serbuk yang halus.

Apa yang dilakukan oleh orang Israel adalah sangat buruk. Oleh itu, Musa menyuruh beberapa orang lelaki mengambil pedang mereka. Lalu dia berkata, “Mereka yang menyembah anak lembu emas itu mesti dibunuh.” Pada hari itu juga, 3,000 orang telah dibunuh! Tidakkah hal ini menunjukkan bahawa kita harus menyembah Yehuwa sahaja dan bukannya mana-mana tuhan yang palsu?