Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 39

Tongkat Harun Berbunga

Tongkat Harun Berbunga

LIHATLAH bunga-bunga dan buah badam yang tumbuh pada tongkat ini. Tongkat ini ialah tongkat Harun. Dalam masa satu malam sahaja, bunga-bunga dan buah-buah yang masak telah tumbuh dari tongkat Harun! Mari kita lihat mengapa hal ini terjadi.

Orang Israel telah merayau-rayau di padang belantara untuk beberapa lama. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa Musa tidak patut menjadi pemimpin mereka, dan Harun tidak patut menjadi penghentar agung. Antara mereka yang berfikir sedemikian ialah Korah, Datan, Abiram, dan 250 orang ketua umat Israel. Mereka semua datang berjumpa Musa lalu berkata, “Mengapakah engkau menganggap dirimu lebih tinggi daripada kami?”

Musa memberitahu Korah dan pengikut-pengikutnya, “Esok pagi, bawa bekas api dan isikan bekas-bekas itu dengan dupa. Selepas itu, datanglah ke khemah suci Yehuwa. Kita akan lihat siapa yang akan dipilih oleh Yehuwa.”

Pada hari berikutnya, Korah bersama-sama 250 orang pengikutnya datang ke khemah suci Yehuwa. Banyak orang Israel yang lain juga telah datang ke khemah suci untuk memberi sokongan kepada mereka. Yehuwa berasa sangat marah. “Undurlah dari khemah-khemah lelaki jahat ini,” kata Musa. “Jangan sentuh apa-apa yang dimiliki oleh mereka.” Orang Israel mendengar kata-kata Musa dan menjauhkan diri dari khemah Korah, Datan, dan Abiram.

Kemudian Musa berkata, “Beginilah caranya untuk mengetahui siapa yang telah dipilih oleh Yehuwa. Tanah akan membuka mulutnya lalu menelan semua orang yang jahat ini.”

Sebaik sahaja Musa habis bercakap, tanah mula terbelah. Khemah Korah dan segala harta bendanya lenyap ditelan bumi. Datan, Abiram, serta pengikut-pengikut mereka juga jatuh dan ditutupi bumi. Orang Israel mendengar jeritan mereka yang ditelan bumi. Oleh itu, mereka berteriak, “Lari! Nanti kita juga ditelan bumi!”

Walau bagaimanapun, Korah bersama-sama 250 orang pengikutnya masih berada dekat dengan khemah suci. Maka, Yehuwa mendatangkan api dan mereka semua mati dijilat api. Kemudian, Yehuwa menyuruh anak lelaki Harun, yang bernama Eleazar, untuk mengambil bekas-bekas api kepunyaan lelaki yang telah mati itu untuk dijadikan satu lapisan yang nipis untuk diletakkan pada mazbah. Lapisan yang nipis ini mengingatkan semua orang Israel bahawa selain daripada Harun dan anak-anak lelakinya, tiada sesiapa pun boleh menjalankan tugas seorang penghentar.

Namun begitu, Yehuwa mahu menunjukkan dengan jelas bahawa Harun dan anak-anak lelakinya sahajalah yang telah dipilih untuk menjadi penghentar. Oleh itu, Dia memberitahu Musa, “Suruh pemimpin daripada setiap suku bangsa Israel untuk memberi engkau tongkatnya. Suruh Harun membawa tongkatnya untuk mewakili suku Lewi. Kemudian, letakkan tongkat-tongkat ini di depan tabut perjanjian di dalam khemah suci. Tongkat kepunyaan lelaki yang Aku pilih untuk menjadi penghentar akan berbunga.”

Pada pagi berikutnya, Musa nampak bahawa tongkat Harun telah berbunga dan terdapat buah badam yang masak yang tumbuh daripada tongkatnya! Sekarang, bolehkah adik faham mengapa Yehuwa menyebabkan tongkat Harun berbunga?