Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 25

Keluarga Yakub Berpindah ke Mesir

Keluarga Yakub Berpindah ke Mesir

YUSUF tidak dapat mengawal perasaannya lagi. Dia menyuruh semua hambanya untuk meninggalkan bilik itu. Kemudian, apabila dia berada di dalam bilik itu dengan abang-abang dan adiknya, Yusuf mula menangis. Mereka tidak tahu mengapa Yusuf sedang menangis. Bolehkah adik bayangkan betapa terkejutnya adik-beradiknya melihat Yusuf menangis? Akhirnya, dia berkata, “Aku Yusuf. Adakah bapaku masih hidup?”

Adik-beradiknya berasa begitu terkejut sehingga mereka tidak dapat menjawab. Mereka berasa takut. Tetapi Yusuf menyuruh mereka mendekatinya. Apabila mereka mendekatinya, dia berkata, “Aku Yusuf, adikmu yang kamu jual ke Mesir.”

Yusuf menenangkan hati mereka dengan kata-kata yang lembut. Dia berkata, “Jangan salahkan diri kerana kamu telah menjual aku. Sebenarnya, Tuhanlah yang telah menghantar aku ke Mesir untuk menyelamatkan banyak orang. Firaun telah menjadikan aku pemerintah di seluruh Mesir. Jadi, pulanglah dengan segera kepada bapaku dan sampaikan hal ini kepadanya. Jemputlah dia datang dan tinggal di sini.”

Kemudian, Yusuf memeluk dan mencium semua adik-beradiknya. Apabila Firaun mendapat berita tentang kedatangan adik-beradik Yusuf, dia memberitahu Yusuf, “Suruhlah mereka mengambil beberapa buah pedati untuk membawa bapa mereka dan keluarga-keluarga mereka ke sini. Beta akan memberi mereka tanah yang terbaik di Mesir.”

Mereka melakukan apa yang telah dikatakan oleh Firaun. Dalam gambar ini, adik boleh melihat Yusuf bertemu dengan bapanya yang baru tiba di Mesir dengan seluruh keluarganya.

Keluarga Yakub telah menjadi sangat besar. Apabila mereka berpindah ke Mesir, Yakub dan anak cucunya berjumlah 70 orang. Isteri-isteri mereka juga mengikut mereka. Tambahan pula, mereka mungkin mempunyai ramai hamba. Mereka semua tinggal di Mesir. Mereka dipanggil orang Israel kerana Tuhan telah mengubah nama Yakub kepada Israel. Kita akan lihat bagaimana orang Israel menjadi umat Tuhan yang sangat istimewa.