Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 22

Yusuf Dipenjarakan

Yusuf Dipenjarakan

YUSUF hanya berumur 17 tahun apabila dia dibawa ke Mesir. Di sana, dia dijual kepada seorang lelaki yang bernama Potifar. Potifar bekerja untuk raja Mesir yang bergelar Firaun.

Yusuf bekerja keras untuk tuannya, Potifar. Oleh sebab itu, apabila Yusuf menjadi lebih besar, Yusuf diberi tugas untuk mengurus rumah tangga Potifar. Jadi, mengapakah Yusuf berada di dalam penjara? Hal ini disebabkan oleh isteri Potifar.

Apabila Yusuf menjadi dewasa, dia sangat tampan, dan isteri Potifar mahu Yusuf tidur dengannya. Tetapi Yusuf tahu bahawa perbuatan sebegini adalah salah. Jadi, dia enggan melakukannya. Oleh itu, isteri Potifar menjadi sangat marah. Apabila suaminya pulang, dia berbohong kepada suaminya. Dia berkata, “Yusuf yang jahat itu mencuba untuk tidur dengan aku!” Potifar mempercayai kata-kata isterinya. Dia sangat marah kepada Yusuf. Oleh itu, dia telah memberi perintah supaya Yusuf dipenjarakan.

Ketua penjara itu mendapati bahawa Yusuf ialah seorang lelaki yang baik. Jadi, Yusuf diberi kerja untuk menjaga semua banduan yang lain. Tidak lama kemudian, Firaun marah kepada pengurus minuman dan pengurus rotinya. Jadi dia memasukkan mereka ke dalam penjara. Pada suatu malam, mereka masing-masing mengalami mimpi yang istimewa. Tetapi, mereka tidak tahu akan erti mimpi-mimpi mereka. Pada keesokan harinya, Yusuf berkata kepada mereka, “Beritahulah saya mimpi-mimpi itu.” Apabila mereka menceritakan mimpi-mimpi mereka, Yusuf menjelaskan erti mimpi mereka dengan bantuan Tuhan.

Yusuf berkata kepada pengurus minuman, “Dalam masa tiga hari, tuan akan dibebaskan daripada penjara dan akan kembali bekerja sebagai pengurus minuman Firaun.” Yusuf berkata lagi, “Apabila tuan dibebaskan, tolong merayu kepada Firaun bagi pihak saya supaya saya dibebaskan daripada tempat ini.” Sebaliknya, Yusuf berkata kepada pengurus roti, “Dalam masa tiga hari, Firaun akan menyuruh orang memancung kepala tuan.”

Seperti yang telah dikatakan oleh Yusuf, selepas tiga hari, Firaun telah mengarahkan orang untuk memancung kepala pengurus roti. Tetapi, pengurus minuman pula dibebaskan daripada penjara dan kembali bekerja untuk raja. Namun demikian, pengurus minuman itu lupa akan Yusuf sama sekali! Dia tidak memberitahu Firaun tentang Yusuf. Oleh itu, Yusuf dibiarkan terkurung di dalam penjara.