Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 72

Tuhan Membantu Raja Hizkia

Tuhan Membantu Raja Hizkia

TAHUKAH adik mengapa lelaki ini sedang berdoa kepada Yehuwa? Mengapakah dia meletakkan surat-surat ini di hadapan mazbah Yehuwa? Lelaki ini bernama Hizkia. Dia ialah raja yang memerintah kerajaan dua suku bangsa di selatan Israel. Dan dia sedang menghadapi masalah yang besar. Apakah yang telah berlaku?

Tentera Asyur telah membinasakan kerajaan utara yang terdiri daripada sepuluh suku bangsa Israel. Yehuwa membenarkan hal ini berlaku kerana mereka sangat jahat. Dan sekarang, tentera Asyur akan menyerang kerajaan dua suku bangsa Israel.

Raja Asyur baru sahaja menghantar beberapa pucuk surat kepada Raja Hizkia. Inilah surat-surat yang telah diletakkan oleh Hizkia di hadapan mazbah Tuhan. Surat-surat ini menghina Yehuwa dan menyuruh Hizkia menyerah kalah. Itulah sebabnya Hizkia berdoa, “Ya Yehuwa, selamatkanlah kami daripada raja Asyur supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau adalah satu-satunya Tuhan yang benar.” Adakah Yehuwa akan mendengar doa Hizkia?

Hizkia ialah seorang raja yang baik. Dia bukan raja yang jahat seperti bapanya, Raja Ahas atau seperti raja-raja kerajaan sepuluh suku bangsa Israel. Hizkia berusaha untuk mematuhi semua perintah Yehuwa. Oleh itu, selepas Hizkia selesai berdoa, penubuat yang bernama Yesaya membawakannya pesanan Yehuwa yang berikut: “Raja Asyur tidak akan masuk ke dalam Yerusalem. Tidak seorang pun daripada askarnya akan mendekati kota ini. Mereka tidak akan melepaskan sebilah anak panah pun ke arah kota ini.”

Lihatlah gambar pada muka surat ini. Tahukah adik siapa semua askar yang sudah mati ini? Mereka ialah askar-askar Asyur. Yehuwa telah menghantar malaikat-Nya dan dalam masa satu malam, malaikat itu telah membunuh 185,000 orang askar Asyur. Oleh itu, raja Asyur menyerah kalah lalu kembali ke tanah airnya.

Kerajaan dua suku bangsa Israel terselamat dan rakyatnya menikmati kedamaian untuk suatu jangka masa. Tetapi, selepas Hizkia mati, anak lelakinya Manasye dijadikan raja. Manasye dan anak lelakinya, Amon merupakan raja-raja yang sangat jahat. Jadi wilayah mereka dipenuhi dengan jenayah dan kekerasan sekali lagi. Apabila Raja Amon dibunuh oleh hamba-hambanya, anak lelakinya yang bernama Yosia dijadikan raja kerajaan dua suku bangsa Israel.