Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 61

Daud Dijadikan Raja

Daud Dijadikan Raja

SAUL mencuba menangkap Daud sekali lagi. Dia berangkat bersama-sama 3,000 orang askarnya yang terbaik untuk mencari Daud. Apabila Daud tahu akan hal ini, dia menghantar pengintip-pengintip untuk mendapatkan maklumat tentang tempat perkhemahan Saul dan askar-askarnya. Kemudian, Daud menanya dua orang pengikutnya, “Siapa di antara kamu rela mengikut aku ke dalam perkhemahan Saul?”

“Saya,” jawab Abisai. Abisai ialah anak lelaki kepada kakak Daud yang bernama Zeruya. Semasa Saul dan askar-askarnya sedang tidur, Daud dan Abisai memasuki khemah mereka dengan senyap-senyap. Mereka mengambil tombak dan bekas air Saul yang terletak dekat dengan kepala Saul. Tiada seorang pun yang nampak mereka atau tahu apa yang terjadi kerana semua orang sedang tidur nyenyak.

Lihatlah Daud dan Abisai. Mereka telah meninggalkan kawasan perkhemahan Saul. Sekarang mereka berada di atas sebuah bukit dengan selamatnya. Daud menjerit kepada ketua tentera Israel, “Abner, mengapakah kamu tidak melindungi rajamu? Lihatlah! Di manakah tombak dan bekas air raja?”

Saul terjaga daripada tidur. Dia mengenali suara Daud lalu dia bertanya, “Adakah itu suara kamu, Daud?” Bolehkah adik nampak Saul dan Abner di bawah sana?

“Ya, tuanku,” Daud menjawab Raja Saul. Kemudian Daud bertanya, “Mengapakah tuanku masih mencuba menangkap hamba? Apakah kesalahan hamba? Inilah tombak tuanku. Suruhlah salah seorang askar tuanku datang ke sini untuk mengambilnya.”

“Beta sudah berdosa,” Saul mengakui. “Beta telah bertindak dengan bodoh.” Dengan itu, Daud pun meninggalkan tempat itu, manakala Saul pula pulang ke rumahnya. Bagaimanapun, Daud berkata dalam hatinya, “Suatu hari nanti, Saul akan membunuh saya. Lebih baik saya melarikan diri ke negeri orang Filistin.” Jadi, dia pun pergi ke sana. Daud berjaya menipu orang Filistin dan membuat mereka percaya bahawa dia memihak kepada mereka.

Beberapa lama kemudian, orang Filistin menyerang Israel. Dalam pertempuran itu, Saul dan Yonatan dibunuh. Daud berasa sangat sedih lalu dia menulis sebuah lagu yang menyentuh hati. Sebahagian daripada lagu itu berbunyi, “Aduhai Yonatan, aku bersedih keranamu! Alangkah baiknya engkau terhadapku!”

Selepas itu, Daud pulang ke kota Hebron di Israel. Sebuah perang tercetus antara penyokong-penyokong Isyboset, anak lelaki Saul, dan penyokong-penyokong Daud. Akhirnya, penyokong-penyokong Daud menang dalam perang itu. Daud berumur 30 tahun semasa dia dijadikan raja. Selama tujuh tahun setengah, Daud memerintah di Hebron. Semasa dia berada di sana, beberapa orang anak lelakinya telah dilahirkan. Antara mereka ialah Amnon, Absalom, dan Adonia.

Kemudian, Daud dan pengikut-pengikutnya menawan sebuah kota yang cantik yang dipanggil Yerusalem. Seorang lagi anak kakak Daud yang bernama Yoab mengetuai pertempuran itu. Oleh itu, Daud membalas jasa Yoab dengan menjadikan Yoab ketua tenteranya. Sekarang, Daud mula memerintah di kota Yerusalem.