Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 7

Seorang Lelaki yang Berani

Seorang Lelaki yang Berani

KIAN hari bilangan orang di bumi kian bertambah. Kebanyakan orang adalah seperti Kain kerana mereka melakukan hal-hal yang jahat. Tetapi, terdapat seorang lelaki yang amat berbeza. Lelaki ini bernama Henokh. Henokh ialah seorang lelaki yang berani. Walaupun orang di sekelilingnya melakukan hal-hal yang sangat jahat, Henokh tetap berkhidmat kepada Tuhan.

Tahukah adik mengapa orang pada masa itu melakukan banyak hal yang jahat? Cuba adik fikirkan, Siapakah yang menyebabkan Adam dan Hawa melanggar perintah Tuhan? Siapakah yang menyuruh mereka makan buah yang dilarang oleh Tuhan? Satu malaikat yang jahat telah melakukan hal ini. Dalam Bible, dia dipanggil Syaitan. Dia sedang berusaha untuk menjadikan semua orang jahat.

Pada suatu hari, Tuhan Yehuwa menyuruh Henokh memberitahu orang yang hidup sezaman dengannya tentang sesuatu yang tidak ingin didengari oleh mereka. Henokh memberitahu mereka bahawa tidak lama lagi, Tuhan akan membinasakan semua manusia yang jahat. Apabila mereka mendengar kata-kata ini, kemungkinan besar mereka berasa sangat marah. Malah, mereka mungkin telah mencuba untuk membunuh Henokh. Untuk memberitahu mereka apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa, Henokh mestilah berani.

Tuhan tidak membenarkan Henokh hidup lama dalam kalangan orang yang jahat. Henokh hidup selama 365 tahun sahaja. Mengapakah kita berkata “Henokh hidup selama 365 tahun sahaja”? Hal ini adalah kerana manusia yang hidup pada masa itu adalah lebih kuat dan dapat hidup lebih lama daripada kita. Malah, anak Henokh, iaitu Metusalah hidup hingga dia berumur 969 tahun!

Selepas kematian Henokh, kelakuan orang menjadi semakin buruk. Bible mengatakan bahawa “fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan,” dan “bumi sudah penuh dengan kekejaman mereka.”

Tahukah adik mengapa begitu banyak masalah terjadi di bumi pada masa itu? Hal ini adalah kerana Syaitan mempunyai cara yang baru untuk mempengaruhi orang supaya mereka melakukan hal-hal yang jahat. Kita akan mempelajari tentang hal ini dalam cerita yang seterusnya.