Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 56

Saul—Raja Pertama Israel

Saul—Raja Pertama Israel

LIHAT Samuel menuangkan minyak ke atas kepala lelaki ini. Pada zaman dahulu, minyak dituangkan ke atas kepala seseorang untuk menunjukkan bahawa dia telah dipilih untuk menjadi raja. Yehuwalah yang menyuruh Samuel untuk menuangkan minyak ke atas kepala Saul. Minyak ini merupakan minyak khas yang berbau wangi.

Saul berasa dia tidak layak untuk menjadi seorang raja. “Saya berasal daripada suku Benyamin, suku bangsa yang paling kecil di Israel,” dia memberitahu Samuel. “Mengapakah tuan berkata bahawa saya akan menjadi raja?” Yehuwa suka akan Saul kerana dia tidak berlagak seperti orang yang penting atau orang besar. Itulah sebabnya Dia memilih Saul untuk menjadi raja.

Tetapi, Saul bukan orang yang miskin. Dia berasal daripada keluarga yang kaya. Dia seorang lelaki yang sangat kacak dan tinggi. Saul adalah kira-kira 30 sentimeter lebih tinggi daripada orang lain di Israel! Saul bukan sahaja boleh berlari dengan sangat pantas, malah dia seorang lelaki yang sangat kuat. Orang Israel berasa gembira kerana Yehuwa telah memilih Saul sebagai raja mereka. Mereka semua bersorak, “Daulat Tuanku!”

Musuh-musuh orang Israel masih kuat seperti biasa. Mereka masih menimbulkan banyak masalah untuk orang Israel. Tidak lama selepas Saul dijadikan raja, orang Amon datang untuk menyerang mereka. Tetapi, Saul mengumpulkan sepasukan askar yang besar, dan dia mendapat kemenangan ke atas orang Amon. Hal ini menyebabkan orang Israel gembira kerana Saul ialah raja mereka.

Tahun demi tahun, Saul memimpin orang Israel untuk mengalahkan banyak musuh mereka. Saul juga mempunyai seorang anak lelaki yang berani yang bernama Yonatan. Yonatan membantu orang Israel memenangi banyak pertempuran. Orang Filistin masih merupakan musuh orang Israel yang paling ketat. Pada suatu hari, beribu-ribu orang Filistin datang menyerang orang Israel.

Samuel menyuruh Saul menunggu ketibaannya. Kemudian Samuel akan mempersembahkan korban, atau pemberian kepada Yehuwa. Tetapi Samuel mengambil masa yang lama untuk sampai. Saul risau orang Filistin akan memulakan pertempuran itu. Jadi dia sendiri mempersembahkan korban kepada Yehuwa. Akhirnya, apabila Samuel sampai, dia memberitahu Saul bahawa Saul telah mengingkari Yehuwa. “Yehuwa akan memilih orang lain untuk menjadi raja Israel,” kata Samuel.

Kemudian, Saul mengingkari Yehuwa sekali lagi. Maka Samuel memberitahunya, “Lebih baik taat kepada Yehuwa daripada mempersembahkan biri-biri yang terbaik kepada-Nya. Oleh sebab tuanku tidak taat kepada Yehuwa, Yehuwa telah menolak tuanku sebagai raja Israel.”

Apakah yang boleh kita pelajari daripada cerita ini? Kita belajar bahawa kita mesti selalu taat kepada Yehuwa. Kita juga telah belajar bahawa orang yang baik seperti Saul, boleh berubah menjadi jahat. Kita tidak mahu menjadi jahat, bukan?