Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 83

Tembok Yerusalem

Tembok Yerusalem

LIHATLAH kerja pembinaan yang sedang dijalankan di sini. Orang Israel sibuk membina tembok Yerusalem. Apabila Raja Nebukadnezar memusnahkan kota Yerusalem 152 tahun dahulu, dia telah merobohkan tembok dan membakar pintu-pintu gerbang kota Yerusalem. Semasa orang Israel pulang ke Yerusalem dari Babilon, mereka tidak membina semula tembok Yerusalem.

Pada pendapat adik, apakah perasaan orang Israel yang telah hidup bertahun-tahun di kota Yerusalem tanpa tembok di sekeliling kota mereka? Mereka tentu tidak berasa selamat. Musuh dapat memasuki kota mereka dan menyerang mereka dengan mudah. Tetapi sekarang, seorang lelaki yang bernama Nehemia sedang membantu mereka untuk membina semula tembok Yerusalem. Tahukah adik siapa itu Nehemia?

Nehemia ialah seorang lelaki Israel yang berasal dari kota Susan. Mordekhai dan Ester juga tinggal di kota itu. Nehemia bekerja di istana, jadi kemungkinan besar dia berkawan baik dengan Mordekhai dan Permaisuri Ester. Namun begitu, Bible tidak menyatakan bahawa dia bekerja untuk suami Ester, Raja Ahasyweros. Dia bekerja untuk Raja Artahsasta, iaitu raja yang memerintah selepas Raja Ahasyweros.

Jika adik masih ingat, Artahsasta ialah seorang raja yang baik yang telah memberi Ezra banyak wang untuk dibawa pulang ke Yerusalem untuk membaiki Rumah Yehuwa. Tetapi Ezra tidak membina semula tembok kota Yerusalem yang telah dirobohkan. Nehemialah yang telah melakukan kerja ini. Marilah kita lihat mengapa.

Tiga belas tahun telah berlalu semenjak Artahsasta memberikan wang kepada Ezra untuk membaiki Rumah Yehuwa. Sekarang, Nehemia ialah pengurus minuman Raja Artahsasta. Dia menghidangkan wain kepada raja dan memastikan bahawa tiada sesiapa pun meracuni raja. Jadi, kerjanya adalah sangat penting.

Pada suatu hari, saudara Nehemia yang bernama Hanani dan beberapa orang lelaki yang lain telah datang dari Israel untuk melawatnya. Mereka memberitahu Nehemia masalah-masalah yang dihadapi oleh orang Israel. Mereka juga memberitahunya bahawa tembok Yerusalem masih dalam keadaan yang buruk. Hal ini menyebabkan Nehemia berasa sangat sedih. Maka, dia berdoa kepada Yehuwa.

Pada suatu hari, Raja Artahsasta nampak bahawa Nehemia berasa sedih. Maka dia bertanya, “Mengapakah kamu kelihatan begitu sedih?” Nehemia memberitahu raja bahawa dia sedih kerana kota Yerusalem berada dalam keadaan yang buruk dan tembok Yerusalem masih belum dibaiki. “Apakah permintaan kamu?” tanya raja.

“Izinkan hamba kembali ke Yerusalem untuk membina semula tembok Yerusalem,” jawab Nehemia. Raja Artahsasta yang baik hati mengizinkan Nehemia untuk kembali ke Yerusalem. Malah, dia juga telah membantu Nehemia untuk mendapatkan kayu bagi kerja pembinaan. Tidak lama selepas Nehemia tiba di Yerusalem, dia memberitahu orang Israel tentang rancangannya. Mereka suka akan rancangannya lalu berkata, “Marilah kita mula membina tembok Yerusalem!”

Apabila musuh-musuh orang Israel nampak bahawa makin hari tembok kota Yerusalem makin tinggi, mereka berkata, “Kita akan pergi ke sana untuk membunuh mereka dan menghentikan kerja pembinaan mereka.” Tetapi, Nehemia mendapat tahu tentang rancangan mereka. Maka dia memberikan pedang-pedang dan tombak-tombak kepada orang Israel lalu berkata, “Janganlah takut akan musuh-musuh kita. Berjuanglah untuk saudara-saudaramu, anak isterimu, dan rumah-rumahmu.”

Orang Israel sangat berani. Mereka bersiap sedia dengan senjata-senjata mereka siang dan malam sambil meneruskan kerja pembinaan. Maka, dalam masa 52 hari sahaja, tembok tersebut siap dibina. Orang Israel kini dapat hidup dengan selamat di dalam kota Yerusalem. Nehemia dan Ezra mengajarkan hukum-hukum Tuhan kepada orang Israel dan orang Israel berasa gembira.

Tetapi kehidupan orang Israel masih tidak sama dengan kehidupan mereka sebelum dijadikan tawanan di Babilon. Mereka berada di bawah pemerintahan raja Persia dan mereka terpaksa bekerja untuknya. Walau bagaimanapun, Yehuwa telah berjanji bahawa Dia akan mengutus seorang raja yang baru. Raja yang baru ini akan membawa kedamaian ke bumi. Siapakah raja ini? Bagaimanakah dia akan membawa kedamaian ke bumi? Kira-kira 450 tahun berlalu sebelum apa-apa lagi tentang hal ini diketahui. Pada masa itu, seorang bayi dilahirkan. Anak ini akan menjadi orang yang penting. Tetapi hal ini akan diceritakan nanti.