Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 86

Bintang Menunjukkan Jalan

Bintang Menunjukkan Jalan

BOLEHKAH adik nampak bintang terang yang sedang ditunjuk oleh salah seorang lelaki di dalam gambar ini? Ahli-ahli nujum ini merupakan pengkaji bintang yang datang dari negeri-negeri di Timur. Apabila mereka meninggalkan Yerusalem, bintang ini muncul. Mereka percaya bahawa bintang yang baru ini sedang membawa mereka menemui seorang manusia yang penting.

Apabila ahli-ahli nujum ini sampai di Yerusalem, mereka bertanya, “Di manakah anak yang akan menjadi raja orang Yahudi?” “Yahudi” ialah nama lain bagi orang Israel. “Kami mula nampak bintangnya semasa kami berada di Timur dan kami telah datang ke sini untuk menyembahnya,” kata mereka.

Apabila Raja Herodes yang memerintah di Yerusalem mendapat tahu tentang hal ini, dia menjadi gelisah. Dia tidak mahu raja yang lain mengambil tempatnya. Jadi, Herodes memanggil ketua-ketua penghentar lalu bertanya, “Di manakah raja yang dijanjikan itu akan dilahirkan?” Mereka menjawab, “Bible menyatakan bahawa dia akan dilahirkan di Betlehem.”

Selepas mendengar hal ini, Herodes memanggil ahli-ahli nujum dari Timur lalu berkata, “Pergi dan carilah anak kecil ini. Apabila kamu menjumpainya, beritahulah beta. Beta juga ingin menyembahnya.” Sebenarnya, Herodes ingin mencari anak ini dan membunuhnya!

Selepas itu, bintang ini mendahului mereka dan membawa mereka ke Betlehem. Bintang ini berhenti di atas sebuah rumah, di tempat anak ini berada. Apabila mereka masuk ke dalam, mereka menjumpai Maria dengan anak kecilnya yang bernama Yesus. Mereka mengeluarkan hadiah-hadiah untuk diberikan kepada Yesus. Kemudian, Yehuwa memberitahu mereka melalui sebuah mimpi bahawa mereka tidak boleh pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan Herodes. Jadi, mereka menggunakan jalan yang lain untuk pulang ke tanah air mereka.

Apabila Herodes mendapat tahu bahawa ahli-ahli nujum dari Timur telah kembali ke tanah air mereka, dia menjadi sangat marah. Jadi, dia memberikan perintah agar semua anak lelaki di Betlehem yang berumur dua tahun dan ke bawah dibunuh. Tetapi, sebelum hal ini berlaku, Yehuwa telah memberi Yusuf sebuah mimpi. Dalam mimpi tersebut Yehuwa telah menyuruh Yusuf untuk meninggalkan Betlehem. Maka Yusuf membawa Maria dan Yesus ke Mesir. Apabila Yusuf mendapat tahu bahawa Herodes telah meninggal, dia membawa Maria dan Yesus pulang ke Nasaret. Di sinilah tempatnya Yesus membesar.

Pada pendapat adik, siapakah yang menyebabkan bintang yang baru ini bersinar? Jika adik masih ingat, ahli-ahli nujum ini telah pergi ke Yerusalem apabila mereka nampak bintang ini. Syaitan Si Iblis mahu membunuh Anak Tuhan dan dia tahu bahawa Raja Herodes yang memerintah di Yerusalem akan berusaha untuk membunuh Yesus. Jadi, Syaitanlah yang telah menyebabkan bintang ini bersinar.