Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 88

Yohanes Membaptiskan Yesus

Yohanes Membaptiskan Yesus

LIHATLAH burung merpati yang sedang turun ke atas kepala lelaki dalam gambar ini. Lelaki itu ialah Yesus. Dia berumur sekitar 30 tahun sekarang. Lelaki yang ada bersamanya ialah Yohanes. Kita telah mempelajari sedikit sebanyak tentang Yohanes. Adakah adik masih ingat tentang apa yang telah berlaku apabila Maria melawat saudaranya yang bernama Elisabet? Bayi dalam kandungan Elisabet telah melonjak kegembiraan. Bayi itu ialah Yohanes. Sekarang, apakah yang sedang dilakukan oleh Yohanes dan Yesus?

Yohanes baru sahaja membenamkan Yesus ke dalam Sungai Yordan. Bagaimanakah seseorang dibaptiskan? Dia dibenamkan ke dalam air dan kemudiannya dikeluarkan. Oleh sebab Yohanes membaptiskan orang, dia dipanggil Yohanes Pembaptis. Tetapi, mengapakah Yohanes membaptiskan Yesus?

Yohanes membaptiskan Yesus kerana Yesus memintanya untuk berbuat demikian. Yohanes membaptiskan orang yang ingin menunjukkan bahawa mereka menyesali perbuatan jahat yang telah dilakukan oleh mereka. Tetapi, pernahkah Yesus melakukan sesuatu yang jahat? Tidak! Yesus tidak pernah melakukan apa-apa yang jahat kerana dia ialah Anak Tuhan dari syurga. Jadi, Yesus meminta Yohanes untuk membaptiskannya atas sebab yang lain. Marilah kita lihat mengapa Yesus dibaptiskan.

Sebelum Yesus dibaptiskan oleh Yohanes, dia merupakan seorang tukang kayu. Seorang tukang kayu membuat benda-benda seperti meja, kerusi, dan bangku daripada kayu. Suami Maria, Yusuf, ialah seorang tukang kayu dan dia telah melatih Yesus untuk menjadi tukang kayu juga. Tetapi, Yehuwa tidak menghantar Anak-Nya ke bumi untuk menjadi seorang tukang kayu. Dia mempunyai tugas yang istimewa untuk Yesus, dan masanya telah tiba bagi Yesus untuk melaksanakan tugas ini. Jadi, Yesus meminta Yohanes membaptiskannya sebagai tanda untuk menunjukkan bahawa dia hendak melakukan kehendak Bapanya. Adakah Tuhan senang hati dengan pembaptisan Yesus?

Sudah tentu! Kita tahu akan hal ini kerana selepas Yesus keluar dari sungai, kedengaran suara Tuhan dari syurga berkata, “Inilah Anak-Ku yang menyenangkan hati-Ku.” Pada masa yang sama, syurga seakan-akan terbuka dan burung merpati itu turun ke atas Yesus. Tetapi, burung itu bukan burung merpati yang sebenar. Yang turun ke atas Yesus sebenarnya ialah daya aktif Tuhan.

Banyak perkara yang harus difikirkan oleh Yesus. Oleh itu, Yesus pergi ke sebuah tempat yang sunyi selama 40 hari. Di sana, Syaitan datang kepada Yesus dan tiga kali dia mencuba membuat Yesus melanggar hukum Tuhan. Tetapi, Yesus enggan melakukan apa yang disuruh oleh Syaitan.

Selepas itu, Yesus meninggalkan tempat itu. Dia menemui beberapa orang lelaki yang menjadi pengikut-pengikut, atau murid-muridnya yang pertama. Antara mereka ialah Andreas, Petrus (yang juga dipanggil Simon), Filipus, dan Natanael (yang juga dipanggil Bartolomeus). Yesus dan pengikut-pengikutnya yang baru ini pergi ke daerah Galilea. Di Galilea, mereka berhenti di kampung halaman Natanael di Kana. Di sana, Yesus menghadiri sebuah jamuan perkahwinan yang besar dan melakukan mukjizatnya yang pertama. Tahukah adik, apakah mukjizat yang dilakukan oleh Yesus? Dia telah menukar air menjadi wain.