Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 74

Lelaki yang Tidak Takut

Lelaki yang Tidak Takut

LIHATLAH orang yang sedang mentertawakan pemuda di dalam gambar ini. Tahukah adik siapa pemuda ini? Dia ialah Yeremia. Dia ialah seorang penubuat Tuhan yang sangat penting.

Tidak lama selepas Raja Yosia memulakan kerja memusnahkan patung-patung berhala di negerinya, Yehuwa menyuruh Yeremia menjadi penubuat-Nya. Tetapi, Yeremia berasa dirinya terlalu muda untuk menjadi seorang penubuat. Walau bagaimanapun, Yehuwa memberitahu Yeremia bahawa Dia akan membantunya.

Yeremia menyuruh orang Israel berhenti membuat perkara-perkara yang jahat. “Tuhan-tuhan yang disembah oleh bangsa lain merupakan tuhan-tuhan yang palsu,” kata Yeremia. Tetapi banyak orang dalam kalangan orang Israel lebih suka menyembah patung-patung daripada menyembah Yehuwa, Tuhan yang benar. Apabila Yeremia memberitahu orang Israel bahawa Tuhan akan menghukum mereka atas kejahatan mereka, mereka hanya mentertawakannya.

Tahun demi tahun berlalu. Yosia meninggal dan tiga bulan kemudian, anak lelakinya yang bernama Yoyakim menjadi raja. Yeremia memberitahu orang Israel berkali-kali, “Yerusalem akan dimusnahkan jika kamu tidak mengubah sikap kamu.” Penghentar-penghentar menangkap Yeremia lalu menjerit, “Kamu patut dibunuh kerana kamu mengeluarkan kata-kata sebegini.” Kemudian mereka memberitahu putera-putera Israel, “Yeremia patut dibunuh kerana dia mengeluarkan kata-kata yang menentang kota kita.”

Apakah yang akan dilakukan oleh Yeremia sekarang? Dia tidak berasa takut! Dia memberitahu mereka, “Yehuwalah yang telah mengutus aku untuk memberitahu kamu hal-hal ini. Jika kamu tidak mengubah sikap kamu yang buruk, Yehuwa akan memusnahkan Yerusalem. Tetapi ingatlah, jika kamu membunuh aku, kamu membunuh seorang lelaki yang tidak bersalah.”

Putera-putera tersebut membiarkan Yeremia hidup, tetapi orang Israel tidak mengubah sikap buruk mereka. Raja Babilon yang bernama Nebukadnezar kemudiannya datang untuk menyerang Yerusalem. Akhirnya, Nebukadnezar menjadikan orang Israel hamba-hambanya. Dia membawa beribu-ribu orang ke Babilon. Bayangkanlah perasaan adik jika orang yang adik tidak kenali memaksa adik meninggalkan kampung halaman adik untuk hidup di sebuah tempat yang asing!