Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 16

Ishak Mendapat Isteri yang Baik

Ishak Mendapat Isteri yang Baik

ADAKAH adik kenal wanita dalam gambar ini? Namanya Ribka dan dia sedang berjalan ke arah seorang lelaki yang bernama Ishak. Ribka akan menjadi isteri Ishak. Bagaimanakah hal ini berlaku?

Abraham, iaitu bapa Ishak, mahu mendapatkan seorang isteri yang baik untuk anaknya. Dia tidak mahu Ishak mengahwini salah seorang wanita dari Kanaan kerana mereka menyembah tuhan-tuhan yang palsu. Jadi, Abraham memanggil hambanya lalu berkata, “Aku mahu kamu pergi ke tempat tinggal saudara-maraku di Haran untuk mencari seorang isteri bagi anak lelakiku, Ishak.”

Tanpa membuang masa, hamba Abraham membawa bersama-samanya sepuluh ekor unta dan memulakan perjalanannya yang jauh. Apabila dia berada berdekatan dengan tempat tinggal saudara-mara Abraham, dia berhenti di sebuah perigi. Hari sudah petang dan itulah waktunya wanita-wanita dari kota akan datang untuk mengambil air dari perigi. Jadi, hamba Abraham berdoa kepada Yehuwa. Dia berkata, “Semoga gadis yang dipilih oleh Engkau untuk menjadi isteri Ishak mengambil air untuk aku dan unta-unta ini.”

Tidak lama kemudian, Ribka datang untuk mendapatkan air. Apabila hamba Abraham meminta sedikit air daripada Ribka, dia memberi minum kepadanya. Kemudian, Ribka mendapatkan air yang mencukupi untuk unta-untanya yang dahaga. Kerja ini bukanlah kerja yang mudah dilakukan kerana unta-unta minum banyak air.

Apabila Ribka habis melakukan kerja ini, hamba Abraham menanya Ribka nama bapanya. Hamba Abraham juga menanya Ribka jika dia boleh bermalam di rumah mereka. Ribka menjawab, “Bapa saya bernama Betuel, dan di rumah kami ada tempat untuk tuan bermalam.” Hamba Abraham tahu bahawa Betuel ialah anak lelaki Nahor. Abraham dan Nahor ialah adik-beradik. Hamba Abraham telah menemui saudara-mara Abraham! Maka, dia berlutut dan mengucapkan rasa syukurnya kepada Yehuwa kerana Yehuwa telah membantunya.

Pada malam itu juga, hamba Abraham memberitahu Betuel dan abang Ribka yang bernama Laban akan tujuannya ke Haran. Mereka berdua bersetuju untuk membenarkan Ribka mengikutnya balik ke Kanaan untuk mengahwini Ishak. Apabila mereka menanyakan Ribka jika dia mahu mengikut hamba Abraham, apakah jawapannya? Ribka berkata, “Ya, saya mahu.” Maka, pada keesokan harinya, mereka menunggang unta lalu memulakan perjalanan mereka balik ke Kanaan.

Mereka sampai di situ pada waktu petang. Ribka ternampak seorang lelaki yang sedang berjalan di padang. Lelaki itu ialah Ishak. Ishak berasa gembira untuk berjumpa dengan Ribka. Baru tiga tahun telah berlalu semenjak ibunya, Sara, telah meninggal. Dia masih berasa sedih atas kematian ibunya. Tetapi sekarang, Ishak mencintai Ribka dengan mendalam dan dia berasa gembira semula.