Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 85

Yesus Dilahirkan dalam Kandang

Yesus Dilahirkan dalam Kandang

TAHUKAH adik siapa bayi yang kecil ini? Bayi ini ialah Yesus. Dia baru sahaja dilahirkan di dalam sebuah kandang. Kandang ialah tempat tinggal binatang-binatang. Maria sedang meletakkan Yesus ke dalam sebuah palung. Palung ialah kotak untuk meletakkan makanan bagi keldai dan binatang-binatang lain. Tetapi, mengapakah Yusuf dan Maria berada di sini? Adakah tempat ini sesuai bagi seorang wanita untuk melahirkan seorang anak?

Tidak. Tetapi, mereka berada di sini kerana pemerintah Roma yang bernama Kaisar Agustus telah membuat satu undang-undang yang menyatakan bahawa semua orang harus pulang ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri. Yusuf telah dilahirkan di Betlehem. Tetapi, apabila dia dan Maria sampai di Betlehem, mereka tidak ada tempat untuk bermalam. Itulah sebabnya mereka terpaksa bermalam di dalam kandang dengan binatang-binatang. Pada hari itu juga, Maria telah melahirkan Yesus! Walau bagaimanapun seperti yang adik boleh lihat di dalam gambar, Yesus dilahirkan dengan selamat.

Bolehkah adik nampak gembala-gembala yang datang untuk mengunjungi Yesus? Pada malam itu, apabila mereka menjaga biri-biri di padang, suatu cahaya yang terang bersinar di sekeliling mereka. Tiba-tiba, malaikat Tuhan muncul! Mereka berasa sangat takut. Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut. Aku membawa berita baik untuk kamu. Hari ini, Kristus, Tuan kita telah dilahirkan di Betlehem. Dia akan menyelamatkan orang di bumi! Kamu akan menjumpai seorang bayi yang dibalut dengan kain yang berbaring di dalam sebuah palung.” Selepas itu, banyak malaikat datang dan bermula memuji Tuhan. Dengan serta-merta, gembala-gembala itu bergegas untuk mencari Yesus, dan mereka berjaya menjumpainya!

Tahukah adik mengapa Yesus seorang manusia yang begitu istimewa? Sebenarnya, siapakah Yesus? Jika adik masih ingat, kita telah belajar tentang Anak Tuhan yang sulung dalam cerita yang pertama di dalam buku ini. Dia telah bekerja bersama-sama Yehuwa untuk menciptakan langit, bumi, dan semua benda yang lain. Anak sulung ini ialah Yesus!

Yehuwa memindahkan nyawa Anak-Nya dari syurga ke dalam rahim Maria. Bayi ini mula membesar di dalam rahim Maria sepertimana bayi lain membesar di dalam rahim ibu mereka. Tetapi, bayi ini ialah Anak Tuhan. Akhirnya, Yesus dilahirkan di dalam kandang ini di Betlehem. Sekarang, bolehkah adik faham mengapa malaikat-malaikat sangat gembira memberitahu orang lain tentang kelahiran Yesus?