Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 14

Kepercayaan Abraham Diuji

Kepercayaan Abraham Diuji

LIHATLAH apa yang sedang dilakukan oleh Abraham! Terdapat sebilah pisau dalam tangannya. Dia seolah-olah akan membunuh anak lelakinya. Mengapakah dia mahu berbuat demikian? Mula-mula, marilah kita lihat bagaimana Abraham dan Sara mendapat anak lelaki mereka.

Sudah tentu adik masih ingat akan janji Tuhan bahawa mereka akan mendapat seorang anak lelaki. Tetapi, janji ini nampaknya mustahil ditunaikan kerana Abraham dan Sara sudah tua. Walau bagaimanapun, Abraham percaya bahawa apa yang mustahil bagi manusia dapat dilakukan oleh Tuhan. Jadi, apakah yang telah berlaku?

Setahun telah berlalu selepas Tuhan membuat perjanjian dengan Abraham. Kemudian, apabila Abraham berumur 100 tahun dan Sara berumur 90 tahun, mereka telah dikurniai Tuhan dengan seorang bayi lelaki yang bernama Ishak. Jadi, Tuhan telah menunaikan janji-Nya!

Apabila Ishak menjadi besar, Yehuwa telah menguji kepercayaan Abraham. Tuhan memanggilnya, “Abraham!” Lalu Abraham menjawab, “Ya, aku mendengar.” Kemudian, Tuhan berkata, “Bawalah Ishak, anak lelakimu, anakmu yang tunggal, ke sebuah gunung yang akan Aku tunjukkan kepadamu. Di sana, persembahkan anakmu sebagai korban kepada-Ku.”

Alangkah sedihnya Abraham apabila dia mendengar kata-kata ini. Dia amat menyayangi anak lelakinya. Jika adik masih ingat, Tuhan telah berjanji kepada Abraham bahawa anak cucunya akan menetap di Kanaan. Tetapi, bagaimanakah hal ini boleh berlaku jika Ishak mati? Abraham tidak faham, tetapi dia masih mematuhi kata-kata Tuhan.

Apabila Abraham sampai di gunung itu, dia mendirikan sebuah mazbah. Dia mengikat dan membaringkan anaknya di atas mazbah itu. Kemudian dia mengeluarkan sebilah pisau untuk membunuh anaknya. Tetapi pada saat itu juga, malaikat Tuhan berseru kepadanya, “Abraham! Abraham!” Lalu, Abraham menjawab, “Ya, Tuhan.”

“Jangan sakiti budak itu. Jangan lakukan apa-apa terhadapnya,” Tuhan berkata. “Sekarang Aku tahu bahawa engkau mempercayai Aku kerana engkau tidak teragak-agak untuk menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.”

Betapa teguhnya kepercayaan Abraham terhadap Tuhan! Abraham percaya bahawa Yehuwa dapat melakukan apa-apa sahaja. Dia percaya bahawa Yehuwa dapat membangkitkan Ishak jika dia mati. Tetapi, sebenarnya Tuhan tidak mahu Abraham membunuh Ishak. Jadi, Tuhan menyebabkan tanduk seekor biri-biri tersangkut pada sepohon pokok kecil yang berhampiran. Tuhan menyuruh Abraham mengorbankan biri-biri tersebut sebagai ganti bagi anaknya.