Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 114

Segala Kejahatan Berakhir

Segala Kejahatan Berakhir

APAKAH yang dapat adik lihat di dalam gambar ini? Ya, sepasukan askar menunggang kuda putih. Tetapi, dapatkah adik lihat dari mana mereka datang? Ya, mereka datang dari syurga dan kuda mereka sedang berlari di atas awan. Tetapi, terdapatkah kuda di syurga?

Tidak, di syurga tidak ada kuda. Kuda itu bukan kuda yang sebenar. Kita tahu hal ini kerana kuda tidak boleh berlari di atas awan. Tetapi mengapakah Bible menceritakan tentang kuda di syurga?

Pada masa lampau, kuda biasanya digunakan dalam peperangan. Jadi, Bible menceritakan tentang penunggang-penunggang kuda yang datang dari syurga untuk menunjukkan bahawa sebuah perang antara Tuhan dengan manusia akan berlaku. Apakah nama tempat perang ini? Armagedon. Perang ini bertujuan untuk mengakhiri segala kejahatan di bumi.

Yesus akan mengetuai perang Armagedon. Jika adik masih ingat, Yehuwa telah memilih Yesus untuk menjadi raja Kerajaan-Nya. Itulah sebabnya Yesus memakai sebuah mahkota. Dan pedang yang dipegangnya menunjukkan bahawa dia akan membunuh semua musuh Tuhan. Patutkah kita berasa hairan bahawa Tuhan akan memusnahkan semua orang jahat?

Lihat semula Cerita 10. Apakah yang adik nampak? Ya, Banjir Besar yang telah memusnahkan orang jahat. Siapakah yang mendatangkan Banjir itu? Tuhan Yehuwa. Sekarang lihatlah Cerita 15. Apakah yang sedang berlaku? Sodom dan Gomora sedang musnah dijilat api yang didatangkan oleh Yehuwa.

Lihat Cerita 33. Apakah yang sedang berlaku kepada kuda dan kereta-kereta kuda orang Mesir? Siapakah yang telah menyebabkan mereka tenggelam ke dalam air? Tuhan Yehuwa. Dia berbuat demikian untuk melindungi umat-Nya. Sekarang lihat pula Cerita 36 dan Cerita 76. Adik boleh lihat bahawa Yehuwa telah membenarkan orang Israel dimusnahkan kerana mereka jahat. Biarpun orang Israel merupakan umat-Nya, mereka tidak terlepas daripada menanggung akibat buruk perbuatan jahat mereka.

Jadi, kita tidak patut berasa hairan untuk mengetahui bahawa Yehuwa akan menghantar askar-askar-Nya dari syurga untuk mengakhiri segala kejahatan di bumi. Tetapi tahukah adik apa akan berlaku selepas itu? Bukalah halaman seterusnya.