Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 77

Mereka Enggan Bersujud

Mereka Enggan Bersujud

ADAKAH adik masih ingat akan ketiga-tiga orang pemuda ini? Ya, mereka merupakan kawan-kawan Daniel yang enggan makan makanan yang tidak baik untuk mereka. Mereka diberikan nama Sadrakh, Mesakh, dan Abednego oleh orang Babilon. Tetapi lihatlah mereka sekarang. Mengapakah mereka tidak sujud menyembah patung yang besar ini seperti apa yang dilakukan oleh semua orang lain? Marilah kita lihat jawapannya.

Ingatkah adik akan hukum-hukum yang ditulis oleh Yehuwa yang dipanggil Sepuluh Hukum? Hukum pertama daripada Sepuluh Hukum menyatakan, “Kamu tidak boleh menyembah tuhan-tuhan lain kecuali Aku.” Ketiga-tiga orang pemuda ini sedang mematuhi hukum ini walaupun sukar bagi mereka untuk berbuat demikian.

Nebukadnezar, raja Babilon, telah menjemput banyak orang kenamaan untuk memberi penghormatan kepada patung yang telah didirikan olehnya. Dia baru selesai memberitahu semua orang, “Apabila kamu mendengar bunyi tanduk, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, kamu harus bersujud lalu menyembah patung emas ini. Sesiapa yang tidak bersujud dan menyembah patung ini akan dicampakkan dengan serta-merta ke dalam relau api yang membakar dengan panas.”

Apabila Nebukadnezar mengetahui bahawa Sadrakh, Mesakh, dan Abednego tidak bersujud menyembah patung itu, dia berasa sangat marah. Dia memberi perintah supaya mereka dibawa menghadapnya. Dia memberi mereka satu lagi peluang untuk menyembah patung itu. Tetapi pemuda-pemuda ini percaya pada Yehuwa. Mereka memberitahu Nebukadnezar, “Tuhan yang kami sembah berupaya menyelamatkan kami. Tetapi, seandainya Dia tidak menyelamatkan kami, kami tidak akan bersujud menyembah patung emas tuan.”

Apabila Nebukadnezar mendengar kata-kata mereka, dia menjadi lebih marah. Terdapat sebuah relau yang berhampiran dengan mereka. Jadi dia memberi perintah, “Panaskan relau ini supaya menjadi tujuh kali lebih panas daripada biasa!” Kemudian, dia mendapatkan beberapa orang askar yang paling kuat dalam kalangan tenteranya untuk mengikat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dan mencampakkan mereka ke dalam relau tersebut. Relau tersebut bernyala dengan begitu panas sehingga askar-askar Nebukadnezar yang kuat mati. Tetapi, apakah yang berlaku kepada ketiga-tiga orang lelaki yang dicampakkan oleh mereka ke dalam relau tersebut?

Raja melihat ke dalam relau berapi tersebut dan menjadi sangat takut. Dia bertanya, “Tidakkah kita mengikat tiga orang lelaki dan mencampakkan mereka ke dalam relau panas yang sedang bernyala itu?”

“Ya tuan,” jawab hamba-hambanya.

“Tetapi beta nampak empat orang lelaki sedang berjalan-jalan di dalam api,” katanya. “Mereka tidak diikat dan mereka tidak dicederakan langsung oleh api dalam relau itu. Dan lelaki yang keempat kelihatan seperti dewa.” Kemudian raja mendekati pintu relau tersebut lalu berteriak, “Sadrakh! Mesakh! Abednego! Keluarlah dari relau ini, penyembah-penyembah Tuhan Yang Maha Tinggi!”

Apabila mereka keluar dari relau tersebut, semua orang boleh nampak bahawa mereka tidak cedera. Jadi raja berkata, “Pujilah Tuhan yang disembah oleh Sadrakh, Mesakh, dan Abednego! Dia telah menghantar malaikat-Nya untuk menyelamatkan mereka kerana mereka enggan bersujud menyembah tuhan-tuhan yang lain kecuali Tuhan mereka.”

Apa yang dilakukan oleh Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menunjukkan bahawa mereka setia kepada Yehuwa, bukan? Marilah kita mencontohi teladan mereka!