Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 90

Wanita di Perigi

Wanita di Perigi

YESUS telah berhenti di tepi sebuah perigi di Samaria untuk berehat. Murid-muridnya pula telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Wanita dalam gambar ini telah datang ke perigi ini untuk mendapatkan air, dan Yesus sedang bercakap dengannya. “Berilah aku minum,” kata Yesus.

Wanita itu sangat terkejut. Tahukah adik mengapa? Hal ini adalah kerana Yesus ialah orang Yahudi tetapi wanita itu ialah orang Samaria. Kebanyakan orang Yahudi tidak suka akan orang Samaria. Malahan, orang Yahudi tidak mahu bercakap dengan orang Samaria! Walau bagaimanapun, Yesus mengasihi semua orang. Jadi, dia berkata, “Jika kamu tahu siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripadanya, lalu dia akan mengurniakan air yang memberi kehidupan kepadamu.”

“Tuan,” kata wanita itu, “perigi ini sangat dalam. Lagipun, tuan tidak mempunyai sebuah baldi. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberi kehidupan?”

“Jika kamu minum air daripada perigi ini, kamu akan dahaga lagi,” jelas Yesus. “Tetapi sesiapa yang minum air yang akan aku berikan akan hidup selama-lamanya.”

“Tuan,” kata wanita itu, “berilah saya air itu! Saya tidak akan dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk mendapatkan air.”

Wanita itu menyangka bahawa Yesus sedang bercakap tentang air biasa. Tetapi, Yesus sedang bercakap tentang kebenaran mengenai Tuhan dan Kerajaan-Nya. Kebenaran ini adalah seperti air yang memberi kehidupan. Kebenaran boleh memberi seseorang kehidupan yang kekal.

Selepas itu, Yesus memberitahu wanita itu, “Panggillah suamimu lalu kembalilah ke sini.”

“Saya tidak bersuami,” jawab wanita itu.

Yesus berkata, “Memang benar katamu. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu.”

Wanita itu kagum kerana segala-gala yang telah dikatakan oleh Yesus adalah benar. Bagaimanakah Yesus tahu akan hal-hal ini? Tuhanlah yang telah memberikan maklumat ini kepada Yesus kerana Yesus ialah Penyelamat yang diutus oleh-Nya. Pada ketika itu, murid-murid Yesus kembali dan mereka amat terkejut melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita Samaria.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada cerita ini? Yesus baik kepada semua orang. Dia baik kepada orang daripada pelbagai bangsa. Kita juga harus berbuat demikian. Kita tidak patut menganggap seseorang itu jahat kerana dia berasal daripada bangsa yang tertentu. Yesus mahu semua orang mengetahui kebenaran yang membawa kehidupan yang kekal. Kita juga perlu mempunyai keinginan yang sama untuk membantu orang mengetahui kebenaran.