Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 99

Bilik di Tingkat Atas

Bilik di Tingkat Atas

HARI ini ialah hari Khamis. Dua hari telah berlalu semenjak Yesus berada di atas Bukit Zaitun. Pada malam ini, Yesus dan 12 orang hawarinya telah datang ke bilik besar di tingkat atas sebuah rumah untuk makan jamuan Paska. Lelaki yang sedang meninggalkan bilik itu ialah Yudas Iskariot. Dia hendak memberitahu penghentar-penghentar bagaimana mereka boleh menangkap Yesus.

Baru semalam, Yudas telah berjumpa dengan penghentar-penghentar itu dan bertanya, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku membantu kamu menangkap Yesus?” Mereka menjawab, “Tiga puluh keping wang perak.” Jadi sekarang, Yudas keluar untuk berjumpa dengan mereka supaya dia boleh membawa mereka kepada Yesus. Perbuatan Yudas sangat jahat, bukan?

Selepas jamuan Paska, Yesus memulakan satu lagi jamuan yang istimewa. Dia memberikan roti kepada pengikut-pengikutnya sambil berkata, “Makanlah roti ini. Roti ini melambangkan tubuhku yang akan diberikan untuk kamu.” Kemudian dia mengambil sebuah cawan berisi wain lalu berkata, “Minumlah. Wain ini melambangkan darahku yang akan dicurahkan untuk kamu.” Di dalam Bible, jamuan ini dipanggil “Perjamuan Malam Tuan.”

Orang Israel memakan jamuan Paska untuk mengingatkan mereka tentang satu peristiwa yang telah berlaku di Mesir. Pada masa itu, malaikat Tuhan melalui rumah-rumah orang Israel dan anak-anak sulung mereka tidak dibunuh. Tetapi, anak-anak sulung orang Mesir dibunuh. Sekarang, Yesus mahu pengikut-pengikutnya mengingatinya. Dia mahu mereka mengingati bagaimana dia mengorbankan dirinya untuk mereka. Itulah sebabnya Yesus menyuruh mereka menyambut jamuan yang istimewa ini setiap tahun.

Selepas mereka menyambut Perjamuan Malam Tuan, Yesus menyuruh hawari-hawarinya untuk memberanikan diri dan berdiri teguh dalam kepercayaan. Mereka menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan lalu beredar dari situ. Barangkali, hari sudah larut malam. Marilah kita lihat ke mana mereka pergi.