Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 20

Dina Mengundang Masalah

Dina Mengundang Masalah

LIHATLAH gambar ini. Dina sedang melawat siapa? Dia sedang melawat beberapa orang gadis yang tinggal di Kanaan. Adakah Yakub, bapa Dina, gembira dengan hal ini? Untuk membantu adik mencari jawapan kepada soalan ini, cubalah adik ingat kembali akan pandangan Abraham dan Ishak terhadap wanita-wanita Kanaan.

Adakah Abraham mahu anak lelakinya, Ishak berkahwin dengan gadis dari Kanaan? Sudah tentu tidak! Adakah Ishak dan Ribka mahu anak lelaki mereka, Yakub mengahwini gadis dari Kanaan? Mereka tidak mahu anak mereka berbuat demikian juga. Tahukah adik mengapa?

Hal ini adalah kerana penduduk Kanaan menyembah tuhan-tuhan yang palsu. Mereka bukan orang yang baik, dan mereka tidak dapat menjadi suami atau isteri yang baik. Sudah pasti mereka tidak sesuai untuk dijadikan kawan karib seseorang. Jadi, kita tahu bahawa Yakub tidak gembira dengan tindakan anak perempuannya yang berkawan dengan gadis-gadis Kanaan.

Akhirnya, Dina mendapat susah. Bolehkah adik lihat seorang lelaki Kanaan yang sedang memerhatikan Dina di dalam gambar ini? Namanya Sikhem. Pada suatu hari, semasa Dina pergi melawat kawan-kawannya, Sikhem telah memaksa Dina untuk tidur bersamanya. Perbuatan Sikhem adalah salah kerana hanya lelaki dan perempuan yang telah berkahwin boleh tidur bersama. Apa yang dilakukan oleh Sikhem terhadap Dina telah menimbulkan lebih banyak masalah.

Apabila adik-beradik Dina mendapat berita tentang apa yang telah berlaku, mereka berasa sangat marah. Dua orang adik-beradiknya, iaitu Simeon dan Lewi menjadi begitu marah sehingga mereka mengambil pedang untuk menyerang lelaki di kota itu secara mengejut. Mereka bersama-sama adik-beradik mereka telah membunuh Sikhem dan semua lelaki di dalam kota itu. Yakub berasa sangat marah kerana anak-anak lelakinya melakukan hal yang jahat ini.

Bagaimanakah semua masalah ini bermula? Masalah-masalah ini bermula kerana Dina berkawan dengan orang yang tidak mematuhi hukum-hukum Tuhan. Sudah tentu kita tidak mahu berkawan dengan orang seperti ini.