Dua Samuel 8:1-18

  • Kemenangan Daud (1-14)

  • Pentadbiran Daud (15-18)

8  Beberapa waktu kemudian, Daud melawan orang Filistin+ dan mengalahkan mereka,+ lalu dia mengambil kawasan Meteg-ama daripada mereka.  Selepas itu, Daud mengalahkan orang Moab.+ Dia menyuruh mereka berbaring di atas tanah lalu mengukur barisan mereka dengan tali. Dua pertiga daripada mereka dibunuh, dan satu pertiga dibiarkan hidup.+ Kemudian orang Moab menjadi hamba-hamba Daud dan membayar ufti kepadanya.+  Semasa Hadadezer anak Rehob, iaitu raja Zoba,+ sedang dalam perjalanan untuk memulihkan kekuasaannya di Sungai Efrat,+ Daud mengalahkannya.  Daud menawan 1,700 orang askar berkuda dan 20,000 orang askar yang berjalan kaki. Kemudian Daud melumpuhkan semua kuda, kecuali 100 ekor kuda yang menarik kereta kuda.+  Apabila orang Siria dari Damsyik+ datang untuk menolong Raja Hadadezer, Daud membunuh 22,000 orang Siria.+  Kemudian dia menempatkan pasukan tenteranya di Damsyik, Siria. Orang Siria menjadi hamba-hamba Daud dan membayar ufti kepadanya. Yehuwa memberikan kemenangan* kepada Daud ke mana sahaja dia pergi.+  Daud juga mengambil perisai-perisai emas yang berbentuk bulat daripada anak buah Hadadezer lalu membawa semuanya ke Yerusalem.+  Raja Daud mengambil banyak tembaga dari kota Betah dan Berotai, iaitu kota-kota milik Hadadezer.  Raja Toi dari Hamat+ mendengar bahawa Daud telah mengalahkan seluruh tentera Hadadezer.+ 10  Oleh itu, dia mengutus anaknya Yoram untuk memberikan salam kepada Daud dan mengucapkan tahniah kerana Daud telah menyerang Hadadezer dan mengalahkannya. (Dahulu Hadadezer selalu berperang dengan Toi.) Selain itu, Yoram membawa barangan perak, emas, dan tembaga untuk Daud. 11  Raja Daud mentahbiskan semua hadiah itu dan mempersembahkannya kepada Yehuwa. Dia juga berbuat demikian dengan perak dan emas yang diambilnya daripada bangsa-bangsa yang telah dikalahkannya,+ iaitu 12  Siria, Moab,+ Ammon, Filistin,+ dan Amalek.+ Selain itu, dia mentahbiskan dan mempersembahkan barangan yang dirampas daripada Hadadezer+ anak Rehob, iaitu raja Zoba. 13  Daud menjadi semakin terkenal setelah dia kembali daripada membunuh 18,000 orang Edom di Lembah Garam.+ 14  Dia menempatkan pasukan-pasukan tentera di Edom. Dia berbuat demikian di seluruh negeri Edom, dan semua orang Edom menjadi hamba Daud.+ Yehuwa memberikan kemenangan* kepada Daud ke mana sahaja dia pergi.+ 15  Daud memerintah seluruh Israel,+ dan dia menegakkan keadilan dan kesaksamaan+ bagi semua rakyatnya.+ 16  Yoab+ anak Zeruya ialah ketua tentera, dan Yehosafat+ anak Ahilud ialah pencatat. 17  Zadok+ anak Ahitub dan Ahimelekh anak Abiatar ialah imam. Serayah ialah setiausaha. 18  Benaya+ anak Yehoyada ialah pemimpin orang Kreti dan orang Pleti.+ Anak-anak lelaki Daud ialah ketua-ketua menteri.*

Nota Kaki

Atau “penyelamatan.”
Atau “penyelamatan.”
Harfiah, “imam-imam.”