Dua Samuel 6:1-23

  • Tabut dibawa ke Yerusalem (1-23)

    • Uzah memegang tabut dan dibunuh (6-8)

    • Mikhal menghina Daud (16, 20-23)

6  Sekali lagi, Daud mengumpulkan semua askar yang terbaik di Israel. Mereka berjumlah 30,000 orang.  Kemudian Daud dan semua orang yang ada bersamanya pergi ke Baale-yehuda untuk mengambil tabut Tuhan yang benar.+ Orang menyeru nama Yehuwa di hadapan tabut itu. Ya, Dialah ketua angkatan syurga+ yang bertakhta di atas* kerub.*+  Mereka mengambil tabut itu dari rumah Abinadab,+ yang terletak di atas bukit, dan meletakkannya di atas sebuah kereta lembu+ yang baharu. Lalu Uzah dan Ahio, iaitu anak-anak lelaki Abinadab, mengiringi kereta lembu itu.  Ahio berjalan di hadapan tabut itu. Demikianlah mereka membawa tabut Tuhan yang benar dari rumah Abinadab, yang terletak di atas bukit.  Daud dan semua orang Israel sedang berpesta di hadapan Yehuwa dengan memainkan pelbagai jenis alat muzik yang diperbuat daripada kayu juniper. Terdapat juga kecapi, alat-alat muzik bertali,+ tamborin,+ simbal,+ dan alat muzik yang lain.  Tetapi apabila mereka sampai di tempat mengirik* gandum Nakon, lembu-lembu itu hampir menyebabkan tabut itu terjatuh. Maka Uzah menghulurkan tangannya dan memegang+ tabut Tuhan yang benar.  Yehuwa menjadi sangat murka terhadap Uzah dan membunuhnya.+ Uzah mati di sebelah tabut Tuhan yang benar kerana tindakannya melanggar hukum Tuhan.+  Tetapi Daud marah* kerana Yehuwa melepaskan kemurkaan-Nya terhadap Uzah. Itulah sebabnya tempat itu dipanggil Perez-uzah* sehingga hari ini.  Pada hari itu, Daud menjadi takut akan Yehuwa+ dan dia berkata, “Bagaimanakah tabut Yehuwa dapat dibawa ke kota beta?”+ 10  Daud tidak mahu lagi membawa tabut Yehuwa ke Kota Daud,+ tempat tinggalnya. Sebaliknya, dia membawa tabut itu ke rumah Obed-edom,+ seorang penduduk Gat.* 11  Tabut Yehuwa diletakkan di rumah Obed-edom selama tiga bulan, dan Yehuwa terus memberkati Obed-edom dan seisi rumahnya.+ 12  Raja Daud menerima laporan bahawa Yehuwa telah memberkati seisi rumah Obed-edom dan segala harta miliknya kerana tabut Tuhan yang benar ada di situ. Oleh itu, Daud pergi ke rumah Obed-edom dengan gembira untuk membawa tabut itu ke Kota Daud.+ 13  Apabila orang yang mengangkat+ tabut Yehuwa melangkah maju enam langkah, Daud mengorbankan seekor lembu jantan dan seekor binatang yang gemuk. 14  Daud menari-nari di hadapan Yehuwa dengan penuh semangat. Pada waktu itu, dia memakai efod*+ yang diperbuat daripada kain linen. 15  Daud dan semua orang Israel membawa tabut+ Yehuwa sambil bersorak-sorai+ dan meniup tanduk.*+ 16  Tetapi semasa tabut Yehuwa dibawa masuk ke Kota Daud, anak perempuan Saul, iaitu Mikhal,+ melihat ke luar jendelanya dan nampak Raja Daud melompat-lompat dan menari-nari untuk menghormati Yehuwa. Jadi Mikhal mula menghina Daud dalam hatinya.+ 17  Tabut Yehuwa diletakkan di tempat yang telah disediakan oleh Daud, di dalam khemah yang didirikannya.+ Kemudian Daud mempersembahkan korban bakar+ dan korban pendamaian+ kepada Yehuwa.+ 18  Setelah Daud berbuat demikian, dia memberkati semua rakyat atas nama Yehuwa, ketua angkatan syurga. 19  Dia juga mengedarkan makanan kepada semua orang Israel. Dia memberikan seketul roti berbentuk gelang, sekeping kuih kurma, dan sekeping kuih kismis kepada setiap lelaki dan perempuan. Sesudah itu, semua orang pulang ke rumah masing-masing. 20  Apabila Daud kembali untuk memberkati seisi rumahnya, Mikhal+ keluar berjumpa dengannya dan berkata, “Betapa mulianya raja Israel pada hari ini! Raja telah bertelanjang di hadapan hamba-hamba perempuan milik para pegawainya, sama seperti orang bodoh yang menanggalkan pakaian di hadapan umum!”+ 21  Daud menjawab, “Beta sedang berpesta untuk Yehuwa. Dia telah menolak bapamu dan seluruh keluarganya, lalu memilih beta untuk memimpin umat Yehuwa, orang Israel.+ Itulah sebabnya beta akan terus berpesta untuk Yehuwa. 22  Beta sanggup dipandang rendah, dan akan menjadikan diri beta lebih hina daripada ini. Tetapi hamba-hamba perempuan yang kamu sebutkan tadi pasti akan memuliakan beta.” 23  Oleh itu, Mikhal,+ anak perempuan Saul, tidak mempunyai anak seumur hidupnya.

Nota Kaki

Atau mungkin, “di antara.”
Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Atau “tidak senang hati.”
Maksudnya “Melepaskan Kemurkaan terhadap Uzah.”
Mungkin merujuk kepada kota Gat-rimon.
Lihat Kamus.
Atau “trompet.”