Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 4:1-25
4 Kemudian Yesus dipimpin oleh kuasa suci Tuhan ke padang belantara dan di sana Iblis menggodanya.+
2 Setelah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam, dia berasa lapar.
3 Pada masa itu, Si Penggoda+ datang dan berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, suruhlah batu-batu ini menjadi roti.”
4 Tetapi Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.’”*+
5 Kemudian Iblis membawa dia ke kota suci*+ lalu menempatkannya di puncak tembok* Rumah Tuhan.+
6 Iblis berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, terjunlah ke bawah, kerana ada tertulis, ‘Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya,’ dan, ‘Mereka akan menyambut kamu dengan tangan mereka supaya kakimu tidak terhantuk pada batu.’”+
7 Tetapi Yesus menjawab, “Ada tertulis juga, ‘Jangan menguji Yehuwa,* Tuhan kamu.’”+
8 Kemudian Iblis membawanya ke sebuah gunung yang luar biasa tinggi dan menunjukkan kepadanya semua kerajaan dunia serta kegemilangannya.+
9 Lalu Iblis berkata kepadanya, “Semua ini akan aku berikan kepadamu jika kamu sujud dan menyembah aku satu kali sahaja.”
10 Yesus menjawab, “Pergilah Syaitan! Kerana ada tertulis, ‘Kamu mesti menyembah Yehuwa,* Tuhanmu,+ dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.’”+
11 Iblis pun meninggalkan dia,+ lalu malaikat-malaikat datang untuk melayaninya.+
12 Apabila Yesus mendengar bahawa Yohanes telah ditangkap,+ dia pergi ke Galilea.+
13 Selepas dia meninggalkan Nasaret, dia menetap di Kapernaum,+ yang terletak di tepi laut di kawasan Zebulon dan Naftali.
14 Dengan ini berlakulah apa yang dinubuatkan oleh Nabi Yesaya:
15 “Hai tanah Zebulon dan tanah Naftali, jalan yang menghala ke laut, di sebelah barat Sungai Yordan, Galilea yang didiami bangsa-bangsa lain!
16 Orang yang tinggal dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang, dan orang di negeri yang dibayangi maut telah disinari cahaya.”+
17 Sejak masa itu, Yesus mula menyebarkan berita ini: “Bertaubatlah, kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.”+
18 Ketika dia berjalan di tepi Tasik Galilea, dia nampak dua orang adik-beradik yang bekerja sebagai nelayan, iaitu Simon yang juga dipanggil Petrus,+ dan Andreas. Mereka sedang menebarkan jala ke dalam tasik.+
19 Dia berkata kepada mereka, “Ikutlah aku, dan aku akan menjadikan kamu penjala manusia.”+
20 Dengan serta-merta, mereka meninggalkan jala lalu mengikutnya.+
21 Yesus meneruskan perjalanannya lalu nampak dua orang adik-beradik, iaitu Yakobus anak Zebedeus dan saudara kandungnya Yohanes.+ Mereka sedang membaiki jala di dalam perahu bersama bapa mereka Zebedeus. Apabila Yesus memanggil mereka,+
22 mereka segera meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikutnya.
23 Yesus menjelajah seluruh kawasan Galilea+ dan mengajar di rumah-rumah ibadat orang Yahudi.+ Dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan menyembuhkan setiap masalah kesihatan dan setiap jenis penyakit yang dihidapi orang ramai.+
24 Berita tentangnya tersebar ke merata Siria, lalu semua orang yang menderita kerana menghidap pelbagai penyakit+ dibawa kepadanya. Orang yang dirasuk roh-roh jahat,+ orang yang menghidap penyakit sawan,+ dan orang lumpuh juga datang, lalu dia menyembuhkan mereka.
25 Hasilnya, ramai orang dari Galilea, Dekapolis,* Yerusalem, Yudea, dan seberang Sungai Yordan mengikutnya.
Nota Kaki
^ Lihat Lampiran A5.
^ Iaitu, Yerusalem.
^ Atau “puncak yang tertinggi di.”
^ Lihat Lampiran A5.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Atau “Wilayah Sepuluh Kota.”

