Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 27:1-66

  • Yesus diserahkan kepada Pilatus (1, 2)

  • Yudas menggantung diri (3-10)

  • Di hadapan Pilatus (11-26)

  • Diejek di depan umum (27-31)

  • Dipakukan pada tiang di Golgota (32-44)

  • Kematian Yesus (45-56)

  • Yesus dimakamkan (57-61)

  • Makam dikawal ketat (62-66)

27  Pada waktu pagi, semua ketua imam dan pemimpin orang Yahudi bermesyuarat untuk mencari jalan supaya dapat membunuh Yesus.+  Setelah mengikat tangan Yesus, mereka menyerahkannya kepada Pilatus, iaitu gabenor Yudea.+  Yudas, yang telah mengkhianati Yesus, berasa sesal setelah mengetahui bahawa Yesus dijatuhi hukuman mati. Oleh itu, dia memulangkan 30 keping wang perak itu kepada ketua-ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi,+  lalu berkata, “Aku sudah berdosa apabila aku mengkhianati orang* yang tidak bersalah.” Mereka berkata, “Hal itu tidak ada kena-mengena dengan kami. Itu urusan kamu!”  Maka dia membuang wang perak itu ke dalam Rumah Tuhan lalu beredar. Kemudian, dia pergi menggantung diri.+  Ketua-ketua imam mengambil wang perak itu dan berkata, “Wang ini ialah bayaran untuk darah yang ditumpahkan. Jadi, wang ini tidak boleh diletakkan di tempat penyimpanan harta di Rumah Tuhan.”  Selepas berbincang, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah tukang tembikar sebagai tempat pengebumian orang asing.  Oleh itu, tanah itu dipanggil “Tanah Darah”+ sehingga hari ini.  Dengan ini, terjadilah apa yang dikatakan menerusi Nabi Yeremia, “Mereka mengambil 30 keping wang perak, iaitu harga yang ditetapkan oleh beberapa orang Israel sebagai bayaran untuknya. 10  Mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah tukang tembikar, menurut apa yang diperintahkan oleh Yehuwa* kepadaku.”+ 11  Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus. Gabenor itu bertanya kepadanya, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakannya.”+ 12  Tetapi semasa Yesus dituduh oleh para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi, dia membisu sahaja.+ 13  Maka Pilatus berkata kepadanya, “Tidakkah kamu mendengar tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” 14  Namun, Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Oleh itu, Gabenor Pilatus berasa sangat hairan. 15  Pada setiap Perayaan Paska, gabenor biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai.+ 16  Pada masa itu, terdapat seorang tahanan yang bernama Barabas. Dia seorang penjenayah yang terkenal. 17  Apabila mereka berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan, Barabas atau Yesus yang digelar Kristus?” 18  Pilatus tahu bahawa mereka menyerahkan Yesus kepadanya kerana mereka iri hati. 19  Lagipun, semasa dia duduk di tempat pengadilan, isterinya menghantar orang untuk memberitahunya, “Janganlah mencampuri urusan orang baik itu. Hari ini aku cukup menderita dalam mimpi kerana dia.” 20  Tetapi para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi menghasut orang ramai untuk meminta agar Barabas dibebaskan+ dan Yesus dibunuh.+ 21  Oleh itu, semasa Gabenor Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah antara dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” mereka menjawab, “Barabas.” 22  Pilatus berkata, “Jika begitu, apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang digelar Kristus?” Mereka semua berkata, “Bunuhlah dia pada tiang!”+ 23  Dia berkata, “Mengapa? Apakah kesalahannya?” Namun mereka berteriak dengan lebih kuat lagi, “Bunuhlah dia pada tiang!”+ 24  Pilatus sedar bahawa usahanya bukan sahaja tidak berhasil, malah menimbulkan kekecohan. Maka dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai sambil berkata, “Aku tidak bertanggungjawab atas kematian* lelaki ini. Kamulah yang mesti bertanggungjawab.” 25  Semua orang menjawab, “Biarlah kami dan anak-anak kami yang bertanggungjawab atas kematiannya.”*+ 26  Maka dia membebaskan Barabas tetapi mengarahkan supaya Yesus dicambuk.+ Kemudian, dia menyerahkannya kepada askar-askar untuk dihukum bunuh pada tiang.+ 27  Maka askar-askar Gabenor Pilatus membawa Yesus ke kediaman gabenor. Semua askar disuruh berkumpul di sekeliling Yesus.+ 28  Mereka menanggalkan jubahnya lalu mengenakan kain merah marak padanya.+ 29  Mereka membuat mahkota daripada duri dan meletakkannya di atas kepala Yesus dan meletakkan sebatang kayu di tangan kanannya. Untuk mengejek dia, mereka melutut di hadapannya dan berkata, “Salam sejahtera, hai Raja orang Yahudi!” 30  Kemudian, mereka meludahinya+ dan mula memukul kepalanya dengan kayu itu. 31  Setelah mengejek Yesus, mereka menanggalkan kain itu dan mengenakan jubah luarnya padanya. Kemudian mereka membawa dia untuk dipakukan pada tiang.+ 32  Semasa mereka sedang keluar dari situ, mereka berjumpa dengan Simon yang berasal dari Kirene. Mereka mengarahkan dia untuk mengangkat tiang seksaan* Yesus.+ 33  Kemudian mereka tiba di sebuah tempat yang dipanggil Golgota, yang bererti “Tempat Tengkorak.”+ 34  Mereka memberi Yesus wain yang bercampur bahan pahit untuk diminum.+ Tetapi selepas merasa minuman itu, dia enggan meminumnya. 35  Setelah memakukannya pada tiang, mereka membahagi-bahagikan jubah luarnya dengan membuang undi.+ 36  Mereka duduk dan berkawal di sana. 37  Di sebelah atas kepala Yesus, mereka juga memasang sekeping papan. Pada papan itu tertulis tuduhan berikut: “Inilah Yesus, Raja orang Yahudi.”+ 38  Terdapat juga dua orang perompak yang dihukum bunuh pada tiang bersama Yesus, seorang di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.+ 39  Orang yang lalu di situ mula mencemuhnya.+ Sambil menggelengkan kepala,+ 40  mereka berkata, “Cis, kamu berkata bahawa kamu dapat merobohkan Rumah Tuhan dan membinanya semula dalam masa tiga hari!+ Selamatkanlah dirimu sendiri! Jika kamu anak Tuhan, turunlah dari tiang seksaan* itu!”+ 41  Dalam cara yang sama, para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi mula mentertawakannya dan berkata,+ 42  “Dia menyelamatkan orang lain tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Jika dia Raja orang Israel,+ biarlah dia turun dari tiang seksaan* sekarang dan kita akan percaya kepadanya. 43  Dia percaya kepada Tuhan. Oleh itu, jika Tuhan berkenan kepadanya, biarlah Tuhan menyelamatkannya,+ kerana dia berkata, ‘Aku Anak Tuhan.’”+ 44  Bahkan perompak-perompak yang dihukum pada tiang bersamanya menghinanya dengan cara yang sama.+ 45  Dari sekitar jam 12 tengah hari* sehingga jam 3 petang,* seluruh bumi menjadi gelap.+ 46  Kira-kira pada jam tiga petang, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bermaksud, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?”+ 47  Apabila beberapa orang yang berdiri di situ mendengarnya, mereka mula berkata, “Dia sedang memanggil Elia.”+ 48  Salah seorang daripada mereka segera berlari untuk mengambil span lalu merendamkannya ke dalam wain masam. Dia menggunakan sebatang kayu untuk menghulurkan span itu kepada Yesus supaya dia dapat minum.+ 49  Tetapi yang lain berkata, “Biarkan dia! Mari kita lihat sama ada Elia akan datang untuk menyelamatkannya atau tidak.” 50  Sekali lagi Yesus berseru dengan suara lantang lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.+ 51  Ketika itu, tirai di Rumah Tuhan+ koyak menjadi dua+ dari atas sampai ke bawah.+ Bumi bergoncang dan batu-batu terbelah. 52  Kubur-kubur* terbuka lalu banyak mayat umat suci yang telah tidur dalam kematian tercampak keluar, 53  dan banyak orang telah melihat mereka.* (Selepas Yesus dibangkitkan, ada orang yang lalu di kuburan dan masuk ke dalam kota suci.*) 54  Semasa pegawai tentera dan mereka yang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan semua perkara yang berlaku, mereka menjadi sangat takut lalu berkata, “Dia sememangnya Anak Tuhan.”+ 55  Di situ ada juga banyak wanita yang sedang memandang dari jauh. Mereka telah mengikut Yesus dari Galilea untuk menolong dia.+ 56  Maria Magdalena, Maria, iaitu ibu kepada Yakobus dan Yoses, dan ibu kepada anak-anak Zebedeus,+ juga berada di situ. 57  Pada waktu petang, seorang lelaki kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga murid Yesus.+ 58  Dia pergi kepada Pilatus dan meminta mayat Yesus.+ Maka Pilatus memberikan perintah agar mayat Yesus diberikan kepadanya.+ 59  Yusuf mengambil mayat Yesus, membalutnya dengan kain linen bersih yang bermutu tinggi,+ 60  lalu meletakkan mayat Yesus dalam makam baharunya+ yang telah digali di bukit batu. Kemudian, dia menggulingkan sebuah batu besar ke depan pintu masuk makam lalu beredar dari situ. 61  Tetapi Maria Magdalena dan Maria yang seorang lagi masih duduk di depan kubur itu.+ 62  Peristiwa-peristiwa itu berlaku pada hari Persiapan.+ Keesokan harinya, para ketua imam dan orang Farisi berkumpul di depan Pilatus 63  dan berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia berkata, ‘Selepas tiga hari, aku akan dibangkitkan.’+ 64  Oleh itu perintahkanlah agar kubur itu dikawal ketat sehingga hari ketiga supaya murid-muridnya tidak dapat mencuri mayatnya+ lalu berkata kepada orang, ‘Dia telah dibangkitkan daripada kematian!’ Jika begitu, dusta terakhir ini akan menjadi lebih teruk daripada dusta yang pertama.” 65  Pilatus berkata kepada mereka, “Hantarlah askar ke situ, dan kawallah tempat itu dengan ketat.” 66  Jadi mereka pergi ke situ dan memastikan agar batu penutup kubur ditutup rapat dan dikawal oleh askar.

Nota Kaki

Harfiah, “darah.”
Harfiah, “darah.”
Harfiah, “Biarlah darahnya datang ke atas kami dan anak-anak kami.”
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Harfiah, “jam yang ke-6.”
Harfiah, “jam yang ke-9.”
Atau “Makam-makam peringatan.”
Nampaknya, perkataan “mereka” di sini merujuk kepada mayat umat suci yang disebut di ayat 52.
Iaitu, Yerusalem.