Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 19:1-30
19 Selepas Yesus mengucapkan kata-kata ini, dia bertolak dari Galilea lalu pergi ke kawasan-kawasan sekitar sempadan Yudea di seberang Sungai Yordan.+
2 Banyak orang mengikutnya dan dia menyembuhkan mereka di sana.
3 Beberapa orang Farisi datang kepadanya dengan niat untuk mengujinya. Mereka bertanya, “Adakah seseorang melanggar hukum jika dia menceraikan isterinya atas sebarang alasan?”+
4 Dia menjawab, “Belum pernahkah kamu membaca bahawa Dia yang menciptakan manusia pada mulanya menciptakan lelaki dan perempuan?+
5 Belum pernahkah kamu membaca bahawa Dia juga berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama* isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu’?+
6 Maka, mereka bukan lagi dua tetapi satu. Oleh itu, mereka yang telah disatukan* oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”+
7 Mereka berkata, “Kalau begitu, mengapakah Musa mengatakan bahawa orang yang mahu menceraikan isterinya perlu memberinya surat cerai?”+
8 Dia menjawab, “Musa mengizinkan kamu menceraikan isteri kerana hati kamu degil.+ Tetapi halnya tidak demikian pada mulanya.+
9 Ketahuilah hal ini: Sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* dia berzina jika dia berkahwin dengan wanita lain.”+
10 Maka murid-murid Yesus berkata kepadanya, “Jika demikian halnya dalam perkahwinan, lebih baik tidak berkahwin.”
11 Dia menjawab, “Bukan semua orang dapat menerima kata-kata ini, tetapi hanya mereka yang menerima kurniaan Tuhan.+
12 Ada orang yang tidak dapat berkahwin kerana dilahirkan demikian, yang lain pula tidak berkahwin kerana dijadikan mandul oleh orang. Tetapi ada juga yang tidak berkahwin demi Kerajaan di syurga. Jika seseorang sanggup hidup tanpa berkahwin, biarlah dia tidak berkahwin.”+
13 Selepas itu, ada orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya dia meletakkan tangannya ke atas mereka* dan berdoa untuk mereka, tetapi murid-muridnya memarahi mereka.+
14 Namun Yesus berkata, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku. Jangan mencuba menghalang mereka, kerana Kerajaan di syurga akan menjadi milik orang seperti mereka.”+
15 Lalu Yesus meletakkan tangannya ke atas mereka* dan bertolak dari sana.
16 Selepas itu, seorang lelaki datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, apakah perbuatan baik yang mesti aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?”+
17 Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada aku tentang apa yang baik? Hanya Tuhan yang baik.+ Tetapi jika kamu ingin memperoleh kehidupan, teruslah berpegang pada hukum-hukum Tuhan.”+
18 Lelaki itu bertanya, “Hukum yang mana?” Yesus menjawab, “Jangan membunuh,+ jangan berzina,+ jangan mencuri,+ jangan memberikan kesaksian palsu,+
19 hormatilah ibu bapa kamu,+ dan kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”+
20 Pemuda itu berkata, “Aku sudah mematuhi semua hukum ini. Apa lagi yang harus aku lakukan?”
21 Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu mahu menjadi sempurna,* pergilah dan juallah harta milik kamu lalu berikanlah wang itu kepada orang yang miskin. Dengan demikian, kamu akan mempunyai harta di syurga.+ Kemudian, marilah dan jadilah pengikutku.”+
22 Apabila pemuda itu mendengar hal ini, dia pergi dari situ dengan sedih kerana dia memiliki banyak harta.+
23 Lalu Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Ketahuilah: Memang susah bagi orang yang kaya memasuki Kerajaan di syurga.+
24 Sekali lagi aku berkata kepada kamu: Adalah lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”+
25 Apabila murid-muridnya mendengar kata-kata itu, mereka sangat hairan. Mereka berkata, “Jika demikian, siapakah yang dapat diselamatkan?”+
26 Yesus memandang mereka lalu berkata, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.”+
27 Lalu Petrus berkata, “Lihatlah! Kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Jadi apakah yang akan kami terima?”+
28 Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Tuhan akan menjadikan semua perkara baharu semasa Anak Manusia duduk di atas takhtanya yang gemilang. Pada masa itu, kamu yang telah mengikut aku juga akan duduk di atas 12 takhta dan menghakimi 12 suku Israel.+
29 Sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak, atau tanah, demi namaku akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya, dan mewarisi kehidupan yang kekal.+
30 “Tetapi ramai orang yang pertama akan menjadi yang terakhir, manakala orang yang terakhir akan menjadi yang pertama.+
Nota Kaki
^ Dalam bahasa Yunani, ungkapan ini bermaksud “berpaut erat, seolah-olah melekat pada sesuatu.”
^ Atau “disatukan di bawah satu kuk.”
^ Atau “supaya dia memberkati mereka.”
^ Atau “memberkati mereka.”
^ Atau “lengkap.”