Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 12:1-50

  • Yesus, ‘Tuan hari Sabat’ (1-8)

  • Lelaki yang tangannya lumpuh disembuhkan (9-14)

  • Hamba yang dikasihi Tuhan (15-21)

  • Roh jahat diusir dengan kuasa suci Tuhan (22-30)

  • Dosa yang tidak dapat diampunkan (31, 32)

  • Pokok diketahui daripada buahnya (33-37)

  • Tanda Yunus (38-42)

  • Roh jahat kembali (43-45)

  • Ibu dan adik-adik Yesus (46-50)

12  Pada masa itu, Yesus lalu di ladang gandum pada hari Sabat. Murid-muridnya berasa lapar, maka mereka mula memetik bulir gandum lalu memakannya.+  Orang Farisi yang nampak hal itu berkata kepadanya, “Lihatlah! Murid-muridmu sudah melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat.”+  Dia berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak-anak buahnya lapar?+  Tidakkah dia memasuki rumah Tuhan?* Dan tidakkah mereka memakan roti yang sudah dipersembahkan+ kepada Tuhan? Mereka sebenarnya tidak berhak memakannya. Hanya para imam yang berhak memakannya.+  Atau belum pernahkah kamu membaca dalam Hukum bahawa imam yang bekerja di Rumah Tuhan pada hari Sabat tidak dianggap bersalah?+  Aku memberitahu kamu bahawa orang yang lebih penting daripada Rumah Tuhan ada di sini.+  Namun, jika kamu memahami maksud ayat ini, ‘Aku mahukan belas kasihan,+ bukannya korban,’+ kamu tidak akan menyalahkan orang yang tidak bersalah,  kerana Anak Manusia ialah Tuan yang berkuasa atas hari Sabat.”+  Selepas bertolak dari sana, dia memasuki sebuah rumah ibadat. 10  Di situ ada seorang lelaki yang sebelah tangannya lumpuh.+ Jadi beberapa orang bertanya kepada Yesus, “Salahkah untuk menyembuhkan orang pada hari Sabat?” Sebenarnya, mereka sedang mencari alasan untuk menuduh Yesus.+ 11  Yesus menjawab, “Andai kata kamu mempunyai seekor biri-biri, tetapi biri-biri itu jatuh ke dalam sebuah lubang pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menarik biri-biri tersebut keluar daripada lubang itu?+ 12  Sudah tentu manusia jauh lebih berharga daripada biri-biri! Jadi berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.” 13  Kemudian Yesus berkata kepada lelaki yang sebelah tangannya lumpuh itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Dia menghulurkan tangannya dan tangannya pun sembuh. 14  Tetapi orang Farisi keluar dari situ dan mula berpakat untuk membunuh Yesus. 15  Setelah Yesus mengetahui hal itu, dia meninggalkan tempat tersebut. Ramai orang mengikutnya,+ dan dia menyembuhkan semua orang yang sakit. 16  Tetapi dia memberikan amaran tegas kepada mereka supaya tidak memberitahu orang lain tentangnya.+ 17  Hal ini adalah supaya apa yang difirmankan melalui Nabi Yesaya menjadi kenyataan. Dia berkata, 18  “Lihatlah hamba pilihan-Ku!+ Aku mengasihinya dan berkenan kepadanya!+ Aku akan mengurniakan kuasa suci-Ku kepadanya,+ dan dia akan menyingkapkan erti keadilan kepada bangsa-bangsa. 19  Dia tidak akan bertengkar+ atau berteriak. Suaranya tidak akan kedengaran di jalan-jalan utama. 20  Rumput yang layu tidak akan diinjak-injaknya, dan sumbu pelita yang sudah malap tidak akan dipadamkannya+ sehingga dia berjaya menegakkan keadilan. 21  Sememangnya, namanya akan menjadi tonggak harapan bagi bangsa-bangsa.”+ 22  Kemudian, mereka membawa kepadanya seorang lelaki yang buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat. Yesus menyembuhkan lelaki bisu itu lalu dia dapat bercakap dan melihat. 23  Orang ramai sangat kagum dan mula berkata, “Mungkinkah dia ini Anak Daud?” 24  Selepas mendengar hal ini, orang Farisi berkata, “Orang ini dapat mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada Beelzebub,* iaitu ketua roh-roh jahat.”+ 25  Yesus mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka, maka dia berkata, “Setiap kerajaan yang berpecah belah dan saling bermusuhan akan musnah. Setiap kota atau keluarga yang berpecah belah dan saling bermusuhan tidak akan tahan lama. 26  Begitu juga, jika Syaitan mengusir Syaitan, dia sedang melawan dirinya sendiri. Jadi bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? 27  Tambahan lagi, jika aku mengusir roh jahat dengan kuasa daripada Beelzebub, murid-muridmu pula mengusir roh jahat dengan kuasa daripada siapa? Itulah sebabnya murid-muridmu akan membuktikan bahawa kamu bersalah. 28  Tetapi jika kuasa suci Tuhanlah yang membolehkan aku mengusir roh-roh jahat, hal ini bermaksud Kerajaan Tuhan sudah ada di sini namun kamu tidak menyedarinya.+ 29  Jika seseorang ingin masuk ke dalam rumah seorang lelaki yang kuat untuk merampas barang-barangnya, dia perlu mengikat orang kuat itu terlebih dahulu. Selepas itu, barulah dia dapat merampas barang-barang di dalam rumahnya. 30  Sesiapa yang tidak berpihak kepada aku melawan aku, dan sesiapa yang tidak mengumpulkan orang bersama aku, orang itu akan menyebabkan orang lain tercerai-berai ke merata tempat.+ 31  “Oleh itu, aku berkata kepada kamu: Semua jenis dosa akan diampunkan. Walaupun orang menghina apa yang suci, mereka juga akan diampuni. Tetapi sesiapa yang menghina kuasa suci Tuhan tidak akan diampuni.+ 32  Sebagai contoh, sesiapa yang menghina Anak Manusia akan diampuni.+ Tetapi sesiapa yang menghina kuasa suci Tuhan tidak akan diampuni. Ketahuilah, dia tidak akan diampuni, baik pada sistem dunia ini* mahupun pada sistem dunia yang akan datang.+ 33  “Jika pokok kamu baik, buah yang dihasilkan juga baik. Tetapi jika pokok kamu tidak baik, buah yang dihasilkan juga tidak baik. Baik tidaknya sepohon pokok dapat diketahui daripada buahnya.+ 34  Hai keturunan ular berbisa,+ bagaimanakah kamu dapat menuturkan hal-hal yang baik sedangkan kamu jahat? Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.+ 35  Orang yang baik menyimpan apa yang baik dalam hati. Oleh itu mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Orang yang jahat menyimpan apa yang jahat dalam hati. Oleh itu mereka mengucapkan kata-kata yang jahat.+ 36  Aku memberitahu kamu bahawa pada Hari Penghakiman, manusia akan dipertanggungjawabkan+ atas setiap perkataan sia-sia yang pernah dituturkan. 37  Jika kata-katamu baik, Tuhan akan menyatakan bahawa kamu sedang melakukan apa yang benar. Tetapi jika kata-katamu jahat, Tuhan akan menghakimi kamu.” 38  Selepas itu, beberapa orang jurutulis hukum dan orang Farisi berkata kepadanya, “Guru, berilah kami tanda yang menunjukkan bahawa Guru diutus oleh Tuhan.”+ 39  Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Kamu merupakan generasi yang jahat dan tidak setia kepada Tuhan!* Kamu asyik meminta tanda. Tetapi tiada tanda yang akan diberikan kepada kamu kecuali tanda Nabi Yunus.+ 40  Sepertimana Yunus berada di dalam perut ikan yang besar selama tiga hari dan tiga malam,+ Anak Manusia juga akan berada di dalam perut bumi selama tiga hari dan tiga malam.+ 41  Pada masa penghakiman, penduduk Niniwe akan dibangkitkan bersama generasi ini. Penduduk Niniwe akan menunjukkan kesalahan generasi ini kerana mereka bertaubat selepas mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus.+ Tetapi lihatlah! Orang yang lebih besar daripada Yunus ada di sini.+ 42  Pada masa penghakiman, ratu dari selatan akan dibangkitkan bersama generasi ini. Ratu itu akan menunjukkan kesalahan generasi ini kerana dia datang dari hujung bumi untuk mendengar kata-kata Salomo yang bijaksana.+ Tetapi lihatlah! Orang yang lebih besar daripada Salomo ada di sini.+ 43  “Semasa roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan pergi ke tempat yang kering-kontang untuk mencari tempat rehat, tetapi tidak menemuinya.+ 44  Maka roh itu berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’ Roh itu pun balik dan mendapati rumah itu kosong, disapu bersih, dan dihias dengan cantik. 45  Roh itu kemudiannya pergi membawa tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya untuk memasuki orang itu dan tinggal di situ. Akhirnya, keadaan orang tersebut menjadi lebih buruk daripada keadaannya yang asal.+ Inilah yang akan berlaku kepada generasi yang jahat ini.” 46  Sementara Yesus bercakap kepada orang ramai itu, ibu dan adik-adik lelakinya+ sedang berdiri di luar. Mereka ingin bercakap dengannya.+ 47  Jadi, ada orang memberitahu dia, “Lihatlah! Ibu dan adik-adik Guru sedang berdiri di luar dan ingin bercakap dengan Guru.” 48  Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Siapakah ibuku? Siapakah adik-adikku?” 49  Lalu Yesus menghulurkan tangannya ke arah murid-muridnya dan berkata, “Lihatlah! Ibuku dan adik-adikku!+ 50  Sesiapa yang melakukan kehendak Bapaku yang di syurga, dialah adik lelakiku, adik perempuanku, dan ibuku.”+

Nota Kaki

Iaitu, khemah suci Tuhan.
Gelaran yang diberikan kepada Syaitan.
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Harfiah, “dan berzina!”