Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus 3:1-35

  • Lelaki yang tangannya lumpuh disembuhkan (1-6)

  • Banyak orang di tepi tasik (7-12)

  • 12 orang rasul (13-19)

  • Menghina kuasa suci Tuhan (20-30)

  • Ibu dan adik-adik Yesus (31-35)

3  Sekali lagi dia masuk ke dalam rumah ibadat. Di sana terdapat seorang lelaki yang sebelah tangannya lumpuh.+  Orang Farisi memperhatikan Yesus dengan teliti untuk melihat sama ada dia akan menyembuhkan lelaki itu pada hari Sabat atau tidak. Mereka berbuat demikian kerana ingin mencari alasan untuk menuduhnya.  Yesus berkata kepada lelaki yang sebelah tangannya lumpuh itu, “Bangunlah dan berdirilah di tengah.”  Kemudian dia bertanya kepada mereka, “Apakah yang wajar kita lakukan pada hari Sabat? Hal yang baik atau jahat, membunuh atau menyelamatkan nyawa?”+ Tetapi mereka membisu sahaja.  Yesus marah semasa memandang mereka. Dia berasa sangat sedih kerana hati mereka tidak peka.+ Kemudian dia berkata kepada lelaki itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Lelaki itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh.  Maka orang Farisi keluar dan segera berkomplot dengan pengikut-pengikut Herodes+ untuk membunuh Yesus.  Tetapi Yesus pergi ke tasik dengan murid-muridnya. Banyak orang dari Galilea dan Yudea mengikutnya.+  Selain itu, ramai orang dari Yerusalem, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan kawasan sekitar Tirus dan Sidon, mendengar tentang segala perbuatannya lalu datang kepadanya.  Yesus menyuruh murid-muridnya menyediakan sebuah perahu kecil untuknya agar dia tidak dihimpit oleh orang ramai. 10  Memandangkan dia telah menyembuhkan ramai orang, semua orang yang sakit teruk kini berasak-asak hendak menyentuhnya.+ 11  Setiap kali roh-roh jahat nampak dia,+ mereka akan sujud di hadapannya dan berseru, “Kamu ialah Anak Tuhan.”+ 12  Tetapi dia berulang kali memberikan amaran tegas kepada roh-roh jahat supaya tidak memberitahu orang lain tentangnya.+ 13  Kemudian dia naik ke atas sebuah gunung dan memanggil sebilangan muridnya.+ Selepas mereka datang,+ 14  dia memilih* 12 orang untuk menyertainya dan menggelar mereka rasul-rasul. Dia mengutus mereka untuk menyebarkan berita baik 15  dan memberi mereka kuasa untuk mengusir roh-roh jahat.+ 16  Inilah 12 orang yang dipilihnya:*+ Simon yang juga digelarnya Petrus,+ 17  Yakobus anak Zebedeus dan Yohanes saudara kandung Yakobus (dia juga memberi mereka gelaran Boanerges, yang bermaksud “Anak Guruh”),+ 18  Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadius, Simon yang bersemangat, 19  dan Yudas Iskariot yang kemudiannya mengkhianati Yesus. Selepas itu, Yesus masuk ke dalam sebuah rumah. 20  Sekali lagi orang ramai berkumpul sehingga Yesus dan murid-muridnya langsung tidak ada masa untuk makan. 21  Apabila saudara-mara Yesus mendengar apa yang berlaku, mereka datang untuk membawanya pergi kerana mereka berkata, “Dia sudah gila.”+ 22  Tambahan lagi, para jurutulis hukum yang datang dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk Beelzebub* dan dia mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada ketua roh-roh jahat.”+ 23  Oleh itu, Yesus memanggil mereka kepadanya dan menceritakan beberapa buah perumpamaan. Dia berkata, “Bagaimanakah Syaitan dapat mengusir Syaitan? 24  Jika sebuah kerajaan berpecah belah dan saling bermusuhan, kerajaan itu tidak akan bertahan lama,+ 25  dan jika sebuah keluarga berpecah belah dan saling bermusuhan, keluarga itu tidak akan bertahan lama. 26  Tambahan lagi, jika Syaitan bangkit dan melawan dirinya sendiri dan jika pengikut-pengikutnya berpecah belah, dia tidak akan bertahan lama dan akan lenyap. 27  Pada hakikatnya, tiada orang yang masuk ke dalam rumah seorang lelaki yang kuat dapat mencuri barang-barangnya, kecuali dia mengikat orang kuat itu terlebih dahulu. Selepas itu, barulah dia dapat merampas barang-barang di dalam rumahnya. 28  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Semua dosa yang dilakukan oleh manusia dan semua kata hinaan yang diucapkan oleh mereka akan diampunkan. 29  Tetapi sesiapa yang menghina kuasa suci Tuhan tidak akan sekali-kali diampuni.+ Dia akan menanggung dosa yang kekal.”+ 30  Dia berkata demikian kerana mereka berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”+ 31  Pada masa itu, ibu dan adik-adik lelaki+ Yesus datang. Mereka berdiri di luar dan meminta orang untuk memanggilnya.+ 32  Memandangkan sekumpulan orang sedang duduk di sekeliling Yesus, mereka berkata kepadanya, “Lihatlah! Ibu dan adik-adik Guru berada di luar dan sedang mencari Guru.”+ 33  Tetapi dia berkata kepada mereka, “Siapakah ibuku dan adik-adikku?” 34  Lalu dia memandang mereka yang duduk di sekelilingnya dan berkata, “Lihatlah! Ibuku dan adik-adikku!+ 35  Sesiapa yang melakukan kehendak Tuhan, dialah adik lelakiku, adik perempuanku, dan ibuku.”+

Nota Kaki

Atau “melantik.”
Atau “dilantiknya.”
Gelaran yang diberikan kepada Syaitan.