Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 15:1-32

  • Perumpamaan tentang bebiri yang sesat (1-7)

  • Perumpamaan tentang wang yang hilang (8-10)

  • Perumpamaan tentang anak yang sesat (11-32)

15  Semua pemungut cukai dan orang yang berdosa berkumpul di sekeliling Yesus untuk mendengar kata-katanya.+  Orang Farisi dan para jurutulis hukum bersungut-sungut dan berkata, “Lelaki ini menyambut orang yang berdosa dan makan bersama mereka.”  Oleh itu, Yesus menceritakan perumpamaan ini:  “Katakan seorang daripada kamu memiliki 100 ekor bebiri dan salah seekor bebirinya hilang. Tidakkah dia akan meninggalkan 99 ekor bebiri itu di padang belantara lalu pergi mencari bebiri yang hilang itu sehingga dapat?+  Apabila dia menjumpai bebiri itu, dia memikulnya pada bahu dan bersukacita.  Setibanya di rumah, dia memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu berkata kepada mereka, ‘Bergembiralah bersamaku kerana bebiriku yang hilang sudah dijumpai.’+  Aku memberitahu kamu bahawa dalam cara yang sama, seorang pendosa yang bertaubat akan mendatangkan sukacita yang lebih besar di syurga+ berbanding dengan 99 orang yang melakukan apa yang benar, yang tidak perlu bertaubat.  “Atau, katakan seorang wanita memiliki 10 keping wang perak* dan sekeping daripada wang peraknya hilang. Tidakkah dia akan menyalakan pelita, menyapu rumahnya, dan mencari wang perak itu dengan teliti sehingga dapat?  Apabila dia menjumpai wang perak itu, dia memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu berkata kepada mereka, ‘Bersukacitalah bersamaku kerana wang perakku yang hilang sudah dijumpai.’ 10  Dalam cara yang sama, aku memberitahu kamu bahawa malaikat-malaikat Tuhan akan bersukacita apabila seorang pendosa bertaubat.”+ 11  Kemudian dia berkata, “Seorang lelaki mempunyai dua orang anak lelaki. 12  Yang lebih muda berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berikanlah harta bahagian saya.’ Lalu bapanya membahagikan hartanya antara kedua-dua orang anaknya. 13  Beberapa hari kemudian, anak yang lebih muda itu mengumpulkan semua barangnya dan mengembara ke sebuah negeri yang jauh. Di sana, dia memboroskan harta miliknya dan hidup berfoya-foya. 14  Setelah dia memboroskan semua hartanya, kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu dan dia terpaksa hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. 15  Dia bahkan pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu yang menyuruh dia menjaga kawanan babi di ladangnya.+ 16  Dia teringin mengisi perutnya dengan makanan babi, tetapi tiada seorang pun yang memberinya apa-apa untuk dimakan. 17  “Akhirnya dia insaf lalu berkata, ‘Bapaku mengupah banyak orang dan mereka berlimpah-limpah dengan roti sedangkan aku hampir mati kelaparan di sini! 18  Aku akan berangkat dan pergi kepada bapaku lalu berkata kepadanya, “Ayah, saya sudah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah. 19  Saya tidak layak lagi dipanggil anak ayah. Jadikanlah saya orang gaji ayah.”’ 20  Maka dia bangun dan pulang kepada bapanya. Apabila bapanya nampak dia dari jauh, bapanya berasa kasihan terhadapnya lalu berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya. 21  Kemudian, anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, saya telah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah.+ Saya tidak lagi layak disebut anak ayah.’ 22  Tetapi bapanya berkata kepada hamba-hambanya, ‘Cepat! Bawalah jubah yang terbaik dan kenakanlah jubah itu padanya. Pakaikan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. 23  Bawa dan sembelihlah anak lembu yang gemuk dan marilah kita makan dan berpesta, 24  kerana anakku ini mati tetapi dia telah hidup semula,+ dan dia hilang tetapi sudah ditemui.’ Maka mereka mula bersukacita. 25  “Pada masa itu, anaknya yang lebih tua berada di ladang. Semasa dia dalam perjalanan pulang dan berada tidak jauh dari rumahnya, dia terdengar bunyi muzik dan tari-tarian. 26  Maka dia memanggil salah seorang hamba untuk bertanya tentang apa yang sedang berlaku. 27  Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan sudah kembali. Bapa tuan menyembelih anak lembu yang gemuk, kerana adik tuan sudah kembali dalam keadaan yang sihat.’* 28  Mendengar hal ini, dia menjadi marah dan enggan masuk ke dalam rumah. Lalu bapanya keluar dan menasihatinya. 29  Tetapi dia berkata kepada bapanya, ‘Lihatlah! Sudah bertahun-tahun saya bekerja seperti hamba untuk ayah dan saya tidak pernah mengingkari perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada saya supaya saya boleh bersukacita bersama sahabat-sahabat saya. 30  Anak ayah itu pula memboroskan segala harta ayah bersama pelacur, tetapi sebaik sahaja dia pulang, ayah menyembelih anak lembu yang gemuk untuk dia.’ 31  Bapanya berkata kepadanya, ‘Anakku, kamu sentiasa di sisi ayah. Segala yang ayah miliki juga milikmu, 32  tetapi kita harus berpesta dan bergembira kerana adik kamu mati tetapi dia telah hidup semula, dan dia hilang tetapi sudah ditemui.’”

Nota Kaki

Harfiah, “10 drakma.” Lihat Lampiran B14.
Atau “kembali dengan selamat.”