Ezra 3:1-13

  • Mazbah dibina semula dan korban dipersembahkan (1-6)

  • Kerja membina Rumah Tuhan bermula (7-9)

  • Asas Rumah Tuhan dibina semula (10-13)

3  Pada bulan ketujuh,+ apabila orang Israel sudah tinggal di kota masing-masing, mereka berkumpul di Yerusalem dengan satu matlamat.  Yeshua+ anak Yehozadak dan imam-imam yang lain berserta Zerubabel+ anak Sealtiel+ dan saudara-saudaranya mula bekerja untuk membina semula mazbah Tuhan orang Israel. Dengan demikian, mereka dapat mempersembahkan korban bakar di atas mazbah itu, selaras dengan Hukum yang disampaikan oleh Musa,+ hamba Tuhan yang benar.  Biarpun mereka takut terhadap penduduk di negeri-negeri jiran, mereka masih mendirikan mazbah itu di tapak asalnya.+ Setelah itu, mereka mula mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa di atas mazbah itu pada waktu pagi dan waktu petang.+  Mereka juga menyambut Perayaan Pondok Daun, sesuai dengan apa yang tertulis dalam Hukum,+ dan setiap hari, mereka mempersembahkan korban bakar menurut jumlah yang telah ditetapkan.+  Sejak itu, mereka terus mempersembahkan korban bakar harian,+ dan korban-korban untuk perayaan bulan baharu+ dan semua perayaan suci yang lain untuk Yehuwa.+ Selain itu, mereka mempersembahkan sumbangan sukarela+ yang diberikan oleh semua orang kepada Yehuwa.  Mereka mula mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa sejak hari pertama bulan ketujuh,+ meskipun asas Rumah Yehuwa belum dibina.  Mereka memberikan wang kepada para pemotong batu+ dan tukang-tukang mahir yang lain.+ Mereka juga memberikan minyak, makanan, dan minuman kepada orang Sidon dan orang Tirus yang membawa kayu-kayu sedar dari Lebanon ke Yope+ melalui jalan laut. Kayu-kayu itu dibawa atas perintah Raja Kores dari Persia.+  Pada tahun kedua bulan kedua setelah orang Israel kembali ke Yerusalem, mereka mula membina semula rumah Tuhan yang benar. Zerubabel anak Sealtiel, Yeshua anak Yehozadak, dan saudara-saudara mereka yang lain, iaitu para imam dan orang Lewi, serta semua orang yang pulang ke Yerusalem daripada pembuangan+ memulakan kerja pembinaan itu. Mereka melantik orang Lewi yang berusia 20 tahun dan ke atas untuk menyelia kerja pembinaan Rumah Yehuwa.  Oleh itu, Yeshua, anak-anaknya dan saudara-saudaranya, dan Kadmiel dan anak-anaknya, daripada keturunan Yehuda,* berganding bahu untuk menyelia kerja pembinaan rumah Tuhan yang benar. Mereka dibantu oleh keturunan Henadad,+ anak-anak mereka, dan saudara mereka, yang juga merupakan orang Lewi. 10  Setelah pekerja-pekerja selesai meletakkan asas Rumah Yehuwa,+ para imam memakai jubah rasmi mereka dan membawa trompet.+ Orang Lewi daripada keturunan Asaf pula mengambil simbal. Mereka semua berdiri dan memuji Yehuwa, seperti yang telah diperintahkan oleh Daud, raja Israel.+ 11  Mereka mula bernyanyi secara bergilir-gilir+ untuk memuji dan mengucapkan syukur kepada Yehuwa. Mereka bernyanyi, “Kerana Dia baik, dan kasih setia-Nya kekal abadi.”+ Kemudian semua orang memuji Yehuwa dengan suara yang kuat kerana asas Rumah Yehuwa selesai dibina. 12  Ramai imam, orang Lewi, dan ketua puak, iaitu orang tua yang pernah melihat Rumah Tuhan yang dahulu,+ menangis dengan kuat apabila mereka nampak asas rumah itu dibina semula. Banyak orang yang berada di situ juga bersorak-sorai dengan penuh sukacita.+ 13  Mereka tidak dapat membezakan bunyi sorakan sukacita daripada suara tangisan kerana suara mereka begitu lantang sehingga dapat didengar dari jauh.

Nota Kaki

Yehuda ini ialah orang Lewi. Dia dipanggil “Hodawia” di Ez 2:40 dan “Hodewa” di Ne 7:43.