Daniel 12:1-13

  • “Akhir zaman” dan apa yang akan berlaku kemudian (1-13)

    • Mikhael akan bangkit (1)

    • Orang yang berpengertian akan bersinar terang (3)

    • Pengetahuan yang benar akan berlimpah-limpah (4)

    • Daniel akan bangkit untuk menerima bahagiannya (13)

12  “Pada waktu itu, Mikhael,*+ pemimpin agung+ yang bertindak* bagi pihak bangsamu, akan bangkit.* Masa kesusahan akan datang, iaitu masa kesusahan yang tidak pernah terjadi sejak pembentukan bangsa sehingga waktu itu. Pada waktu itu, bangsamu akan melarikan diri.+ Ya, sesiapa yang namanya tertulis dalam kitab akan berjaya melarikan diri.+ 2  Ramai orang yang sudah mati* akan bangkit. Ada yang akan menikmati kehidupan kekal, dan ada pula yang akan dimalukan dan dibenci buat selama-lamanya. 3  “Orang yang mempunyai pengertian akan bersinar terang di ruang angkasa, dan mereka yang memimpin banyak orang ke haluan yang benar adalah seperti bintang, yang akan bersinar buat selama-lamanya. 4  “Hendaklah kamu, Daniel, merahsiakan kata-kata ini, dan memeterai kitab ini sehingga akhir zaman.+ Ramai orang akan mencarinya* dengan teliti, dan pengetahuan yang benar akan berlimpah-limpah.”+ 5  Kemudian, aku, Daniel, nampak dua malaikat sedang berdiri, satu di tebing sungai sebelah sini, dan satu lagi di tebing sungai sebelah sana.+ 6  Salah satu malaikat berkata kepada seorang lelaki yang berpakaian linen,+ yang sedang berdiri di atas air sungai, “Berapa lamakah hal-hal yang menakjubkan ini akan berlangsung sehingga semuanya berakhir?” 7  Lelaki yang berdiri di atas air sungai itu mengangkat tangan kanan dan tangan kirinya ke langit, lalu dia bersumpah demi Tuhan yang hidup selama-lamanya.+ Aku mendengar dia berkata, “Semua ini akan berlangsung pada waktu yang telah ditentukan, iaitu satu waktu, dua waktu, dan setengah waktu.* Sebaik sahaja kuasa umat suci dihancurkan,+ semua hal ini akan berakhir.” 8  Aku mendengar semua ini, tetapi aku tidak memahaminya.+ Jadi aku bertanya, “Tuan, apakah kesudahan semua ini?” 9  Dia menjawab, “Pergilah Daniel, kerana kata-kata ini harus dirahsiakan dan dimeterai sehingga akhir zaman.+ 10  Banyak orang akan membersihkan diri dan menyucikan diri, dan mereka akan dimurnikan.+ Orang jahat akan berbuat jahat, dan tiada seorang pun antara mereka yang akan memahaminya. Hanya orang yang berpengertian akan memahaminya.+ 11  “Sejak korban harian+ dirampas dan benda jijik yang membawa kemusnahan didirikan,+ 1,290 hari akan berlalu. 12  “Berbahagialah orang yang terus menanti-nanti* sehingga 1,335 hari berlalu! 13  “Tetapi Daniel, hendaklah kamu tetap teguh sampai akhir. Kamu akan berehat, tetapi kamu akan bangkit untuk menerima bahagianmu* pada akhir zaman.”+

Nota Kaki

Maksudnya “Siapakah seperti Tuhan?”
Harfiah, “yang sedang berdiri.”
Harfiah, “akan berdiri.”
Harfiah, “yang tidur dalam tanah.”
Atau “akan mengkajinya [iaitu, kitab ini].”
Iaitu, tiga waktu setengah.
Atau “terus menunggu dengan penuh harapan.”
Atau “ganjaranmu.”